Suami Doula Terbaik Temankan Isteri Masa Bersalin. Dari Awal Hamil Dah Sama-Sama Susah

Share

Doula atau suami. Yang mana lebih baik? Sebutlah apa pun tugas seorang Doula, itu sebenarnya juga tugas seorang suami dan lebih lagi.

Berikut perkongsian dari suami yang juga suka menulis mengenai topik kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semas, Akhtar Syamir

Sebagai peneman semasa proses kelahiran? Suami lebih baik. Sebab suami sendiri ada semasa proses paling awal semuanya ini terjadi.

Sebagai pemberi semangat kepada Isteri sebelum, semasa dan selepas kelahiran? Suami lebih baik. Suami lebih mengenali isteri berbanding Doula. Menghabiskan masa setiap hari dengan isteri. Memahami kehendak isteri dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Sebagai pemudah urusan isteri selepas bersalin seperti menjaga isteri, menyediakan makanan, menguruskan anak – anak dan termasuklah menyediakan persekitaran yang baik untuk Isteri? Suami lebih baik kerana suami lebih tahu tahap keselesaan yang diperlukan isteri. Anak – anak juga lebih kenal ayahnya dan privasi rumah terus terjaga. Ini lebih baik dari ada orang luar yang berkeliaran di rumah sendiri.

Kenapa Doula dikatakan diperlukan? Doula ini sendiri bermula di luar negara di mana ramai wanita yang bersalin tidak ditemani sesiapa disebabkan hubungan yang tiada batasan. Akhirnya, seorang wanita terpaksa menanggung kesemuanya seorang diri.

Dari sini datangnya peranan “peneman” atau dengan nama komersialnya Doula. Jangan terkejut, orang yang sunyi dan orang yang memerlukan sokongan, sanggup membayar orang lain untuk menjadi peneman di saat yang memerlukan ini. Dengan erti kata lain kawan yang disewa.

Berbeza sedikit di Malaysia di mana hubungan antara lelaki dan wanita tidak seteruk dan sebebas di negara luar. Kebanyakan wanita yang melahirkan anak, boleh dikatakan mempunyai seorang suami di sisi.

Jadi, adakah seorang wanita di Malaysia masih memerlukan Doula? Ya dan tidak.

Jawapannya YA, apabila keadaan amat memerlukan. Buat wanita yang kehilangan suami, sama ada kerana penceraian, kematian atau pun disebabkan masalah perhubungan bebas. Di tahap ini, jika seorang wanita itu tiada sahabat handai, saudara mara atau pun malu dengan keadaan yang sedang dialaminya, memang dia memerlukan segala sokongan dan dorongan dari segi emosi yang Doula berikan.

Jawapannya TIDAK pula ialah apabila wanita yang bakal melahirkan itu mempunyai suami. Memang tanggungjawab suami menyediakan segalanya dari A sampai Z, menjaga emosi isteri, menjadi peneman isteri, pemberi semangat semasa isteri berjuang, memberi kasih sayang, mengingatkan yang semua yang dilalui ini berbaloi dan bersedia apabila diperlukan pada sebelum, semasa dan selepas proses kelahiran.

Jika suami tidak boleh menjadi seperti yang di atas kerana kekangan tempat kerja yang jauh dan sebagainya, carilah orang yang boleh mengganti semua tugas itu. Mula dengan adik beradik, saudara mara dahulu. Jika tiada, Doula boleh memainkan peranan yang tidak lebih dari yang dinyatakan di atas.

Namun, jika si suami tidak boleh menjalankan tugasan wajib seorang suami seperti yang saya nyatakan kerana malas, tiada inisiatif dan tidak rasa itu semua penting, anda sepatutnya boleh berhenti menjadi suami. Kita namakan sahaja anda sebagai penderma sperma. Derma dan tinggal. Jika anda di tahap ini, andalah antara punca kenapa Doula ini wujud.

Jadi, tepuk dada tanya diri. Anda rasa Doula atau suami yang lebih baik untuk sentiasa berada di sisi?

Sekali lagi saya tekankan, Doula hanya berfungsi sebagai peneman, pemberi galakan, menyokong emosi dan fizikal. Tidak lebih dari itu dan Doula ini sebenarnya tidak perlu wujud jika semua suami menjaga isterinya dengan baik.

Suamilah Doula yang sebenar-benarnya. Kalau selama ini suami anda telah temankan anda semasa bersalin dan sepanjang masa dari awal kelahiran hingga selepas kelahiran, bolehlah minta suami print sendiri sijil Doula. Kerana Doula di Malaysia sendiri tidak diiktiraf KKM pun.

Saya amat terkesan dengan kenyataan Professor Imelda Balchin.

“Doula tidak ada apa-apa training perubatan untuk mengenali apakah kecemasan.”

Baca dan fikirkan kenyataan itu. Jika anda tidak rasa bimbang langsung, terpulanglah untuk meletakkan nyawa anda di tangan Doula. Saya secara peribadi, sama sekali tidak akan benarkan.

Sumber: Akhtar Syamir

Published by
Wan Amy