Situasi semasa penularan dan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut, Ketua Pengarah Kesihatan membuat kenyataan rasmi pada 11 Julai 2018.

Berikut kenyataan daripada  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia  pada 11 Julai 2018 yang disampaikan menerusi kpkesihatan.com;

Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan 11 Julai 2018,  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat peningkatan bilangan kes penyakit HFMD di Malaysia. Sehingga 30 Jun 2018, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 27,296 kes berbanding hanya 21,303 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 28%. Bilangan kes di 12 buah negeri telah melepasi paras amaran kecuali Johor, Sabah dan Sarawak. Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima (5) tahun kebelakangan dan nilainya berbeza-beza mengikut bilangan kes HFMD bagi setiap negeri.

Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak  di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika. Ianya disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis kes.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke 10 hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. Tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD.

Sehingga kini, di seluruh Malaysia, sebanyak 341 buah taska / tadika / tabika / pra-sekolah telah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, iaitu 50% dari jumlah wabak yang dilaporkan pada tahun ini. Survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti virus EV71 dalam persekitaran semenjak bulan Mac  2018.

PERINGATAN KEPADA PENGUSAHA DAN PENJAGA KANAK-KANAK DI TASKA / TADIKA / TABIKA / PRA-SEKOLAH

Bagi menghalang sebaran virus HFMD, KKM menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska / tadika / tabika / pra-sekolah untuk:

  1. Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja, kerusi serta alatan mainan kanak-kanak tersebut;
  2. Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  3. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  4. Membersihkan dan memastikan kebersihan tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin;
  5. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  6. Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

KEPADA IBU BAPA/ PENJAGA ANAK YANG DIJANGKITI HMFD

KKM juga ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya:

  1. Meningkatkan kesedaran dan keupayaan mengenalpasti tanda-tanda penyakit HFMD pada kanak-kanak yang kurang sihat seperti tanda lepuh pada tangan, kaki dan mulut;
  2. Memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

AMALKAN MENCUCI TANGAN

Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;

  1. Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin; dan
  2. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

Sumber: kpkesihatan.com

 

Tinggalkan Komen