Papa, ayah, daddy, baba, bapak-walau apa pun panggilannya, seorang bapa adalah watak penting dalam sebuah keluarga . Seorang bapa selebriti tentu menjadi perhatian para peminat. Interaksi, aktiviti dan belaian kasih sayang, itulah yang diberikan kepada anak. Pa&Ma kali ini menampilkan 5 selebriti hot yang kini menjadi papa yang penyayang.
SAHARUL RIDZWAN
Aktor Shaharul Ridzwan kini menjadi menjadi bapa kepada bayi sulungnya yang gebu bernama Luth Ali. Si montel Ali yang kini berusia enam bulan memanggil Shaharul dengan panggilan Baba. Baru-baru ini Shaharul berkongsi rasa teruja itu menerusi akaun Instagram apabila Ali menyebut nama Allah beberapa kali ketika mendengar azan berkumandang. Saharul memberitahu ketika isterinya hamil, dia pernah berdoa agar perkataan pertama yang keluar daripada mulut anaknya itu adalah nama Allah.
HAIRUL AZREEN
Aktor Hairul Azreen, bapa kepada Yusuf Iskandar. Seringkali berkongsi momen-momen beliau bersama Yusuf di laman Instagram. Ia kerap kali melucukan, tak kering gusi! Kuatnya bonding bapa dan anak ini sejak kecil lagi apabila Hairul mengambil tugas menjaga Yusuf pada waktu malam. Macam-macam aktiviti yang dibuat bersama. Seronoklah Yusuf daddy dia suka melayan!
IKLAN
AMAR BAHARIN
Aktor kesayangan ramai, Amar Baharin sudah bergelar bapa kepada si comel Aqeef Anaqi. Amar sangat sayangkan anak sulungnya itu dan kerap berkongsi gambar-gambar beliau bersama. Bukti pengorbanan seorang bapa, Amar juga tidak kekok untuk menghisap keluar hingus Aqeef menggunakan alat khas dan momen tersebut dirakam di dalam Instagram beliau.
SHAHEIZY SAM
IKLAN
Aktor Shaheizy Sam bergelar bapa kepada anak lelaki yang cute dan comel, Syeriv Samheizy. Si kecil ini kerap kali muncul di laman Instagram bapaknya itu. Sam juga suka melakukan tugas seorang bapa seperti memberikan susu kepada Syeriv dan bermain dengannya.
KEITH FOO
Aktor Keith Foo telah pun menjadi bapa kepada bayi perempuannya, Skylar Raymond Foo. Bayi perempuan yang comel ini kini berusia lapan bulan. Keith banyak berkongsi gambar-gambar Sklylar di laman Instagramnya. Memang betul, a father is a daughter’s first love!
Ingin tahu cara untuk tingkatkan daya imuniti bayi bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit? Semua ibu bapa mahukan kesihatan optimum untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui system pertahanan badan (imuniti) yang kuat mampu melawan sebarang jangkitan penyakit. Bayi mempunyai pertahanan imunologi sejak lahir, namun ia belum cukup matang dan akan terus diperkuat sehingga usia empat atau lima tahun.
Jom kita ketahui 5 info untuk meningkatkan daya imuniti anak anda.
1.Imunisasi
Imunisasi berkesan untuk melindungi badan si manja sebelum diserang penyakit yang boleh membawa maut. Pemvaksinan boleh dilakukan ketika si manja sihat mengikut ‘Jadual Imunisasi Disyorkan untuk Kanak-kanak’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Melalui vaksin, ia bertindak dengan merangsang tindak balas imun secara tiruan terhadap antigen tertentu dalam badan anak anda. Seterusnya mengeluarkan antibodi untuk menentang virus untuk melawan jangkitan penyakit.
2.Susu ibu
Ia adalah ‘cecair emas’. Ini boleh menguatkan system imun si manja. Susu pertama bayi iaitu kolostrum, kaya dengan antioksida dalam bentuk vitamin E dan beta karotena yang melindungi bayi daripada serangan kuman. Juga ia mengandungi pelbagai faktor perlindungan yang mengurangkan risiko antaranya cirit-birit, jangkitan telinga, dan jangkitan salur pernafasan akut yang lain. Pemberian susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama adalah yang terbaik dan hendaklah diteruskan sehingga dua tahun.
3.Persekitaran sihat dan ceria
Elakkan membawa bayi dibawah usia enam bulan di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan mereka yang tidak sihat. Namun pastikan persekitaran selamat sebelum membawa bayi ke taman permainan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, berjoging atau berenang yang boleh membantu meningkatkan kecekapan fungsi imun. Paling penting, jangan dedahkan anak-anak kepada asap rokok kerana ia mengandungi toksin yang boleh melemahkan sistem imun dan merosakkan sel-sel imun anak anda yang masih belum matang.
4.Emosi positif
Bayi yang menghadapi tekanan mampu mengurangkan keupayaan sistem imun untuk menentang jangkitan yang menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Oleh itu, wujudkan emosi yang positif supaya anak gembira. Lakukan aktiviti bersama seperti membaca, mewarna, melukis dan bermain bersama anak-anak anda. Suasana seperti ini boleh membantu menguatkan sistem imun kerana ia membantu mengurangkan hormon tekanan dan menambah sel imun.
5.Pemakanan yang seimbang.
Apa yang anak anda makan boleh mempengaruhi sistem imunnya. Jadi hidanglah makanan yang berzat untuknya membesar dengan system pertahanan badan yang kuat. Hasil kajian menunjukkan risiko penyakit berjangkit adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak terutamanya bayi yang kekurangan zat makanan. Jadi sediakan diet yang lengkap dan seimbang untuk anak anda. Rujuk kepada Piramid Panduan Makanan yang dapat membantu menjamin sistem imun si manja berfungsi dengan baik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lucunya apabila ibu mengandungkan anak kemudian diuji dengan macam-macam masalah sepanjang kehamilan, tetapi bila keluar si manja itu mengikut acuan ayahnya. Itulah yang terjadi kepada pelantun lagu Be Mine, Tasha Manshahar, yang buat pertama kalinya mendedahkan wajah anak sulungnya itu.
Bayi comel yang diberi nama Muammar Rafiqi dilahirkan secara pembedahan apabila gagal melahirkan secara normal walaupun sudah diindius sebanyak tiga kali. Anaknya dilahirkan dengan berat 3.5kg. Kedudukan bayinya yang senget dari laluan menyebabkan kelahiran pembedahan adalah yang terbaik buat ibu dan anak.
Ketika menceritakan tentang pengalaman melahirkan Muammar Rafiqi, Tasha memberitahu yang sakit pembedahan mulai terasa selepas kesan ubat bius mulai hilang.
Selesai pembedahan, badannya menggigil tidak boleh dikawal, pergerakan juga terbatas selain terpaksa memakai tiub untuk bunag air kecil kerana tidak boleh bangun. Bahkan terpaksa makan bersuap dan terasa sakit jika bersin atau ketawa. Tasha juga hampir pengsan di dalam tandas ketika pertama kali dapat bangun dari katil.
Dalam perkongsian melalui laman Instagram peribadinya itu, Tasha turut menulis kapsyen: “Muammar Rafiqi b. Fahrur Raqib, Mommy happy sangat masa dapat tahu awak ada dalam rahim mommy, mommy syukur tak berhenti.
“Sembilan bulan mommy bawa awak ke sana sini, naik turun tangga, turun naik bukit. Sakit pinggang, sakit badan, letih. Tapi semua kita buat sama-sama.
“Hari Jumaat 21/6, hari yang Allah tetapkan kita berjumpa. Semua orang excited sangat nak jumpa awak. Doktor belah perut mommy. Peritnya Tuhan je tahu saat bius semakin menghilang.
“Tapi akhirnya copy ori muka dedi @raqibmajid jugak awak ya. Mommy redho.”
Juga disertakan beberapa keping foto si comel Muammar Rafiqi. Rata-rata pengikutnya terhibur dengan kemas kini itu dan berkongsi pengalaman yang sama.
Tidak kisahlah ikut rupa siapa, dah memang itu acuannya kan? Pa&Ma mendoakan agar Tasha dan bayinya sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan dipermudahkan segala urusan.
Ibu-ibu pernah tak mengurut bayi? Tahu tak, sebenarnya ada banyak kebaikan urutan untuk si manja. Teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui lebih lanjut.
Galakkan untuk mengurut bayi
Menurut Hello Doktor, walaupun pada dasarnya masih banyak penyelidikan lebih lanjut diperlukan, namun hasil dalam beberapa kajian menunjukkan terdapat kebaikan urutan kepada bayi. Bahkan, ia dikatakan membantu dalam proses tumbesaran yang sihat.
Mengurut bayi menawarkan pelbagai manfaat. Dengan setiap sentuhan lembut, bayi akan berasa disayangi dan dikasihi. Sudah tentu ia secara tidak langsung akan mengukuhkan hubungan antara ibu dan anak.
Anda ingin cuba melakukan urutan kepada si manja tetapi tidak pasti di mana harus bermula? Ini caranya.
Kebaikan urutan kepada bayi
Sebelum mengetahui cara mengurut bayi, jom fahami terlebih dahulu manfaat bagi setiap urutan dan sentuhan yang dilakukan.
Antara kebaikan urutan adalah seperti:
1. Ketenangan otot dan singkirkan tekanan
Urutan yang dilakukan kepada bayi dapat melegakan tekanan mereka dengan merangsang pembebasan oksitosin, neurohormon yang baik dan menurunkan kadar kortisol – hormon stres.
Ia mengendurkan otot, merangsang tumbesaran dan sangat bagus untuk bayi kolik – keadaan di mana bayi akan menangis untuk jangka masa yang panjang.
2. Merangsang sistem saraf
Mengurut bayi mendatangkan manfaat kepada sistem saraf bayi kerana ia dapat meningkatkan perkembangan kemahiran motorik mereka.
3. Tidur lebih baik
Bayi yang diurut juga akan tidur dengan baik. Kelebihan ini memberikan faedah dalam proses tumbesaran otot yang lebih cepat hingga kepada peningkatan tindak balas imun.
Urutan juga membolehkan lebih banyak hormon melatonin terhasil – hormon yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mempercepatkan tidur.
4. Memperbaiki kualiti kehidupan bayi
Kebaikan urutan adalah ia boleh menjadi cara untuk menenangkan bayi dengan sindrom Down atau cerebral palsy.
Bayi pramatang juga akan menunjukkan perkembangan motor yang lebih baik apabila diurut secara berkala. Malahan, mereka juga akan menambah berat badan lebih cepat berbanding bayi pramatang yang tidak pernah diurut.
5. Meningkatkan peredaran darah
Mengurut bayi anda juga akan dapat membantu meningkatkan peredaran darah dan juga menurunkan rasa ketidakselesaan yang berpunca oleh gas atau keasidan, kembung perut mahupun pertumbuhan gigi.
Urutan akan merangsang saraf yang melalui saluran usus sehingga memberikan manfaat kepada sistem pencernaan.
6. Perkembangan psikologi dan sosial
Berdasarkan laporan daripada Asian Nursing Research Journal, rangsangan sentuhan semasa urutan akan memberikan kesan positif terhadap perkembangan psikologi dan sosial bayi di samping memperkuatkan ikatan bayi dengan ibu bapa.
7. Mengatasi kemurungan selepas bersalin
Dikatakan mengurut adalah berkesan untuk mengatasi kemurungan selepas bersalin atau dalam bahasa mudahnya, meroyan, dalam kalangan ibu-ibu.
Umumnya, ibu yang tertekan menunjukkan mood dan tingkah laku yang lebih baik ketika mereka mengurut bayi mereka secara berkala.
Tip mengurut bayi
Sebelum melakukan urutan, ada beberapa teknik yang perlu ibu (atau bapa) ketahui, antaranya:
Masa
Waktu terbaik untuk memulakan urutan bayi adalah ketika mereka terjaga dan dalam keadaan tenang.
Pilih masa antara 2 sesi penyusuan. Jarakkan tempoh masa lebih kurang 45 minit daripada sesi penyusuan terakhir si manja. Anda juga disarankan untuk menunggu 15 minit selepas mengurut sebelum menyusukan bayi.
Persekitaran
Urut bayi anda di tempat yang tenang dan memberikan keselesaan buat kalian berdua.
Baringkan si manja di atas tuala agar mereka berasa selesa. Sesi urutan juga boleh dilakukan di atas meja menukar lampin atau di atas katil anda.
Teruskan berbual
Sentiasa berkomunikasi semasa anda mengurut bayi.
Anda boleh mengulangi nama mereka dan perkataan ‘santai’ untuk menolong mereka berasa tenang, selain daripada bercerita atau menyanyikan lagu kanak-kanak kegemaran si manja.
Penggunaan minyak
Sekiranya menggunakan minyak, pilih produk tanpa wangian dan selamat kerana bayi mungkin memasukkan jari ke dalam mulut mereka.
Jenis urutan bayi
Urutan kaki
Genggam sebelah kaki si manja dengan lembut dan lakukan urutan lembut daripada bahagian paha ke pergelangan kaki.
Ulang teknik mengurut bayi ini beberapa kali sebelum melakukannya ke kaki sebelah.
Urutan perut
Letakkan tapak tangan pada bahagian tengah perut si manja. Menggunakan hujung jari, lakukan gerakan urutan perlahan dan lembut mengikut arah jam.
Ulangi urutan ini beberapa kali.
Urutan lengan
Lakukan gerakan perlahan pada lengan si manja. Bermula dengan bahunya dan bergerak ke bahagian pergelangan tangan.
Ulangi 2 hingga 3 kali sebelum beralih ke lengan yang sebelah lagi.
Urutan leher
Berikan sokongan bahagian badan atas dan kepala si manja menggunakan sebelah tangan.
Letakkan ibu jari tangan sebelah ke satu sisi leher bayi dan 2 jari di sisi bertentangan. Kemudian gunakan hujung jari lakukan usapan lembut dengan gerakan membulat.
Ulangi gerakan tersebut untuk beberapa kali.
Urutan melegakan kolik
Pertama sekali, berikan bayi urutan pada bahagian perut.
Kemudian bengkokkan lutut ke perutnya dan tahan selama 30 saat sebelum melepaskannya. Ulangi kaedah mengurut bayi ini beberapa kali.
Letakkan sebelah tapak tangan pada perut bayi. Lurutkan tangan dengan lembut daripada perut ke bahagian bawah, ia membantu melepaskan gas yang tersimpan. Ulangi gerakan ini jika perlu.
Memberikan ketenangan
Urutan bayi adalah terapi menenangkan untuk mereka dan mengeratkan ikatan antara anda dan si manja. Namun, tidak semua bayi suka apabila diurut.
Jika ia tidak berjaya pada kali pertama, mungkin anda boleh mencubanya beberapa kali sebelum mendapatkan teknik urutan yang betul dan bersesuaian dengan bayi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!