Kehamilan

Suami Tak Dapat Teman Isteri Bersalin, Ustazah Nik Salida Ajar Doa Ini Untuk Diamalkan

Share

Isteri yang bersalin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suami tak dapat menemani isteri masing-masing, jangan rasa sedih. Walaupun anda berseorangan untuk berjuang melahirkan bayi, sentiasalah ingat Allah ada bersama.

Menerusi perkongsian dari Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Saleh dalam slot Pa&Ma Rohani, beliau menyatakan ibu yang melalui saat ini kena reda dan sabar. Ini kerana  bagi ibu yang bakal menimang cahaya mata, lagi-lagi anak pertama ini dianggap satu ujian. Tambah pula untuk ibu yang memang ada komplikasi penyakit semasa mengandung ia mesti sedikit sukar.

Tapi percayalah jika kita meletakkan kebergantungan ini kepada Allah SWT, walaupun tanpa suami di sisi, mudah-mudahan ibu selamat, anak pun sihat.

Dalam mempersiapkan diri menghadapi situasi ini, ibu yang tengah mengandung perlu menjaga pemakanan. Ada tiga cara ibu boleh lakukan untuk persiapkan diri dan mental bila berdepan saat melahirkan anak tanpa suami di sisi.

1)Makanlah makanan sihat

Contohnya buah kurma bagus untuk ibu dan boleh mudahkan proses bersalin serta mengurangkan kehilangan darah semasa bersalin.

Ini kerana kurma telah diangkat oleh Rasulullah SAW sebagai satu pemakanan yang nilainya begitu tinggi. Maknanya jika makan kurma tenaga diserap serta merta dan penting untuk ibu hamil dan bersalin.

Nabi Muhammad SAW juga bersabda “Berilah makan buah kurma kepada wanita yang hamil sebelum dia melahirkan sebab yang demikian itu akan menjadikan anaknya tabah dan bertakwa. Siapa yang tak nak anak yang lahir nanti baik hatinya.

Lagi satu Rasulullah juga turut bersabda “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil kerana apabila anak yang dilahirkan nanti akan menjadi anak yang penyabar, bersopan santun dan cerdas pemikirannya. Sebab itu masa zaman Rasulullah dulu wanita hamil memang amalkan pemakanan kurma ini.

2) Mesti jaga emosi

Biasalah bagi ibu mengandung mesti akan fikir macam-macam dan bimbang. benda yang tak sepatutnya difikirkan pun kadang-kadang tu terlintas difikiran. Jadi bagi mengelakkan terus memikirkan yang bukan-bukan, sentiasa banyak berdoa dan minta sokongan suami, ahli keluarga da orang sekeliling.

Jika emosi ini dijaga dengan baik, tiadalah ibu akan risau untuk menghadapi saat ini bersendirian.

3) Jaga hubungan baik dengan suami dan saudara mara

Ini antara perkara yang perlu ibu buat sebelum tiba waktu bersalin. Penting mohon restu dan minta maaf dengan suami, ibu bapa dan ahli keluarga atau orang terdekat dengan kita. Sebelum ini jika ada yang kita tak berpuas hati eloklah untuk minta maaf.

Proses bersalin ni ibarat ibu sedang bertarung nyawa. Jika kita ada rasa tak sedap hati, ia pasti sedikit menganggu kelancaran proses bersalin. Jadi lapangkan hati untuk kita bermaafan.

Sentiasa banyak kembali dan ingat pada Allah dengan bersolat dan doa, mintalah pada Allah sungguh-sungguh moga dipermudahkan semuanya.

Doa yang boleh diamalkan

Antara doa yang boleh diamalkan untuk ibu yang bakal bersalin nanti adalah doa Nabi Zakaria dan Nabi Yunus. Suami pun elok sama-sama amalkan semasa isteri tengah hamil dan boleh juga niatkan untuk isteri ketika dalam bilik bersalin.

Doa Nabi Zakaria

Kredit: www.yufid.com

Doa Nabi Yunus

 

 

Published by
Wan Amy