Sibuk Sekalipun Ibu Ayah, Setiap Hari Pastikan Selit Ayat Ini Sambil Peluk Anak

Share

Mungkin kerana kesibukan kerja atau rutin harian yang padat, kita menganggap anak-anak akan memahami situasi kita. Tapi hakikatnya, cara berkomunikasi dengan anak perlulah berkesan dan seharusnya kasih sayang sentiasa diingatkan dan diekspresikan.

Berikut adalah antara beberapa ucapan yang boleh kita ucapkan kepada anak-anak, tak kiralah yang masih kecil ataupun yang meningkat usia remaja. Mudah-mudahan, ia memberi kesan luar biasa serta sentuhan magik kepada emosi dan rohani anak-anak kita.

  1. “MAMA/PAPA SAYANGKAN KAMU”

Jangan biarkan satu hari pun berlalu tanpa memberitahu anak-anak bahawa kita menyayangi mereka. Anak-anak akan berasa selamat apabila diingatkan bahawa kita sentiasa mencintai mereka.

Dalam hari-hari yang sukar, anak-anak mungkin akan buat ‘perangai’ atau tidak berkelakuan baik seperti apa yang kita harapkan. Sungguhpun begitu, penting untuk anda jelaskan kepada mereka bahawa semua perkara ini tidak akan sesekali melunturkan kasih sayang anda terhadap mereka.

  1. “MAMA/PAPA SERONOK BERMAIN DENGAN KAMU”

Tak kiralah apa jua aktiviti yang anda lakukan hari ini, cuba beritahu anak bahawa anda sangat gembira berada di samping mereka.

Tidak dapat dinafikan, seorang anak sememangnya sumber keceriaan dan kegembiraan dalam sebuah keluarga. Malah, anak juga adalah sumber rezeki dan anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Jadi, jangan malu-malu meluahkan kepada anak betapa berharganya mereka buat anda.

  1. “KAMU SANGAT ISTIMEWA”

Tak perlu tunggu anak-anak naik pentas, terima anugerah di sekolah, atau menang pertandingan untuk mengucapkan ayat ini kepada mereka.

Sebaliknya, fahamilah bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang diciptakan oleh Allah. Oleh itu, beri perhatian kepada perkara-perkara ‘simple’ yang dilakukan oleh anak setiap hari dan ekspresikan penghargaan anda kepada mereka.

  1. “MAMA/PAPA SUKA BILA KAMU…”

Setiap orang tentunya berasa gembira apabila mengetahui mereka dapat membuat seseorang gembira – terutamanya anak anda.

Jadi, ambil kesempatan ini untuk mengingatkan mereka tentang perbuatan mereka, karakter, kelakuan baik, idea bernas, atau apa-apa saja yang positif.

  1. “MAMA/PAPA PERCAYAKAN KAMU”

Salah satu perkara mustahak yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak adalah apabila mereka tahu ibu bapa sentiasa menyokong mereka. Dengan kata-kata ini, anak akan berasa lebih konfiden, berani mencuba, dan tidak mudah berputus asa untuk menghadapi cabaran.

Selain itu, ia juga membuka lebih banyak peluang kepada anak untuk meneroka serta meningkatkan usaha dalam melakukan apa saja yang mereka minati.

CARA BERKOMUNIKASI DENGAN ANAK AMAT PENTING

Mudah, bukan? Walaupun 5 ucapan ini begitu ‘simple’, tetapi percayalah cara berkomunikasi dengan anak ini mampu memberi kesan luar biasa kepada masa depan mereka.

Jadi, pastikan anak-anak anda tahu betapa mereka disayangi dan dicintai agar mereka dapat membesar sebagai seorang anak yang positif, berkeyakinan tinggi, dan memiliki perasaan belas kasihan terhadap sesama insan.

Tak payah tunggu mereka besar, mulalah melakukannya hari ini juga!

Sumber: zuriat.my

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

 

Published by
Wan Amy