Siapa kata lauk pantang tak best? Dan siapa kata lauk pantang boring, asyik sama je dengan menu rebus, panggang dan kukus? Baik menu kukus, rebus atau panggang jika diberikan olahan yang baik pastinya buat ibu berpantang rasa nak makan bertambah-tambah. Silap hari bulan masih teringat-ingat walaupun sudah habis tempoh berpantang. Punyalah rindu dengan menu-menu hebat ni.
Menu berpantang yang dikongsikan oleh Puan Hayati Bekri di facebooknya ini memang semuanya sedap belaka. Biarpun menggunakan cara memasak seperti rebus, kukus dan panggang sahaja tetapi resipi yang disediakan memang awesome. Semuanya segar-segar belaka. Barulah nutrisi dibekalkan dengan sebaiknya dan susu ibu makin bertambah. Jom sediakan set sama seperti ibu ni. Mantap!
“Sape cakap lauk pantang tak best? Sedap la.(tapi nasi tak boleh tambah jugak). Saja nak share menu & resepi masa saya berpantang, today dah masuk 2 hari saya habis pantang. Kalau ada yang nak share, silakan. Nanti bila dah bersalin boleh tengok balik, insyaAllah.
Tapi kena pandai jugak rasa-rasa mana yang sesuai dengan keadaan badan kita k. Mungkin kita nampak orang lain kuat, tapi belum tentu untuk kita lagi….”
DAGING BAKAR
Bahan-bahan :
300 gm daging lembut
Lada hitam
Garam
Minyak
Cara memasak :
1. Gaulkan daging dengan lada hitam dan garam. Kemudian panggang sehingga masak.
2. Renjiskan minyak sekali sekala supaya tidak melekat pada pemanggang.
DAGING MASAK HALIA
Bahan-bahan:
300gm daging – dihiris nipis
2 inci halia
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
Sedikit lada hitam
Sedikit garam
Sedikit air asam jawa
Cara Memasak:
1. Rebus daging hingga lembut. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia.
3. Masukkan daging bersama air rebusannya beserta air asam jawa.
4. Perasakan dengan sedikit garam, biarkan mendidih dan angkat.
SUP LOBAK MERAH BAWANG PUTIH
Bahan-bahan:
1/2 biji lobak merah -dihiris nipis
2 ulas bawang putih -dihiris
Sedikit garam
Cara Memasak:
1. Satukan semua bahan dalam periuk.
2. Biarkan mendidih dan angkat.
3. Hidangkan bersama nasi panas.
DAGING STIM HALIA
Bahan-bahan:
300gm daging – dihiris nipis
2 inci halia
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
Sedikit lada hitam
Sedikit garam
Cara Memasak:
1. Hiris nipis daging dan kesemua bahan.
2. Masukkan ke dalam pengukus dan kukus hingga daging masak.
3. Sedia dihidang bersama nasi panas.
IKAN SELAR STIM LADA HITAM
Bahan-bahan:
2 ekor ikan selar
Sedikit lada hitam
2 ulas bawang putih
Cara Memasak:
1. Masukkan ke semua bahan dalam pengukus.
2. Taburkan sedikit lada hitam.
3. Kukus hingga masak.
DAGING MASAK SINGGANG
Bahan-bahan:
300gm daging -dihiris nipis
2 inci halia
Sedikit lengkuas
Asam keping
Garam dan gula
Cara Memasak:
1. Satukan kesemua bahan dalam periuk.
2. Biarkan mendidih, perasakan dan angkat.
3. Hidangkan bersama nasi putih.
Jadi mana satu pilihan mama? Simpan semuanya kemas-kemas, bila tiba waktu berpantang nanti bolehlah dicuba. Semua menu yang dikongsikan ibu ini sihat, segar dan paling penting ringkas cara penyediaannya.