Betul ke ibu mengandung tak boleh makan durian? Baca penjelasan doktor berkenaan hal tersebut sebelum anda membuat andaian yang bukan-bukan.
Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila pelakon terkenal Shaarnaz Ahmad berkongsi di instagram peribadinya video gelagat isterinya, Noornabila yang hamil 5 bulan sedang menikmati keenakan buah durian.
Ramai netizen memberikan komen seolah-olah pasangan ini tidak sayangkan anak dalam kandungan kerana menurut mereka makan durian ketika mengandung boleh menyebabkan keguguran dan kemudaratan pada bayi dalam kandungan.
Ekoran daripada teguran dan kecaman netizen yang tular di media sosial, Dr Ahmad Zakimi Abdullah telah berkongsi penjelasan berkenaan isu ibu mengandung makan durian.
Menurutnya tiada kajian saintifik yang ditemui mendapati bila wanita mengandung makan durian boleh memudaratkan bayi dalam kandungan.
“Bang, Ita nak makan durian,” permintaan isteri dengan muka tunjuk kesian. Masa tu isteri sarat mengandung 30 minggu. Rasa kesian juga tengok ibu mengandung kempunan nakkan sesuatu.
“Ahh durian!” Aku bermonolog. Ya, selalu kita dengar orang tua-tua kata orang mengandung takleh makan durian sebab panas. Benda panas boleh memudaratkan kandungan dan akhirnya keguguran. Benarkah?
Ia tak benar. Tiada mana-mana kajian saintifik mengatakan begitu. Dari sudut perubatan pula tiada benda dalam durian boleh memudaratkan baby dalam kandungan.
Aku mencari-cari juga dari rujukan kitab/manuskrip orang-orang terdahulu seperti dari Kitab Tibb pontianak tulisan Hj Ismail b Hj Mustafa pontianak (bukan pontianak yang seram tu tapi merujuk pada tempat), Ilmu Tabib Melayu oleh Prof Dr Hasyim Awang, kitab Ilmu Nujum oleh Prof Dr Harun Daud dan lain-lain. Tiada pula kata orang mengandung tak boleh makan durian.
Jadi dari mana sumber yang kata begitu? Aku sendiri pun tak pasti.
Malah durian ni kaya dengan sumber karbohidrat (seulas sama dengan 60 kcal), iron, vitamin C, Vitamin B complex, serat, protein, potassium, sodium dan bermacam lagi. Elok saja.
Cuma untuk gestational diabetes mellitus (GDM) tu tak boleh lah sebab durian tinggi kandungan gula monosaccharide. Maka berpada-pada dalam pengambilan durian. Bukan saja tika mengandung malah orang tak mengandung pun. Bersederhana lagi bagus.
Kecohlah satu negara tentang video yang dimuat naik oleh Sharnaaz Ahmad di instagram pasal isterinya Nabila yang mengandung 5 bulan makan durian. Mendapat teguran dan kecaman dari netizen kata durian tu panas dan membahayakan kandungan.
“Kesian baby dalam perut tu… Tak takut gugur ke?” Kata netizen.
Dr Zek
Sumber: Dr Ahmad Zakimi Abdullah & Instagram Sharnaaz Ahmad