Ramai bakal bapa yang ingin memberi sokongan kepada pasangan mereka semasa proses kelahiran, namun tidak semua yang tahu perkara yang perlu mereka lakukan bagi membantu isteri masing-masing. Artikel ini menyediakan beberapa tip untuk membantu suami memberi sokongan kepada isteri bagi menghadapi saat kelahiran.
Mengapa suami perlu menemani isteri di bilik bersalin?
Sebagai bapa, bukan anda yang mengandungkan zuriat anda, tetapi anda boleh menjadi penghibur, jurulatih dan pemberi sokongan emosi kepada pasangan sewaktu di bilik bersalin.
Selepas masuk ke bilik kelahiran, anda mungkin perlu untuk membantu isteri anda pada setiap peringkat bersalin, daripada kontraksi yang pertama sehinggalah detik kelahiran. Lebih penting lagi, sebelum tarikh jangkaan bersalin, anda perlu bertanyakan pasangan anda mengenai keperluan dan permintaan mereka.
Sebaik-baiknya, anda disarankan untuk bertanya dan mendapat jawapan yang betul supaya kedua-dua anda boleh memahami antara satu sama lain dengan lebih baik. Anda perlu membantu isteri untuk mempersiapkan barang keperluan bagi dibawa ke hospital dan memaklumkan kepada ahli keluarga lain tentang keadaan isteri anda.
Apa yang boleh saya lakukan di bilik bersalin?
Lebih spesifik lagi, berikut adalah tugas yang boleh suami lakukan untuk membantu pasangannya semasa proses kelahiran:
1. Fasa kontraksi
Misi utama anda dalam tempoh beberapa jam terawal kontraksi adalah untuk menjadi pengalih perhatian. Anda boleh alih tumpuan isteri yang sedang menghadapi kontraksi dengan memasang muzik kegemarannya, membawa isteri berjalan-jalan di sekeliling bilik dan bertanyakan padanya jika dia memerlukan anda untuk mengurut belakang badannya ataupun kaki.
Memandangkan proses kelahiran akan menjadi lebih mudah jika wanita hamil dapat bergerak, jadi anda perlu menggalakkan isteri anda untuk melakukan sebarang perkara, dan bukannya hanya terbaring dan menunggu kontraksi seterusnya.
2. Fasa aktif
Jika kontraksi isteri anda menjadi lebih kuat dan kerap, anda perlu memastikannya kekal fokus. Kesakitan yang dirasai akan menjadikannya mudah mengalah dan kurang berehat.
Tatap mata isteri anda, tenangkannya dan bantunya melakukan teknik pernafasan bagi persiapan proses kelahiran. Berikan kata semangat padanya dan sentiasa pegang tangan isteri anda.
3. Fasa kelahiran
Fasa kelahiran adalah paling penting dan akan menjadi momen indah untuk kedua-dua anda; suami isteri. Disebabkan pasangan anda sedang bertarung dengan kesakitan, jadi anda perlu sentiasa bertenang. Cuba untuk tenangkan pasangan anda.
Perkara terbaik yang anda boleh lakukan ketika ini adalah memberi sokongan kepada isteri untuk meneran. Anda boleh cium dahinya, pegang tangannya dan berikan kata semangat kepada isteri anda. Anda boleh juga menunggu sehingga proses kelahiran bagi menyaksikan momen zuriat anda lahir ke dunia. Ini akan menjadi momen yang akan anda ingati sepanjang hidup anda.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Foto: Freepik
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI