Sedarkah anda cara kita bercakap, ton suara kita, intonasi suara, pergerakan badan, lenggok tubuh, renungan mata, dan ekspresi wajah apabila kita berinteraksi dengan orang lain adalah 80% hampir menyerupai cara dan gaya ayah, ibu atau orang terdekat dengan kita?
Kenapa begitu?
Nak tahu lanjut Konsultan Parent Connect, Puan Noor Afidah Abu Bakar beri penjelasan lanjut.
Segala tindakan dan tingkah laku ibu bapa mempunyai impak yang besar dan berpanjangan ke atas perkembangan seorang anak. Masih ingat lagi proses ‘SERVE AND RETURN’ yang pernah saya kongsi? Proses yang menghubungkan sel-sel otak ini melibatkan INTERAKSI dan TINDAK BALAS di antara anak dan ibu bapa. Membalas senyuman anak kecil juga akan menghubungkan sel-sel otak anak dan mengembangkan pemikirannya. Kita tidak perlu beli susu mahal untuk menghubungkannya. (Boleh rujuk #perkembanganpemikiran )
Hanya 20% elemen komunikasi adalah dalam bentuk perkataan yang didengari oleh anak.
80% lagi adalah dalam bentuk ekspresi wajah, renungan mata dan gerak tubuh yang perlu diperhatikan oleh anak untuk memahami konteks dan maksud yang hendak disampaikan
Apabila teknologi digunakan oleh anak TIDAK KENA TEMPAT dan tidak kena gaya:
1) Ia akan membantutkan perkembangan BAHASA DAN KOMUNIKASI seorang anak.
2) Ia juga membantutkan perkembangan SOSIAL kerana anak bukan sahaja tidak tahu cara berinteraksi secara total 100%, malah anak juga tidak memahami apa yang cuba hendak disampaikan oleh orang lain.
3) Anak juga tidak memahami ADAB DAN ETIKA sesuatu persekitaran sosial kerana selama ini fokusnya hanya MELEKAT di paparan skrin. Dia tidak pernah memerhatikan bagaimana caranya manusia berinteraksi sesama manusia.
Memahami adab dan etika, komunikasi interpersonal dan keupayaan sosial adalah skil penting yang dikenali sebagai ‘TRANSVERSAL COMPETENCIES’. Skil ini sukar dibentuk apabila ibu bapa atau anak lebih banyak melayan gajet walaupun duduk berhadapan dalam ruang yang sama. (Contohnya seperti dalam gambar).
Sekiranya yang diperhatikan oleh anak dari usia awal adalah tidak lebih dari apa yang dipaparkan di skrin di hadapannya sahaja, maka jadilah anak itu anak yang ‘TIDAK FAHAM BAHASA’ atau mengalami KEGANJILAN SOSIAL (social awkwardness).
Anak yang mengalami ‘social awkwardness’ ini tidak tahu bagaimana untuk ‘behave’ apabila berada bersama dengan orang lain. Ini kerana dia lebih banyak berinteraksi dengan mesin dari memerhati dan berinteraksi dengan ibu bapanya dan sesama manusia dalam sesuatu persekitaran sosial contohnya ketika waktu makan.
Waktu makan adalah waktu yang sangat penting bagi mewujudkan perapatan sesama ahli keluarga.
“As connectivity increases, connectedness can lose out.”
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy