Hasrat pasangan suami isteri untuk menyambut bayi yang bakal dilahirkan dengan selamat dan sihat bertukar tragedi.
Pasangan ini menyesal apabila membuat keputusan untuk menyambut kelahiran anak mereka di rumah dengan mengupah ‘bidan palsu’ sehingga menyebabkan kaki bayi mereka patah dan cedera.
Kaki Bayi Kebiruan & Ibu Alami Komplikasi
Tular di laman sosial gambar kaki bayi berkenaan kebiruan sehingga mengundang kemarahan doktor di Rusia kerana tidak menjalani prosedur kelahiran di hospital.
Kejadian di bandar Voronezh itu dipercayai disebabkan kelewatan ibu bayi itu dibawa ke hospital selepas mengalami komplikasi ketika proses kelahiran di rumahnya.
Keadaan Ibu Kritikal
Selepas melihat keadaan yang semakin kritikal, dua bidan amatur itu kemudiannya panik sebelum bergegas membawa ibu dan bayi berkenaan ke hospital bersalin untuk tindakan lanjut.
Ketua Ginekologi Negeri, Olga Samafalova berkata, agak mengejutkan apabila terdapat wanita hamil yang memilih untuk mendapatkan bantuan ‘bidan palsu’ terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi.
“Mereka terpedaya dengan kisah indah yang dikongsi dalam kalangan mereka mengenai perjalanan kelahiran secara alami.
“Namun, ia tidak seindah yang disangka. Kebanyakan wanita yang bersalin secara ‘alami’ berdepan masalah pendarahan teruk atau nekrosis yang seterusnya menjejaskan kesihatan mereka selepas bersalin,” katanya.
Percaya Selepas Menyertai Kelas Kelahiran Alami
Bapa kepada bayi berkenaan menjelaskan, mereka mempercayai dua wanita dikenali sebagai Valeria dan Ekaterina selepas menyertai kelas kelahiran alami yang dianjurkan mereka.
‘Mereka’ Tahu Kedudukan Bayi Songsang
Sebelum itu, mereka mengetahui bayi dalam kandungan berada dalam keadaan songsang dan isterinya diberikan ramuan homeopathi untuk membetulkan kedudukan bayi.
Saya Menyesal Mendapatkan Khidmat Mereka
Bagaimanapun, keadaan bayi tidak berubah sehingga tiba waktu kelahiran menyebabkan kaki bayi terlebih dahulu keluar.
“Saya menyesal mendapatkan khidmat mereka. Lebih menyakitkan hati apabila kedua-dua wanita berkenaan meminta saya menjelaskan bayaran bagi perkhidmatan yang diberi.
“Mereka juga kini sudah lesap selepas saya memaklumkan mempunyai rakaman proses kelahiran itu,” katanya.
Sumber: Hmetro, Daily Mail