Wanita lebih sensitif semasa sedang hamil. Ini kerana, perubahan dalam hormon mereka membuatkan mereka kadangkala berkelakuan tidak rasional. Semasa hamil, ibu perlu menanggung kesakitan, kerap berjumpa doktor, dan juga sering keletihan. Justeru itu, sebagai suami, anda perlu menunjukkan sokongan anda kepada pasangan.
Memahami apa yang isteri mahukan
Bercakap dengan isteri anda tentang keinginannya semasa bersalin nanti. Anda perlu melakukannya sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa isteri yang hamil ini adalah lebih sensitif dan emosi kerana mereka perlu menangung pelbagai kerisauan dan ketakutan untuk menghadapi hari bersalin mereka. Biarkan isteri anda berkongsi dan bercerita tentang perasaan dan kegusaran mereka kepada anda.
Menemani isteri ke kelas kelahiran
Pergi ke kelas antenatal bersama isteri dengan pandangan terbuka. Anda akan mendapat informasi asas dan padu tentang proses bersalin. Jika anda bersama-sama dengan isteri semasa kelas tersebut, anda boleh belajar untuk membantu isteri anda menyelesaikan masalahnya.
Buat perancangan masa depan bersama
Ibu hamil mempunyai banyak benda yang perlu mereka lakukan, seperti memilih nama bayi, membeli pakaian bayi, menyiapkan tempat tidur bayi dan peralatan tidur, perabot, serta banyak lagi. Jadi, bantu isteri anda melaksanakan tugasan ini. Terutamanya, dalam mencari nama bayi perlulah menggunakan pendapat anda juga.
Temani isteri berjumpa doktor, atau sekurang-kurangnya mengambil tahu tentang kunjungan isteri ke klinik
Jika boleh, temani isteri anda dalam temu janjinya berjumpa doktor. Semasa kunjungan tersebut, anda berpeluang mendengar denyutan jantung bayi atau melihat imbasan ultra bunyi pada usia kandungan 20 minggu. Ini bukan sahaja akan menimbulkan perasaan bertanggungjawab anda untuk menerima kehadiran bayi baru dalam keluarga, tetapi juga cara ini dapat menunjukkan sokongan emosi anda terhadap isteri. Jika anda terlampau sibuk dan tidak dapat menemaninya, ambil berat akan jadualnya ke klinik dan bertanyakan tentang perkembangannya dan kandungan.
Memahami simptom mengidam isteri
Jangan terkejut jika anda lihat kadangkala isteri hendakkan sesuatu makanan, dan ada hari dia tidak mahu makanan tersebut. Jangan marah kepadanya, sebaliknya anda boleh bertanyakan mengapa keinginannya berubah-ubah. Cuba untuk faham perangai mengidam isteri. Walau bagaimanapun, jangan paksa isteri untuk makan makanan yang tidak disukai kerana boleh membuatkannya bertambah sakit.
Baca: Lebihan Nasi Jangan Dibuang, Boleh Buat Nugget Nasi. Anak Pasti Suka!
Bantu isteri semasa bersalin
Semasa awal proses bersalin, isteri anda masih mampu untuk duduk dan berborak-borak dengan anda. Namun, ketika sudah tiba masa bersalin, anda akan lihat isteri anda mengerang dan merintih. Dia juga mungkin akan menjerit dan mahu menanggalkan pakaiannya yang tidak menyelesakannya. Tidak mustahil juga dia mahu mendengar muzik ataupun ingin senyap-sunyi sahaja.
Isteri anda mungkin mahu anda memegang tangannya ataupun memeluknya – atau mungkin juga meminta anda meninggalkannya bersendirian. Ketika ini, usahlah anda mengambil hati akan kata-kata isteri yang sedang menanggung kesakitan untuk melahirkan anak anda. Sebaik sahaja bayi anda lahir, isteri anda akan ‘kembali’ seperti asal.
Sumber: Hello Health
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI