Speech Therapist Kongsi Cara Ibu Ayah Boleh Betulkan Anak Yang Cakap Pelat. Mesti Buat Tau!

Share

Anak cakap pelat memang nampak comel. Sebenarnya ada cara untuk betulkan anak yang cakap pelat mengikut cara Speech Therapist. Kalau anak bercakap pelat, ia bukan sesuatu yang ‘comel’ dan lucu. Jangan disebabkan anda seronok dan merasakan si kecil kelihatan comel bercakap pelat maka anda biarkan sahaja.

Dengan harapan nanti lama-lama akan elok lah percakapannya. Menurut Puan Ruby Atika, Speech Therapist yang berpengalaman luas dalam bidang speech therapy serta  mempunyai pusat terapi sendiri, pelat si kecil boleh dibetulkan jika ibu bapa berjaya mengesan apa punca anak bercakap pelat.

Kisah Pelat

​​Umur 4 tahun (ikut tarikh lahir, bukan ikut tahun sekolah) patutnya dah boleh cakap jelas, bercerita dan difahami oleh orang dewasa, walaupun bukan ahli keluarga dekat.

Jika masih pelat,

1) ujian pendengaran

2) mulakan speech therapy

Jika memang dah confirm, normal hearing, takde isu taik telinga keras ke, air bertakung belakang gegendang ke atau apa-apa masalah pendengaran, maka alhamdulillah.

Untuk bab speech therapy,

1) kena pastikan, adakah umur bahasanya setara dengan umur sebenar? Maksudnya, takde isu language delay.

2) Jika memang umur bahasa sesuai dengan umur (boleh bercerita, main teka teki, ayat panjang ada kata hubung, menjawab soalan ‘kenapa’ dan lain-lain) maka kena pastikan, adakah dia sedar yang dia tu pelat? Adakah dia boleh membezakan perbezaan bunyi terkecil?

tangga/mangga

satu/batu

pokok/rokok

kopi/topi

kari/sari

Perbezaan ini mesti dinilai bukan saja dalam peringkat 1 perkataan, tapi jika dalam ayat, boleh tak? Atau bila makin panjang ayat, dia makin rasa keliru?

3) Kemudian barulah nilai semua konsonan dan vokalnya dalam 3 kedudukan berbeza. Awalan, tengah dan hujung perkataan. Cth: s

maka awalan s /sabun/

tengah s /basuh/

hujung s /bas/

Adaka /s/ salah di kesemua kedudukan? atau ada yang betul? Bermakna, tidak konsisten pelatnya?

Bahagian 2, Pelat

Selepas buat analisa, maka ibu bapa patut jelas apakah masalah sebutan yang anak hadapi secara detail.

Contoh:

k jadi t (kakak disebut tatak)

s jadi c (nasi disebut naci)

b jadi m (bomba disebut mome)

ng jadi m (pisang disebut pisam)

hilang awalan konsonan (roti – oti)

dan sebagainya.

Masalah pelat sebenarnya boleh jadi:

A) Phonological disorder

B) Articulation disorder

Speech therapist (ST) akan membuat penilaian untuk benar-benar tahu, sama ada ini kes A atau B.

Secara mudahnya Articulation Disorder ialah masalah untuk sebut sebab letakkan lidah/bibir/rahang yang salah.

Tapi Phonological Disorder pula masalah bila anak memudahkan sebutan dan ciri sebutan pelat tu biasa berlaku pada kanak-kanak yang baru berkembang.

Maka buat ibu bapa yang ada anak pelat, lepas ni jika nak kata anak anda pelat, sila sebutkan analisa anda. Dan nyatakan sama ada ianya konsisten atau tidak.

Bahagian 3, Pelat

Pendekatan untuk melatih kes articulation disorder dan phonological disorder adalah berbeza. Maka sebagai speech therapist, mesti betul-betul teliti semasa penilaian, supaya tak buat kerja sia-sia.

Untuk ibu bapa, anda sepatutnya bawa anak ke ST untuk maklumat yang tepat. Sementara tunggu, ada beberapa kaedah yang anda boleh cuba jaya.

Bermakna, ini tak semestinya berjaya. Tapi boleh cuba. Speech therapy, bukan macam buku masak-memasak, ada bahan-bahan dan langkah-langkah bagai. Bergantung pada jenis masalah, tahapnya dan penerimaan individu murid yang unik.

Berdasarkan komen-komen pembaca dalam post saya sebelum ni, ramai yang pelat /k/ jadi /t/. Kakak dia sebut /tatak/.

Cara rawatan

– sebut aaaaaa……… dulu.

– pastu sebut aaaaaaka. maka dia akan jadi ata.

– tekan lidah depan dia guna kayu ais krim, sambil sebut aaaaaka.

– ulang 5x

– jarakkan kayu ais krim dari lidah, tapi masih di dalam ruang mulut anak. ulang 5x.

– jarakkan kayu ais krim dari mulut anak, tapi dia masih nampak kayu tu. sebut aka 5x.

– letak kayu ais krim dan sebut ka ka ka 5x.

Bahagian 4, Pelat

Ada pula yang pelat ng. Pisang jadi pisam. Abang jadi abam.

Maka ajak anak nyanyi lagi doremon. Ang ang ang……

Kalau dia jadi am am am juga, tunjuk cermin. Sebut sama-sama. Bagi dia nampak beza, bila kita sebut /ang/  mulut terbuka. Kalau /am/ mulut tertutup.

Dah berjaya jadi ang, maka main lawan-lawan.

Beng beng! tembak. Peng peng! Menang!

Senaraikan perkataan ng dan latih anak sebut.

Hilang, pisang, lapang, lalang, senang….

Bahagian 5, Pelat

Ramai pula ibu bapa kata anaknya pelat s.

– mulakan ajar bunyi ular ssssss…..

– kalau tak keluar bunyi, ajar tiup wisel.

– pakai cermin, tunjuk kat anak yang lidah depan mesti ke gigi bawah baru boleh keluar bunyi desir sss….

– cicah jari kelingking dgn air sedikit, letak di bibir, letak rapat di bibir bawah, rasakan angin desiran pada jari.

– dah cekap ssss….. baru ajar bas, kipas, emas, lipas. Bunyi s di hujung.

– kemudian s di tengah. basah, basuh, masak

– kemudian s di depan. sabun, sakit, suka

– seterusnya s dalam ayat. saya masak nasi.

Ingat ya, saya takkan ajar benda-benda ni jika anak belum capai umur 4 tahun. Kalau anak speech delay pun, saya akan pastikan umur bahasa dia dah mencapai 4 tahun. Baru saya ajar.

ST lain, mungkin lain caranya. Ni cara saya.

Sumber: Ruby Speech Theraphy

Published by
Hasnita Sawal