Penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang sedang menunggu hari untuk melahirkan anak keduanya baru-baru ini ada mengalami tanda-tanda akan bersalin. Namun Bella tetap mengadakan majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya Ayden pada Rabu lepas.
Memetik laporan Mstar Online, adik kepada Bella, Didi Astillah memberitahu sebelum majlis berlangsung kakaknya sudah membuat pemeriksaan dan doktor memaklumkan sudah ada bukaan rahim sebanyak 2 sentimeter.
“Malam sebelum majlis sambutan hari lahir Ayden, saya ada teman Bella pergi buat pemeriksaan doktor sebab dia dah ada rasa perut keras dan tanda nak bersalin.
“Doktor beritahu yang bukaan sudah 2cm tapi belum tiba masa untuk bersalin, jadi kami pun pulang ke rumah. Walaupun dalam keadaan macam itu, Bella tetap nak buat birthday Ayden.
“Memang risau juga tapi dia tetap nampak kuat dan Alhamdullilah majlis sambutan hari lahir Ayden pun berjalan dengan lancar,” kata Didi.
Sempadan Negara masih belum dibuka, bakal bersalin tanpa suami di sisi
Dijangka bakal melahirkan cahaya mata perempuan pada 17 Julai ini, Bella berkata, apa yang lebih penting adalah memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Memetik pula laporan daripada BH online, penyanyi lagu Tenang itu berkata, biarpun berbulan-bulan tidak dapat bertemu berikutan pintu sempadan masih lagi ditutup, namun Aliff tak lupa tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Aliff tanpa gagal menghubungi setiap hari bertanya khabar mengenai saya dan anak, Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.
“Kesibukan kerja juga menyebabkan saya tidak sempat melayan perasaan. Lagipun, saya tidak bersendirian, ibu, ayah dan adik beradik sentiasa menemani. Jadi, saya tidak kesunyian atau sedih terpaksa melalui proses mengandung dan bersalin tanpa suami di sisi.
“Fokus saya hanya mahu proses bersalin berjalan lancar. Lagipun, saya sudah dewasa, tiada masa untuk terlalu banyak berfikir hal sedemikian. Sebaliknya, saya hanya reda dan bersabar dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sepanjang mengandungkan anak kedua, kata Bella, dia hanya mengalami alahan pada peringkat awal, tetapi kini selepas memasuki trimester ketiga, keadaannya kembali normal.
Bella berkata, dia tidak pernah mengeluh apabila pintu sempadan masih belum dibuka kepada orang luar kerana keputusan kerajaan demi kebaikan rakyat.
Walau berjauhan, Bella berkata, dia tetap merasa dekat dengan suaminya kerana setiap hari mereka saling berhubung untuk bertanya khabar.
“Walaupun berjauhan tidak bermakna Aliff melepaskan tanggungjawabnya. Kami berhubung setiap hari sama ada melalui panggilan suara dan video. Suami selalu mengambil berat mengenai saya dan bayi dalam kandungan, jadi saya tidak terasa sunyi.
“Apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangka. Saya akan mengikut sahaja keadaan, jika pintu sempadan di buka kembali, Alhamdulillah. Saya percaya ini semua dilakukan untuk kebaikan, jadi tak perlu untuk saya mengeluh. Semua orang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Bagaimanapun, rumah tangga mereka beberapa kali diuji hingga kemuncaknya berakhir dengan perceraian pada 16 Mei, tahun lalu. Namun, pasangan ini kembali rujuk ketika dalam tempoh edah dan kini sedang menanti kelahiran anak kedua mereka.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI