Bukan mudah mengandungkan anak kembar, apatah lagi bagi ibu yang berbadan kecil. Bagi penyanyi Ainan Tasneem, kandungan kembarnya yang semakin membesar membuatkan dia semakin berjaga-jaga.
Katanya menerusi instagram miliknya, dek kerana kandungannya yang sudah pun memasuki usia tujuh bulan ditambah dengan kandungan yang semakin sarat, dia mula merasa sakit pinggang dan belakang tubuhnya.
“Disebabkan twins makin membesar, perut pun makin memberat. Memang terasa sangat pressure lagi-lagi dekat pelvis area.
“Dulu time Salsabiela tak terasa sangat, tapi mungkin sebab ni 2 baby sejak kandungan 5 bulan lagi dah terasa. Sakit sangat sampai everyday sakit pinggang dan belakang,” katanya berkongsi.
Disebabkan itu, Ainan terpaksa mengenakan tali pinggang sokongan khas buat ibu hamil untuk menyokong berat kandungannya. Dan kini barulah penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Dia ini rasa makin lega dan selesa.
“Tapi Alhamdulillah syukur ada ergonomic pregnancy support belt ni. Sangat membantu.
Ads
“Bila pakai perut rasa sedikit ringan, rasa macam ada tangan yang tampung perut kita. Nak bergerak ke mana-mana pun jadi mudah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menerusi satu entri berlainan di instagram, Ainan rupanya sudah pun menyiapkan pakaian dan kelengkapan lain untuk bayi kembarnya yang bakal lahir kelak.
Ads
“Pakaian untuk twins rasanya dah 100% ready, Alhamdulillah,” katanya yang turut berkongsi gambar pakaian buat bayi kembarnya. Semuanya sudah siap disusun cantik di rak pakaian.
Terdahulu Ainan Tasneem mendirikan rumah tangga bersama Mohammad Ariffudin Mohammad Swaimi pada tahun 2017. Mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Sasabiela pada 2 Mac 2018.
Sepanjang melalui fasa kehamilan kemungkinan berhadapan dengan beberapa situasi hingga menimbulkan rasa tidak selesa dan kerisauan sememangnya ada. Antaranya ialah masalah uri atau placenta di bawah. Ini yang berlaku pada Puan Jalina. Pa&Ma ajukan persoalan ini kepada Pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Norintan Zainal Shah untuk memberikan penjelasan.
Saya kini hamil tujuh bulan dan ini adalah bayi sulung saya. Ketika membuat pemeriksaan kandungan, doktor menyatakan keadaan uri saya, bawah dan menutup ruang untuk bayi keluar. Adakah keadaan uri ini akan berubah? Perlu kah saya dapatkan rawatan tradisional seperti berurut untuk menaikkan uri kembali?
Jalina – Presint 8, Putrajaya
Uri atau tembuni adalah tisu atau organ yang terbentuk bersama janin bagi membolehkan bayi mendapat oksigen dan nutrisi daripada ibu melalui salur nadi yang ada di dalam tali pusat. Bahan-bahan kumuhan bayi pula disalurkan melalui pembuluh darah yang mengalir daripada bayi ke uri.
Kedudukan uri di dalam sesuatu kehamilan merupakan satu fenomena yang spontan dan rawak. Uri pada peringkat awalnya mengelilingi kawasan karung kehamilan. Rupa bentuknya seperti bulatan berwarna putih dalam imej ultrasound. Bentuk sebegini dinamakan sebagai circumferential.
Apabila kandungan semakin membesar, uri tersebut akan tertumpu kepada satu-satu bahagian. Ia adalah anterior (hadapan), posterior (belakang), lateral (sisi, sama ada kanan atau kiri), low lying (uri berada di kawasan bawah rahim dan 90% akan naik ke atas apabila kandungan berusia 28 minggu) dan fundal (uri duduk di kawasan atas rahim). Ketika hamil, setiap 13 minggu bersamaan dengan tiga bulan. Ini bererti 26 minggu (enam bulan). Jika kandungan puan berusia tujuh bulan, ini bererti janin berusia 30 minggu.
Jika uri masih berada di bawah dan menutup ruang untuk bayi keluar, puan dikategorikan sebagai kes placenta praevia. Uri yang menutup ruang untuk bayi keluar, ia dikenali sebagai placenta praevia major. Kalau uri berdekatan dengan ruang untuk bayi keluar (tetapi tidak menutupnya), ia digelar placenta praevia minor.
Kes-kes placenta praevia dikategorikan sebagai tahap satu, dua, tiga atau empat tetapi bergantung kepada keputusan ultrasound yang doktor lakukan ke atas kehamilan. Puan bolehlah bertanya doktor mengenai tahap placenta praevia yang puan dialami.
Risiko kes placenta praevia adalah pendarahan. Ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja selepas 28 minggu. Pendarahan yang diakibatkan olehnya membahayakan ibu dan kandungan. Oleh itu, puan dikehendaki mendaftar masuk hospital sehingga bersalin. Jika berlakunya pendarahan semasa berada di hospital, puan mempunyai peluang untuk selamat daripada masalah ini. Puan akan ditolak ke bilik bedah untuk melahirkan bayi dan seterusnya, doktor akan mengeluarkan uri. Selepas uri dikeluarkan, barulah pendarahan ini berhenti. Apabila pendarahan berhenti, nyawa ibu akan terselamat.
Jika mengurut cara tradisional atau bukan tradisional, risikonya adalah pendarahan juga. Nyawa bayi dalam kandungan boleh melayang bila pendarahan berlaku. Sekiranya kurang faham atau kurang percaya, pergilah kepada doktor yang kedua atau ketiga, dapatkan pendapat mereka. Jika semuanya menasihatkan perkara yang sama, saya pasti puan dan suami tidak akan berlengah lagi untuk masuk ke hospital.
Ibu hamil dan mempunyai masalah placenta praevia tidak akan merasai kesakitan atau kurang sihat sehinggalah pendarahan berlaku. Darah yang keluar mengalir dari faraj turun ke paha dan kaki, membasahi kain atau baju berlaku secara senyap dan tiba-tiba. Hanya yang sudah sedia ada di wad boleh menerima rawatan yang segera.
Kesimpulannya, kes placenta praevia adalah kes yang boleh meragut nyawa. Untuk keselamatan diri puan terutamanya, daftarlah ke hospital yang berdekatan dan akurlah dengan nasihat doktor. Saya doakan keselamatan puan dan bayi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai wanita yang hamil ketika berumur 35 tahun dan ke atas, mungkin kehamilan pertama atau kedua atau seterusnya. Jika kehamilan pertama di usia yang agak lewat sudah semestinya ingin kandungan selamat dan sihat.
Namun tahukah anda kehamilan di lewat usia boleh mengundang pelbagai risiko? Ikuti perkongsian dari Doktor Muhammad Izzat tentang kesan kehamilan pada usia yang agak lanjut;
Segelintir wanita di zaman ini mungkin mendirikan rumah tangga dan sekaligus hamil pada usia yang agak lewat. Ada yg mungkin sudah berkahwin awal, tapi disebabkan ada beberapa sebab, kehamilan dirancang dan dilewatkan terlebih dahulu, atau ada yg sudah berkahwin awal tapi, susah pula untuk mengandung, tahu-tahu je dah lekat pada usia yg agak lanjut. Taktahu la anda tergolong kat kumpulan yang mana, tapi end point tetap sama yakni mengandung pada usia yg agak lanjut.
Saya ambik definisi usia lanjut untuk wanita hamil adalah 35 tahun dan ke atas. Tengok betul-betul, saya sebut sini USIA LANJUT bukan guna perkataan TUA supaya tidak ada insan yang berkecil hati nanti.
Dengan meningkatnya umur, tahap kesuburan wanita berkurangan. Penghasilan telur menjadi kurang berkualiti sekaligus meningkatkan kejadian masalah genetik atau bayi yang tak normal.
Persenyawaan yang melibatkan telur yang ada masalah atau tidak berkualiti akan mengakibatkan janin yg terhasil mempunyai masalah genetik dan tidak boleh membesar dan berakhir dengan keguguran.
Jika dilihat kekerapan berlakunya keguguran, secara perbandingan umur-umur wanita ni, umur 25 tahun – 10% peluang keguguran, umur 35 tahun – peluang keguguran mengganda menjadi 20% dan utk ibu yang lebih 40 tahun peluang utk keguguran meningkat menjadi 50%
Bukan disebabkan kualiti telur yang dihasilkan tidak memuaskan, wanita-wanita lanjut umur ini ‘mengejar masa’ dan cenderung mendapatkan rawatan assisted reproductive technology (ART) seperti persenyawaan in-Vitro (bayi tabung uji). Teknik bayi tabung uji ini membawa 4% risiko mendapat kecacatan genetik.
Ibu yang lanjut usia ini berpotensi tinggi mendapat darah tinggi ketika hamil, pre-eclampsia. Apabila tekanan darah terlampau tinggi sehingga boleh menggugat nyawa ibu, bayi mungkin terpaksa dilahirkan biarpun kehamilan tak cukup matang lagi. Dalam erti kata lain, ibu berusia ini cenderung mendapat bayi yang tak cukup bulan dan bayi yang kecil saiznya.
Kejadian Kehamilan luar rahim mengganda 4-8 kali banyaknya.
Kejadian kematian ibu meningkat 3 kali ganda untuk kehamilan berusia lanjut, jika dibandingkan dengan ibu yang berusia lebih muda. Kematian ibu ini rata-rata disebabkan oleh komplikasi yang timbul semasa hamil dan bersalin.
Kencing manis ketika hamil mengganda sebanyak 4 kali ganda pada ibu yang berumur 40 tahun ke atas jika dibandingkan dengan ibu yang hamil pada usia 20 dan 30 an.
Keperluan utk lahir secara pembedahan caesar menjadi 2 kali ganda disebabkan Otot rahim ibu berusia ini kurang efektif mengecut dan mengendur ketika bersalin. Proses bersalin mungkin menjadi perlahan dan akhirnya ibu perlu menjalani pembedahan caesar. Bukan tu saja, ibu lanjut usia yang mempunyai masalah darah tinggi yang tak terkawal atau komplikasi dari kencing manis yang memerlukan utk bersalin awal – menerangkan kenapa kelahiran melalui pembedahan caesar.
Bukan utk menakut-nakutkan, jodoh pertemuan ajal maut semua di tangan Allah. Kalau Allah dah takdirkan anak pertama keluar masa umur 45 tahun, sapa kita nak mempersoalkan ketentuan ini ye tak? Cuma, jika boleh dielakkan utk mengandung pada usia usia lanjut ni lebih baik. Jika tak boleh dielakkan, ibu ibu yang berusia ini perlu pemantauan lebih dari biasa untuk mengesan komplikasi dan risiko awal dan rawatan serta kaunseling boleh diberikan jika ada.
Apakah menu diet ibu mengandung ketika berpuasa yang enak untuk dinikmati ya? Kalau ingin mendapatkan idea dan juga resipi, teruskan pembacaan anda.
Selamat ke ibu hamil berpuasa?
Sebelum kita terus bercakap mengenai menu diet ibu mengandung ketika berpuasa, biasanya akan wujud persoalan selamat ke wanita hamil menjalani ibadah bulan Ramadan ini?
Umumnya dalam Islam, bagi seorang wanita berbadan dua yang berada dalam keadaan fizikal baik dan percaya dapat berpuasa tanpa ada rasa bimbang terhadap kesihatan diri dan bayi, maka mereka harus melakukannya.
Namun jika sebaliknya, di mana ada rasa bimbang tentang kesihatan diri atau bayi dalam kandungan, ia alasan yang sah untuk mereka berbuka puasa jika mahu.
Pun begitu, ramai wanita memilih untuk terus berpuasa semasa mengandung dan dapat melakukannya tanpa sebarang kesan buruk.
Walau apa pun, cara terbaik adalah untuk berunding dengan doktor terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk berpuasa atau sebaliknya.
Ini kerana mereka adalah individu yang dapat menentukan keadaan diri anda dan kemungkinan risiko kesihatan anda mahupun bayi.
Petua berpuasa dengan selamat semasa hamil
Ini 5 resipi dan menu diet ibu mengandung yang pastinya akan membuka selera anda.
Tetapi jika ingin berpuasa, anda juga harus mengetahui cara untuk memastikan ibadah tersebut dapat dilakukan dengan selamat. Ini tipnya:
Bersahur
Tidak bersahur akan menyebabkan anda berasa lesu sepanjang hari kerana kekurangan tenaga.
Kekal terhidrat
Minum air secukupnya semasa sahur dan berbuka untuk memastikan diri terhidrat. Buah-buahan dan sayuran tinggi kandungan air juga membantu.
Diet seimbang
Menu diet ibu mengandung haruslah mempunyai nutrien mencukupi seperti karbohidrat, protein, vitamin dan serat.
Kawal saiz hidangan
Makan sebanyak yang diperlukan untuk berasa kenyang tetapi jangan berlebihan bagi mencegah penambahan berat badan atau ketidakselesaan.
Kekal aktif
Melakukan senaman sederhana dapat membantu mengekalkan tahap tenaga seperti berjalan pantas atau yoga.
Menu diet ibu mengandung ketika berpuasa
Berikut antara beberapa resipi menyelerakan yang boleh dicuba ibu hamil berpuasa dan juga seisi keluarga:
Jus susu kurma
Bahan-bahan:
7 biji buah kurma – dibuang bijinya (untuk 1 hidangan)
Air mineral secukupnya
Susu UHT (boleh juga guna susu kambing). Tidak digalakkan menggunakan susu serbuk atau susu pekat manis
Cara-cara penyediaan:
Rendam kurma yang sudah dibuang biji di dalam air mineral hingga menutup permukaan kurma semalaman. Anda boleh letak di dalam peti ais jika mahu sejuk.
Ketika waktu sahur, tuang kurma yang sudah direndam berserta air rendamannya.
Tambahkan susu UHT secukupnya.
Kisar semuanya hingga halus.
Minum selepas selesai makan sahur.
Bagaimana pula menu diet ibu mengandung untuk berbuka puasa?
Ayam sos lemon madu
Bahan-bahan:
500 gram isi dada ayam 500g (potong ikut suka)
Tepung serbaguna (secukupnya)
Telur sebiji (kacau)
4 sudu besar madu
2 biji lemon – diambil jusnya
Minyak masak
Cara-cara memasak:
Celupkan ayam dengan telur kemudian gaulkan atas tepung sehingga rata.
Panaskan minyak, goreng hingga garing, angkat dan ketepikan.
Untuk sos, campurkan madu dan jus lemon, kacau sebati dan masukkan ayam, gaul rata.
Hias dengan hirisan lemon dan daun sup.
Sup ikan merah
Bahan-bahan:
Ikan merah
4 ulas bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
Sedikit halia – dihiris
Kayu manis, bunga lawang dan pelaga
Biji lada hitam – ditumbuk
Sup bunjut ikan
Daun sup
Bawang goreng
Garam
Air
Cara-cara memasak:
Didihkan air secukupnya bersama sup bunjut ikan, bawang merah, bawang putih, halia yang dihiris, kayu manis, bunga lawang dan pelaga.
Biarkan air menggelegak sebelum dimasukkan ikan.
Akhirnya masukkan lada hitam dan garam secukupnya.
Taburkan daun sup dan bawang goreng. Tutup api dan sedia dihidangkan.
Udang goreng butter telur masin
Bahan-bahan:
500 gm udang
½ sudu kecil garam
½ sudu kecil serbuk kunyit
Minyak
3-5 sudu besar mentega
6 ulas bawang putih – dicincang
15 biji cili padi – dihiris serong
4 tangkai daun kari
2 biji telur masin – direbus & dihancurkan
2 sudu kecil gula
10 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu kecil tepung jagung
Minyak masak
Cara-cara memasak:
Udang dibersihkan dan digaul dengan garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng sekejap sehingga udang berubah warna. Angkat dan ketepikan (buangkan semua lebihan minyak).
Panaskan kuali, masukkan butter, tumis bawang putih, daun kari dan cili padi hingga wangi dan masukkan telur masin yang dihancurkan tadi.
Kemudian masukkan susu segar dan gula. Tidak perlu letak garam sebab sudah ada rasa masin dari telur masin.
Kacau rata dan masukkan udang. Kacau lagi. Masukkan bancuhan tepung jagung dengan air untuk memekatkan kuahnya. Masak seketika, kemudian bolehlah dihidangkan.
Daging masak black pepper
Bahan-bahan:
500g daging (bahagian batang pinang)
4 ulas bawang putih – dihiris
2 sudu besar sos tiram
Kicap manis
1 sudu kecil lada hitam – ditumbuk kasar
2 tangkai cili merah – dihiris kasar
1 ulas bawang besar holland – dihiris
2 sudu kecil tepung jagung
Daun bawang
Minyak masak
Cara-cara memasak:
Panaskan 2 senduk minyak, goreng daging selama 3-4 minit. Angkat dan asingkan.
Kurangkan sedikit minyak tadi kepada angggaran ½ senduk minyak, tumis bawang putih dan masukkan lada hitam.
Masukkan kicap dan serbuk lada hitam, kacau sebentar dam masukkan daging.
Masak menggunakan api besar dan kerapkan mengacau bahan dalam kuali.
Kemudian tambah bancuhan tepung jagung dan bawang besar. Apabila kuah menjadi pekat, padam api dan hidangkan. Hiaskan dengan taburan daun bawang.
Tip tambahan untuk mendapatkan daging yang lembut, pastikan ia tidak dimasak terlalu lama di atas api besar.
Dah tak ada idea nak masakkan apa untuk anak, semua dia tolak. Tak tahulah di mana silapnya padahal dah cuba macam-macam resipi. Untuk mommies yang ada masalah anak susah makan, jom segera dapatkan e-book 100++ Resipi Si Manja & Tip Untuk Mama!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!