Episiotomi adalah pemotongan yang dilakukan ketika proses kelahiran normal dan akan dijahit. Tetapi bagaimana jika jahitan bersalin terbuka? Adakah ia berbahaya?
Prosedur episiotomi
Istilah episiotomi merujuk kepada pemotongan yang dilakukan pada bahagian pembukaan faraj untuk mempercepatkan atau mengelak mahupun mengurangkan risiko pengoyakan berlebihan.
Ia adalah 1 prosedur biasa dalam bidang kebidanan moden pada masa kini. Ia bukan 1 proses rutin, tetapi hanya dibuat apabila berdepan keadaan tertentu dan dilakukan oleh doktor yang mahir.
Antara sebab prosedur episiotomi dilaksanakan:
-Proses kelahiran yang berpanjangan
-Ketegangan pada janin
-Kelahiran faraj memerlukan bantuan menggunakan forsep atau vakum
-Bayi dalam posisi songsang
-Kelahiran bayi kembar atau berganda
-Bayi bersaiz besar
-Kedudukan kepala bayi yang tidak normal
-Ibu mempunyai sejarah pembedahan pelvis
Selepas prosedur episiotomi, proses jahitan dilakukan bagi memulihkan dan mencantumkan semula bahagian tersebut.
Namun adakalanya, tekanan pada jahitan atau jangkitan pada sekitar bahagian faraj boleh mengakibatkan jahitan bersalin terbuka.
Adakah keadaan ini berbahaya? Apa yang perlu dilakukan?
Menyedari jahitan bersalin terbuka
Sudah sakit akibat proses kelahiran dan episiotomi, jadi bagaimana untuk mengetahui jika jahitan tersebut mungkin terbuka?
Sekiranya keadaan ini berlaku, rasa sakit yang anda alami akan meningkat.
Terdapat juga risiko untuk berlakunya pendarahan baharu atau wujud cecair seperti nanah. Anda juga mungkin akan berasa tidak sihat.
Terdapat sesetengah wanita yang berdepan masalah jahitan bersalin terbuka akan menyedari terdapat benang yang terkeluar atau melihat sendiri jahitan yang terbuka.
Jika keadaan ini berlaku kepada anda dan wujud kebimbangan dalam diri, anda boleh melakukan pemeriksaan dengan doktor.
Mereka boleh memeriksa keadaan jahitan episiotomi dan melihat jika terdapat tanda jangkitan.
Kebanyakan wanita yang mengalami masalah ini akan diberikan ubat antibiotik dan disarankan mengambil ubat tahan sakit seperti ibuprofen kerana ia selamat untuk ibu yang menyusu badan.
Sekiranya masalah yang berlaku disebabkan jangkitan dan membuatkan ibu tidak sihat, anda mungkin perlu dimasukkan ke wad untuk diberikan antibiotik intravena (melalui saluran darah).
Perlukah dijahit semula?
Jika terdapat jangkitan, luka bersalin tersebut tidak akan dijahit semula.
Ia boleh memerangkap jangkitan di dalamnya dan keadaan ini akan mengakibatkan tisu tidak akan bercantum dengan baik.
Manakala jika keadaan sebaliknya, sama ada tiada jangkitan atau jangkitan sudah dirawat, luka akibat episiotomi mungkin akan dijahit semula.
Anda akan diberikan nasihat oleh doktor bagi membuat pilihan terbaik.
Bolehkah jahitan bersalin terbuka sembuh?
Proses penghasilan tisu baru akan berlaku setiap hari dan keadaan ini akan mengisi jurang jahitan tersebut.
Walau bagaimanapun, tempoh untuk jahitan tersebut pulih adalah berbeza bagi setiap wanita dan ia bergantung kepada beberapa faktor seperti:
-Kedudukan luka tersebut
-Kedalaman bukaan episiotomi
-Tempoh jangkitan sudah berlaku
-Keadaan tisu baru mungkin akan tampak kemerahan dan berdarah sedikit.
Selalunya apabila luka sembuh, akan terdapat bekas luka sementara dan ia akan pudar seperti parut kulit yang lain.
Luka bersalin yang dijahit semula mungkin akan sembuh dengan lebih cepat tetapi wujud risiko kecil untuk dijangkiti kembali.
Menyembuhkan luka jahitan bersalin
Sama seperti luka biasa pada mana-mana bahagian badan, jahitan bersalin terbuka juga memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan ia sembuh dengan segera.
Ini tip penjagaan luka bersalin:
-Pastikan bahagian sekitar faraj sentiasa dalam keadaan bersih dan kering.
-Cuci dan basuh bahagian tersebut dengan menggunakan air sahaja.
-Elakkan daripada mengelap atau menggosokkan bahagian tersebut dengan tuala.
-Sebaiknya biarkan ia kering secara semula jadi.
-Usah gunakan sebarang sabun mandian, meletakkan minyak atau krim pada luka jahitan itu.
-Pastikan anda menukar tuala wanita dengan kerap.
-Jika pendarahan selepas bersalin sudah berhenti, anda digalakkan untuk tidak memakai pakaian dalam pada waktu malam bagi memberikan pengudaraan.
Kesan jahitan bersalin terbuka
Biasanya individu yang mengalami situasi ini tidak berdepan sebarang masalah selepas luka ini dirawat dan sembuh.
Malahan, tidak ada risiko untuk jahitan kembali terbuka disebabkan senaman atau seks.
Namun, jika anda berdepan sebarang masalah atau mempunyai kebimbangan, dapatkan rundingan dan pemeriksaan daripada doktor.
Penjagaan jahitan bersalin
Aspek penjagaan jahitan bersalin bermula sebaik sahaja anda selesai menjalani proses bersalin.
Ia melibatkan perihal penjagaan luka dan pengurusan kesakitan.
Dalam tempoh 12 jam pertama selepas bersalin, penggunaan pek ais mungkin dapat membantu mengurangkan rasa sakit dan bengkak.
Bahagian jahitan bersalin perlu sentiasa dipastikan dalam keadaan bersih.