Seorang ibu yang dulunya pencinta makanan ringan berkongsi kenapa semua ibu kena hentikan anak-anak daripada makan makanan ringan.
Puan Nur Amirah berkongsi keburukan makanan ringan kepada semua orang terutamanya kanak-kanak.
Sentiasa ingatkan anak
“Ummi, hari ni dekat school kakak, ada birthday kawan. Kakak termakan satu gula-gula. Maafkan kakak, kakak terlupa,” kata anak sulung saya, Marissa, sebaik saja masuk ke dalam kereta.
Sejak saya berazam untuk mengubah pola pemakanan kami kepada makan yang lebih sihat, saya sentiasa selitkan pesanan untuk anak-anak untuk tidak mengambil apa-apa ‘junk food’ di tadika atau dimana-mana mereka berada.
Junk food atau makanan ringan merupakan makanan yang di proses yang mempunyai kandungan kalori, gula, garam, lemak, dan kolesterol yang tinggi.
Anak-anak zaman kini banyak mengambil makanan ringan seperti kerepek, keropok, kentang goreng, gula-gula, sosej, nuget dan sebagainya bila mereka terasa lapar.
Kebanyakkan makanan ringan atau makanan rapu tersebut tidak memberi sebarang manfaat dan nilai pemakanan.
Makanan ringan atau makanan rapu mempunyai kandungan kalori yang tinggi. Bila dah habis satu peket keropok contohnya, pemakan akan cenderung untuk menambah lagi makanan tersebut.
Ini disebabkan makanan tersebut tidak membekal tahap tenaga yang diperlukan oleh seseorang. Bayangkan, bila habis satu, kita tambah lagi dan lagi.
Bila kita asyik makan makanan rapu, hal ini akan memberi impak kepada perjalanan oksigen ke otak.
Sebab dalam makanan rapu tersebut terdapat kandungan lemak yang tidak baik. Bila ini terjadi, fungsi otak menjadi lemah. Kalau tidak sekarang, lambat-laun, kita akan merasai kesannya juga nanti.
Selain itu, kandungan kolesterol yang tinggi dalam makanan rapu boleh mengakibatkan pembentukan plak di arteri (pembuluh darah) seterusnya mengganggu jantung untuk mengepam jumlah darah normal dalam badan kita. Kesannya, kita mudah rasa letih dan lelah.
Menurut kajian, kanak-kanak yang yang makan lebih banyak makanan rapu berisiko tinggi untuk mendapat berat badan berlebihan, masalah jantung dan hati.
Mereka juga berkemungkinan besar boleh menghidap penyakit kencing manis kerana terkumpulnya kandungan gula yang tinggi dalam badan pada peringkat awal dek kerana terlalu banyak makan makanan rapu.
Dan tahukah kalian, segala macam makanan rapu ini memang disediakan dalam pelbagai variasi dari segi bentuk, rasa, warna dan ia dijual pada harga yang murah untuk menjadikan anda ketagih, mahukan lagi dan lagi.
Mungkin kesannya pada sesetengah orang tidak drastik, tetapi, ia pasti akan beri kesan yang amat teruk di kemudian hari.
Oleh itu, sebagai ibu bapa marilah kita sama-sama berganding bahu untuk melatih anak-anak kita untuk mengamalkan tabiat makan makanan yang sihat.
Kalau hari ini tak berjaya, esok cuba lagi dan lagi. Jangan mudah berputus asa. Anak-anak kita amanah yang perlu dijaga. Di akhir nanti, akan disoal kepada kita atas apa yang dipertanggungjawabkan.
Pilihlah makanan sebenar atau ‘real food’ dalam pemakanan kita. Makan yang baik, untuk otak, badan dan akhlak yang baik, demi generasi yang lebih baik.
Nur Amirah
Jom Hijrah Makan Sihat!