Berita

Suami Pilu, Sempat Hadiah Tudung Sebelum Isteri Pergi Selamanya

Share

“Walaupun saya dah larang, dia tetap nak ikut sebab dia bosan duduk rumah seorang. Mungkin itu permintaan terakhir dia untuk rasa naik lori dengan saya.” Itulah luahan hati Syed Mohamad Asyraf Syed Shamsuddin, 24, suami kepada Allahyarham Suhaili Abdul Razak, 28, yang maut dalam kemalangan melibatkan lori ais dan treler di Jalan Ipoh-Kampar, berhampiran Kampung Pulai, Gopeng, pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro, Syed Mohamad Asyraf, yang memandu lori tersebut, hanya mengalami cedera ringan di tangan kanan. Menurutnya, kadang-kadang Suhaili akan menemani beliau menghantar bekalan ais ke kedai-kedai pada awal pagi, terutama sekali pada hari cuti atau hujung minggu, kerana isterinya bekerja sebagai tukang masak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Ipoh.

Dia berkata, lebih menyayat hati kerana semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran isterinya. Malah, mereka sempat meraikannya malam tadi, di mana dia menghadiahkan dua helai tudung kepada arwah.

“Kami sambut kecil-kecilan di rumah kami di Pengkalan (Lahat, Ipoh) malam tadi,” katanya.

“Sebelum ini, arwah pernah ikut saya bawa lori, tapi hari ini terasa lain. Biasanya, dia akan berjaga dari awal dan hanya tidur dalam lori bila hari mula cerah sekitar pukul 7 pagi.

“Tapi hari ini, dari mula naik lori lagi dia kelihatan letih dan terus tidur. Tak seperti selalu,” katanya ketika ditemui di pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampar.

Menceritakan detik sejurus pelanggaran itu, kata Syed Mohamad Asyraf, isterinya terjaga daripada tidur kerana terkejut apabila dia cuba membelokkan lori ke kanan dan sempat memanggilnya dengan panggilan mesra ‘Abi’.

“Allah SWT lebih sayangkannya. Kami berkahwin pada November tahun lalu dan dia isteri yang baik dan taat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, nahas sekitar jam 5 pagi itu berlaku apabila lori ais dipandu Syed Mohamad Asyraf melanggar belakang treler yang berhenti di laluan kecemasan.

“Akibatnya, mangsa yang berada di tempat duduk kelindan meninggal dunia di lokasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nor Yusoff