Kemurungan atau meroyan selepas bersalin adalah perkara yang boleh berlaku kepada setiap wanita yang melahirkan anak. Mengendahkannya boleh menyebabkan ia berlanjutan seumur hidup, terutama jika tidak dirawat.
Apa itu meroyan selepas bersalin?
Ramai wanita akan mengalami perubahan emosi, kegelisahan dan kepenatan dalam minggu-minggu pertama selepas kelahiran anak. Namun, bagi sesetengah wanita, keadaan itu boleh berterusan dan menjadi semakin kritikal.
Ia cenderung menunjukkan petanda kemurungan selepas bersalin (postpartum depression, PPD) atau turut dikenali sebagai meroyan selepas bersalin. Ia 1 keadaan yang boleh berlaku kepada mana-mana wanita. Biasanya bermula dalam 3 bulan pertama selepas bersalin dan boleh berterusan jika tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.
Dianggarkan lebih 15% wanita melahirkan anak berdepan kemurungan ini, yang bersamaan dengan 1 daripada 7 wanita. Meroyan adalah penyakit mental yang serius dan tidak boleh dipandang remeh. Ia berbeza dengan ‘baby blues’, iaitu rasa sedih atau keletihan yang mempengaruhi hingga 80% wanita selepas bersalin.
1 perkara penting untuk anda ingat, kemurungan ini turut boleh dialami oleh wanita yang keguguran atau melakukan proses pengguguran.
Perbezaan meroyan selepas bersalin & baby blues
Mesti ada yang menganggap baby blues lebih kurang sama dengan meroyan, bukan? Tetapi hakikatnya kedua-dua keadaan tersebut adalah berbeza. Baby blues adalah istilah untuk menggambarkan perubahan mood biasa dan perasaan bimbang, tidak gembira dan keletihan yang dialami oleh kebanyakan wanita melahirkan anak.
Ia biasanya bermula dalam tempoh 2 minggu pertama selepas mendapat zuriat dan akan beransur hilang dalam masa 3 hingga 7 hari. Bayi memerlukan perhatian dan penjagaan sepanjang masa, maka adalah normal untuk ibu-ibu baharu berasa letih atau tertekan.
Jika keadaan perubahan emosi dan perasaan kegelisahan agak teruk, atau berterusan untuk lebih 2 minggu, ia berkemungkinan menandakan wanita tersebut mengalami kemurungan selepas bersalin.
Tempoh yang panjang
Sekiranya tidak diberikan rawatan, masalah meroyan ini boleh berterusan sehingga berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun. Anda mungkin tidak menyedari bahawa anda mengalami postpartum depression.
Tetapi jika anda berasa kosong, sedih atau letih yang berlebihan, berterusan selama lebih 2 minggu, itu adalah antara petunjuk awal kemurungan. Rawatan berkesan akan dapat membantu wanita dengan PPD untuk mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Namun, keadaan boleh berterusan jika tiada rawatan yang diberikan. Dalam 1 kajian mencadangkan faktor yang mendorong wanita untuk cenderung mengalami kemurungan akan berkurangan dari masa ke masa. Walau bagaimanapun, kajian yang sama juga menunjukkan lebih 38% wanita yang meroyan mengalami simptom kronik dan keadaan tersebut akan berterusan.
Manakala kira-kira 50% wanita yang menerima rawatan perubatan untuk masalah kemurungan akan terus mengalami simptom meroyan ini untuk tempoh lebih setahun selepas bersalin.
Bagi wanita yang mengalami kemurungan ini dan tidak diberikan rawatan klinikal, lebih 30% daripada mereka masih mengalami simptom PPD walaupun selepas 3 tahun melahirkan anak.
Risiko untuk meroyan selepas bersalin berlanjutan
Masalah kemurungan yang dialami adalah berbeza bagi setiap wanita. Wujud faktor tertentu yang boleh menyebabkan anda mungkin mengalaminya lebih lama berbanding individu lain walaupun anda menjalani rawatan.
Antara faktor yang boleh mempengaruhi adalah:
-Sejarah kemurungan atau penyakit mental lain
-Kesukaran penyusuan bayi
-Proses kehamilan atau kelahiran yang rumit
-Kurang sokongan daripada pasangan atau ahli keluarga mahupun rakan
-Perubahan utama yang berlaku dalam hidup selepas bersalin seperti berpindah rumah atau kehilangan pekerjaan
-Pernah mengalami PPD selepas kehamilan terdahulu
-Tiada cara untuk menentukan sama ada siapa yang akan meroyan atau tidak, mahupun berapa lama keadaan tersebut akan berlanjutan.
Walaupun begitu, melalui rawatan yang betul, terutamanya pada peringkat awal kemurungan, anda mungkin akan dapat dipulihkan.
Memahami puncanya
Meroyan boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia mahupun bangsa. Umumnya, keadaan yang berlaku tidak mempunyai sebab yang dapat dikenal pasti. Berdasarkan kajian, kemurungan ini disebabkan kombinasi faktor genetik dan persekitaran.
Tekanan hidup, tuntutan fizikal dan emosi, penjagaan bayi dan perubahan hormon semasa dan selepas kehamilan turut menyumbang kepada kewujudan masalah ini.
Gejala & simptomnya
Berikut antara gejala dan simptom biasa untuk berlaku, seperti:
-Rasa sedih, gelisah dan kekosongan yang berterusan
-Kerengsaan
-Wujud perasaan bersalah, tidak dihargai, putus asa atau tidak berdaya
-Hilang minat untuk melakukan hobi atau sebarang aktiviti
-Keletihan atau kemerosotan tenaga
-Kesukaran untuk menumpukan perhatian, mengingati atau membuat keputusan
-Sukar untuk tidur (walaupun ketika bayi tidur), bangun pada waktu pagi atau tidur secara berlebihan
-Selera makan yang tidak normal, perubahan berat badan atau keduanya
-Rasa kesakitan, sakit kepala, kekejangan atau masalah pencernaan tanpa sebab yang jelas dan tidak pulih walaupun diberikan rawatan
-Sukar untuk menjalinkan hubungan dan ikatan dengan bayi yang baru dilahirkan
-Berasa ragu dengan kemampuan untuk menjaga bayi
-Mempunyai pemikiran tentang kematian, membunuh diri atau membahayakan bayi atau diri sendiri
Dapatkan rawatan doktor
Melakukan pemeriksaan dengan doktor adalah cara terbaik untuk menentukan sama ada seseorang wanita melahirkan anak itu mengalami kemurungan selepas bersalin atau tidak. Rawatan bersesuaian adalah perlu bagi mengatasi keadaan ini.
Sumber: Hello Doktor