Silap Mak Ayah Salah Satu Punca Anak Buat Perangai

Share

Silap mak ayah salah satu punca anak buat perangai? Seperti tidak percaya tapi inilah hakikatnya yang ibu bapa tak sedar.

Setiap tingkah laku anak ialah satu bentuk komunikasi yang tidak dapat diluahkan dengan perkataan oleh anak.

Bila anak buat perangai, tidak kiralah anak kecil atau remaja, mereka ingin memberitahu bahawa mereka ada masalah.

Masalah anak kecil mungkin mengantuk, lapar, tidak selesa, letih, kecewa dan sebagainya. Masalah anak remaja mungkin berkaitan dengan kawan, kerja sekolah, sekolah, persekitaran, keyakinan diri dan sebagainya.

Ada 4 kategori ibu bapa apabila berhadapan dengan anak yang ada masalah ini.

1 – Ibu bapa Yang Menghukum Apabila Anak Ada Masalah

Ibu bapa ini hanyalah ingin mendiamkan anak dan menghentikan perbuatan anak sedangkan masalah anak tidak juga selesai. Anak tidak belajar skil penyelesaian masalah.

Apa yang anak pelajari?

Anak belajar untuk tidak percaya kepada ibu bapa . Dia mencari sesiapa saja yang faham dan dapat membantu. Dalam dunia digital sekarang ini, ramai syaitan bertopeng manusia yang berada di dunia maya. Bagi remaja, dia keluar mencari kawan yang faham.

Anak juga belajar bahawa masalah dan konflik mesti diselesaikan dengan keganasan.

2 – Ibu bapa Yang Melihat Anak Ini Sebagai Satu Masalah

Ibu bapa ini selalunya berasa kecewa dan marah dengan anak dan juga diri sendiri. Mereka akan bertindak seperti ibu bapa pada nombor pertama dan kesannya kepada anak-anak juga sama seperti yang telah disebutkan di nombor pertama. Masalah yang dihadapi oleh anak tidak diselesaikan.

Apa yang anak pelajari?

Dirinya hanya menyusahkan ibu bapa dan dia tiada nilai dalam keluarga.

3 – Ibu bapa Yang Selesaikan Masalah Untuk Anak

Ibu bapa ini juga hanya mahu diamkan anak dan menghentikan perbuatan anak. Ibu bapa ini selalunya merasuah anak dengan apa saja asalkan anak tidak buat perangai.

Contohnya: “OK OK mama belikan aiskrim, jangan kacau. ”

“Nah gajet, jangan bising-bising dah.”

Sedangkan masalah anak tiada kena mengena dengan aiskrim ataupun gajet pun. Masalah anak tidak juga selesai dan anak tidak belajar untuk menyelesaikan masalah.

Apa yang anak pelajari?

Apabila buat perangai, dia dapat ‘reward’. ‘Best’nya!

4 – Ibu bapa Yang Bantu Anak Selesaikan Masalah

Ibu bapa ini akan cuba lihat dan dengar apa keperluan anak yang tidak mencukupi dan apakah masalah yang menyebabkan anak buat perangai. Tidak cukup makankah? Letihkah? Kena bulikah? Kecewa dengan subjek matematik kah? Ibu bapa sibuk sangatkah?

Ibu bapa akan marah dan fokus pada PERBUATAN anak.

Contohnya: Jika anak berbohong, kenapa dia berbohong? Takut kena marahkah? Hendak lindungi kawan baik kah? Supaya dia dapat apa yang dia mahukah? Supaya ibu bapa tumpu perhatian kepada dia dan bukan adik sahajakah?

Apabila faham masalah yang dihadapi, ibu bapa ini juga cuba selami perasaan anak kerana anak pun manusia yang ada perasaan. Ini akan disusuli dengan slot penyelesaian masalah.

Kemampuan penyelesaian masalah bukan hanya hak milik mereka yang pandai akademik sahaja. Ia adalah hak semua untuk mempelajari dan memiliki kemahiran tersebut dan menggunakannya dalam kehidupan seharian juga.

Published by
Wan Amy