Umur bayi semakin bertambah. Berat badan anda pun bertambah jua. Nampak gaya ia seperti sukar kembali kepada berat asal sebelum hamil.
Usah khuatir kerana situasi sebegini dihadapi oleh kebanyakan ibu selepas bersalin. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anda sukar menurunkan berat badan.
Sekiranya anda sudah mengamalkan pelbagai tip mengurangkan berat badan tetapi ia tidak berkesan, itu bererti anda ada melakukan satu atau kesemua perkara berikut.
1. Elak bersarapan pagi
Makan sarapan membekalkan tenaga. Ia penting untuk anda memulakan hari dan kekal cergas sepanjang masa. Malah, dengan mengambil sarapan pagi jua membantu metabolisme tubuh berfungsi dengan lebih efisyen.
2. Terlupa makan
Bila terlalu banyak urusan yang perlu dilaksanakan, maka anda menjadi sangat sibuk kerana mahu menyelesaikannya dengan sempurna. Malangnya, kadang-kadang anda terlupa untuk makan.
Mungkin juga anda beranggapan dengan tidak makan pada waktu makan yang sepatutnya anda dapat mengurangkan kalori dan seterusnya menurunkan berat badan. Salah tanggapan sebegitu.
Apabila kerap melakukan perkara sebegini, anda sebenarnya akan berasa sangat lapar apabila urusan kerja mula kendur dan akhirnya menjamah makanan dalam jumlah yang lebih banyak daripada yang patut diambil.
3. Makan makanan anak
Apabila anak tidak habis makan, anda berasa sayang dan tidak mahu membazir lalu memakannya. Tindakan ini menjadikan anda makan dua kali tanpa disedari.
4. Makan tengah malam
Selepas berhempas pulas menguruskan hal rumah tangga sebaik pulang dari tempat kerja, anda berupaya menarik nafas lega dan mula berasa lapar. Namun, ketika itu sudah hampir tengah malam.
5. Makan sambil berdiri
Sibuk melayan kerenah anak tetapi pada masa yang sama, perut sudah berkeroncong. Oleh kerana tidak mahu diri kelaparan, maka anda pun makan sambil berdiri.
Ada satu kajian menyatakan bahawa amalan makan sambil berdiri tidak baik kerana ia boleh menjadi punca kepada amalan makan berlebihan tanpa disedari.
6. Tidak cukup tidur
Apabila ada anak kecil, sudah menjadi sesuatu yang norma bila si ibu mengalami masalah tidak cukup tidur.