Surah Al-Waqiah Untuk Rezeki Keluarga Tak Putus. Didiklah Anak Sama-Sama Membacanya

Share

Doa adalah senjata setiap mukmin. Ajarkan anak-anak kita mengamalkan surah ini setiap hari. Apabila ia dibaca sebanyak 40 kali, selama 40 hari, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”

Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke-56 di dalam al-Quran, terletak pada juzuk ke-27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat.

Di dalam surah Al-Waqiah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan juga penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan adanya hari berbangkit.

Al-Waqiah Surah Kekayaan
Surah Al-Waqiah memang terkenal dengan beberapa khasiatnya dan kelebihan tersendiri dan hadis mengenainya adalah sahih.

1. Dengan mewiridkan surah Al-Waqiah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah menjauhkan kefakiran selamanya. Sa’ad Al Mufti mengatakan, bahawa hadis ini sahih.

Rasulullah SAW bersabda:

Man qara’a suratal-Waqi’ati lam yaftaqir abada.

“Sesiapa (membiasakan) membaca surah Al-Waqiah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”

2. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”

3. Daripada Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.” (HR: Al- Baihaqi)

4. Rasulullah SAW bersabda: “Ajarkanlah surah Al-Waqiah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)

5. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”

Khasiat Surah Al-Waqiah
Di dalam surah Al-Waqiah terkandung beberapa fadhilat dan khasiat, antara lain:

1. Mereka yang membacanya sebagai wirid, Insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya.

2. Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.

3. Mereka yang membacanya sebanyak 14 X setiap lepas Solat Asar, Insya’Allah akan dikurniakan dengan kekayaan dan rezeki yang berlimpah ruah.

4. Jika dibaca surah ini sebanyak 41 X dalam satu majlis, Insya’Allah ditunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.

5. Menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 X selepas Solat Subuh dan 3 X selepas Solat Isyak. Insya’Allah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan dijadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.

6. Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki; Insya’Allah berhasil:

Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat.
Selepas tiap solat fardhu bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya.

Pada malam Jumaat berikutnya, selepas solat Maghrib bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali dan selepas solat Isyak sebanyak 125 kali.

Diikuti dengan selawat ke atas Nabi sebanyak 1000 kali. Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah. Kemudian amalkanlah Surah Al-Waqiah ini sekali pada waktu pagi dan petang.

7. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah, ayat 35-38 sebanyak 7 X. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita.

Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.”

8. Surah Al-Waqiah ini jika dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak, Insya’Allah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, Insya’Allah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca di sisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.

Petua Kaya Syeikh Abi’l Abbas
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya; Dengan mengamalkan seperti berikut, Insya’Allah, ia akan menjadi orang kaya.

1. Bila hendak mengamalkan surah Al- Waqiah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Buka puasanya hanya makan sayur-sayuran / tumbuhan sahaja (tidak memakan sesuatu yang bernyawa seperti tidak makan ikan, daging, segala haiwan).

2. Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqiah sebanyak 25 X. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isyak pada Jumaat berikutnya.

3. Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqiah sebanyak 125 X, kemudian berselawat 1000 X.

Insya’Allah, dengan mengamalkan surah Al-Waqiah seperti yang diberitahu dalam hadis-hadis Nabi SAW, kita akan memperolehi rezki yang banyak, supaya kita dapat menolong dan membantu orang lain yang memerlukan bantuan dan memperbanyakkan lagi amal jariah kita supaya dapat dibawa ke sana nanti.

Bacalah surah Al-Waqiah ini dengan hati yang ikhlas memohon rezeki dariNya. Jangan berniat untuk kaya di dunia yang sementara. Dalam niat kita dengan rezeki yang banyak kita dapat beribadat kepadaNya dan membuat amal jariah. Barulah Allah SWT memperkenankan doa-doa kita.

Sumber: himpunandoaharian.com

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy