Ada anak kecil, memang kena sentiasa beringat. Kadang sesuatu perkara yang tak dijangka boleh berlaku sekelip mata. Begitu juga yang berlaku kepada bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh dan isteri apabila bayinya berusia dua minggu jatuh dari ketinggian satu meter.
Menurut perkongsian Najdi di Mstar, dia hanya mampu menyalahkan dirinya sendiri kerana bayi keempatnya, Wan Mishary yang ditinggalkan atas meja di tingkat bawah kira-kira dua minit jatuh setelah ditinggalkan sekejap.
“Lepas tukarkan baju baby, saya biar atas meja. Sepatutnya letak atas katil dulu. Isteri waktu tu sedang mandi.
“Saya naik atas sekejap untuk tukar baju. Baru sekejap tinggalkan, tiba-tiba dengar baby menangis dan jatuh.
“Saya orang terakhir yang pegang, kesilapan datang daripada saya. Lepas kejadian itu saya dan isteri hanya mampu berdoa dan menangis. Kami saling salahkan diri, ” katanya dalam keadaan kesal.
Setelah kejadian itu, terus bawa bayi ke Hospital Kajang untuk dapat rawatan. Alhamdulillah, pakar buat ultrasound dan syukur tiada pendarahan. Cuma masa tu tetap kena monitor 24 jam.
“Setakat ini, keadaan bayi nampak okey cuma bila bangun nampak bayi sedikit terkejut. Ada kesan bengkak di kepala bahagian kiri,” kongsinya dengan memaklumkan anaknya sudah dibenarkan pulang ke rumah.
Tambah Najdi, kejadian berlaku pada pagi Hari Raya Aidiladha benar-benar menginsafkannya.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, ia berlaku ketika anak keduanya ingin menarik kain lampin yang digunakan membalut bayi.
“Saya tak salahkan sesiapa cuma agak terkilan keadaan ini berlaku.
“Harap dengan apa yang berlaku ini boleh dijadikan peringatan buat semua ibu bapa lain terutama dalam menguruskan anak yang masih kecil,” katanya.
Najdi dan Dr Norazreen mendirikan rumah tangga pada 2016 dan hasil perkongsiannya hidup selama lima tahun dikurniakan empat cahaya mata, Wan Nur Maisarah, 5, Wan Mustapha, 3, Wan Medina, 2, dan Wan Mishary, 2 minggu.
Kredit: Mstar & IG Wan Najdi
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)