Suami Isteri Bila Ditanya Tentang Zuriat, Ini Tip Yang Boleh Dijadikan Panduan

Share

Dalam Islam, zuriat dianggap sebagai satu anugerah daripada Allah. Bagaimanapun tidak semua pasangan suami isteri yang berkahwin berpeluang memiliki cahaya mata. Ada yang terpaksa menunggu sekian lama barulah berpeluang memiliki si comel.

Ramai juga pasangan suami isteri yang langsung tidak berpeluang bergelar ayah dan ibu. Pendek kata semuanya di luar bidang kuasa kita. Andai ditakdirkan masih tiada anak walau sudah bertahun-tahun berumah tangga, terimalah ujian itu dengan penuh reda.

Suami Isteri Bila Ditanya Tentang Zuriat

Pujuk hati dan tenangkan pasangan dengan kata-kata manis yang boleh mengubat hati.  Melalui perkongsian Andy Sulaiman, bapa ini berkongsi tip yang boleh dijadikan panduan. Moga tip ini dapat membantu suami isteri yang masih belum lagi memiliki zuriat.

Hari tu terserempak dengan seorang kawan. Kawan lama. Sudah agak lama tidak berjumpa malah tidak berhubung.

Tengah duduk bersembang, gatal mulut ni tanya pada dia sudah ada berapa orang anak sekarang. Dia terdiam seketika. Mukanya berubah, agak berat untuk berikan jawapan.

Katanya belum ada rezeki. Sudah bermacam cara dilakukan termasuk pergi berjumpa doktor dan beberapa sesi rawatan tradisional, belum berjaya. Menyesal juga aku tanya begitu. Cepat aku minta maaf. Dia kata tak apa, sudah biasa.

Baik. Ada antara kita yang sudah berkahwin agak terbeban dengan isu ini. Sudah lama berkahwin tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Ingin menghadapi soalan masyarakat, umpama satu tamparan bagi kau orang yang belum ada kan?

Tenang. Mereka yang sudah punya anak, tidak menyedari bahawa tanpa anak, kau suami isteri juga boleh bahagia.

Ini Tip Yang Boleh Dijadikan Panduan

Ini antara beberapa tip yang boleh diingat, semoga bila suami isteri down, kalian akan kembali senyum dan hidup kekal bahagia:

1. Kerja Tuhan

Ya, semua sudah maklum anak adalah urusan Tuhan. Walaupun berusaha siang malam pagi petang sampai lebam, jika Tuhan masih belum izinkan, belum lah. Jadi kenapa harus kusut sedangkan ini semua bukan urusan manusia, betul kan? Berdoa lah.

2. Rezeki

Tidak perlu letakkan diri kau bernasib malang hanya kerana tiada rezeki yang satu ini. Kau mungkin tiada anak tapi kau bahagia berdua, direzekikan kesihatan yang baik, kerja yang sedap, jauh dari masalah dan tiada gangguan dalam kehidupan seharian. Bukan kah itu juga rezeki? Kan?

3. Punya banyak waktu

Tiada anak, kau ada lebih masa untuk kau kejar cita-cita kau. Ramai orang terpaksa kuburkan impian mereka lantaran terpaksa uruskan anak-anak. Tak salah anak, ini pengorbanan. Jadi bagi kau yang belum ada anak, kejar lah cita-citamu setinggi gunung itu. Fuh!

4. Tak banyak disoal di akhirat

Huhu. Seram bab ni. Jadi ibu bapa ni, anak-anak ni tanggungjawab kita. Esok Tuhan akan tanya bagaimana kita menjaga dan mendidik amanah Dia ni. Bukan main-main bab ni. Kau kalau dipanggil Tuhan balik sebelum ada anak, kau mungkin dah terlepas bab ni.

5. Pahala percuma

Geng kepochi akan mula bercakap dan buat rumusan mereka sendiri pada golongan yang tak ada anak ni. Kata kau mandul lah, laki kau mati pucuk lah, macam-macam. Andai kata semua itu fitnah macam mana? Tidak ke dengan mudah dan percuma kau dapat pahala dari umpatan dan fitnah mereka?

6. Jauh dari ujian

Tengok orang ada anak memang seronok. Tapi kau tengok orang yang bahagia. Cuba tengok orang susah tapi anak ramai. Kesian anak tu. Tengok pulak ibu bapa yang ada anak sakit, sakit kronik pulak tu. Kusut ibu bapa dia. Jadi masa ni kau kena syukur, kau jauh dari ujian ini.

7. Allah tak kejam

Dia dengar apa kita minta. Dia tahu apa kita nak. Ada saja yang berpuluh tahun kahwin baru dapat anak. Ada. Kau mungkin belum dapat lagi sebab Tuhan tahu kemampuan kau, Dia tahu bila masa terbaik buat kau untuk ada anak. Teruskan meminta dengan Dia.

8. Keluarga

Dalam waktu begini, keluarga perlu main peranan. Ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar duai. Keluarga. Teruskan bagi sokongan. Jangan keluarga sana kata sini tak subur, keluarga sini kata keturunan sana mandul. Memandai je. Tak habis-habis drama.

Ok tak? Ingat. Tak perlu kau rasa down dengan hidup sebab belum ada anak. Bagitahu kat isteri kau yang sedang murung itu, ceritakan pada suami kau yang berdukacita itu. Yang penting, cinta mesti terus. Begitulah.

Jangan sebab tak ada anak, hubungan suami isteri makin tawar, salah menyalah sesama sendiri dan akhirnya rumah tangga hancur. Jauhkan.

Artikel ini diolah dari artikel asal Mingguan Wanita dan Andy Sulaiman 

Baca artikel lain di sini: Ayah Ni 16 Tahun Menanti Zuriat, Namun Hanya Sebulan Dapat Bersama Kembar Empatnya. Undang Pilu!

“Siapa Yang Tak Teringin Nak Zuriat” Tujuh Tahun Menanti, Marsha Milan Tekad Jalani Rawatan IVF Tahun Depan!

“Dah Buat Sekali Rasa Down” Rawatan IVF Gagal, Aprena Manrose Tak Patah Semangat Cuba Dapatkan Zuriat!

 

 

 

Published by
Has