Susah Nak Ajar Anak Supaya Tak Sentuh Bahagian Muka, Boleh Jelaskan Bahaya Virus Covid-19 Supaya Anak Faham

Share

Ia mungkin sesuatu yang sukar untuk dilakukan terutamanya bagi ibu bapa yang memiliki anak lebih daripada seorang dan dalam masa yang sama perlu melakukan tugasan kerja di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Tetapi bagi mengekang jangkitan COVID-19, anda perlu berkorban sedikit. Sambil melakukan kerja, sekali sekala cuba perhatikan tingkah laku anak-anak.

Tegurlah mereka jika anda melihat si kecil memegang wajah mereka. Namun, teguran tersebut perlu dengan cara berhemah dan bukan dengan nada yang tinggi.

Anda bukan mahu memarahi mereka, sebaliknya anda sekadar ingin menegur. Jadi pastinya ada perbezaan antara nada suara ketika marah dan memberi teguran, bukan?

Memuji anak
Siapa yang tidak suka menerima pujian? Sama ada individu dewasa mahupun kanak-kanak, semuanya menyukai apabila diri dipuji.

Untuk menghentikan sesuatu tabiat, ia bukan sekadar dengan arahan “Jangan buat” atau “Berhenti lakukannya”, tetapi ia lebih daripada itu.

Jadi, sekiranya anda sudah menegur dan anak mendengar teguran tersebut, jangan lokek untuk memuji mereka. Ini menjadikan mereka lebih berwaspada untuk tidak melakukannya.

Lakukan penerangan seperti mana anda memberitahu mereka tentang kepentingan menggunakan tisu dan membuangkannya selepas bersin berbanding bersin di baju. Begitu juga ketika anda mahu mengelakkan anak menyentuh muka.

Berikan sesuatu untuk dipegang
Bagi individu dewasa atau kanak-kanak, selalunya tabiat memegang wajah ini berlaku ketika tangan bebas tanpa melakukan apa-apa perkara. Jadi ia secara tidak langsung menimbulkan keinginan untuk menyentuh muka.

Bagi mengatasi masalah ini, mungkin anda boleh memastikan si kecil sentiasa melakukan sesuatu dengan tangannya, seperti melukis dan mewarna atau sekadar leka bermain dengan permainannya.

Helaian rambut yang menutupi wajah juga menyebabkan anak akan memegang wajah. Mungkin anda boleh memastikan rambut anak sentiasa dalam keadaan rapi dan kemas.

Jika tidak berhasil, mungkin anda boleh meminta anak untuk menggunakan tisu sebagai pelapik pada tangan sebelum menyentuh wajah mereka. Walaupun ia tidak dapat menghentikan tabiat memegang muka, namun ia dapat mengekang jangkitan COVID-19.

Sekiranya anda ingin menyuruh anak memakai topeng muka semata-mata untuk tidak mahu mereka memegang wajah, ia adalah 1 perkara yang tidak disarankan. Ia boleh menyebabkan anak rimas dan lemas dengan pemakaian topeng muka sepanjang hari.

Jelaskan konsep bakteria dan kuman
Sekiranya usia si kecil 3 tahun dan ke atas, mungkin anda sudah boleh menerangkan tentang konsep bakteria dan kuman serta bagaimana mereka menjangkiti melalui sentuhan di muka.

Tabiat membasuh tangan
Pada akhirnya, seorang kanak-kanak tetap menjadi kanak-kanak. Elakkan stres atau naik angin jika mereka masih dengan tabiat menyentuh muka mereka sendiri.

Menyentuh muka, memegang pelbagai jenis barang atau memasukkan tangan ke mulut adalah 1 perkara biasa yang dilakukan kanak-kanak.

Jadi seandainya anda tidak boleh menghentikan tabiat tersebut, maka anda perlu mewujudkan 1 tabiat penjagaan kesihatan yang baik untuk mengawalnya. Bagaimana?

Sentiasa galakkan anak untuk membasuh tangan dengan kerap setiap kali sebelum atau selepas melakukan sesuatu.

Anda boleh menyediakan sabun dengan bau yang digemari oleh mereka untuk menggalakkan mencuci tangan.

Sentiasa bersabar
Untuk mengelakkan anak menyentuh muka, ia tidak akan berjaya dengan hanya sekali teguran. Sebaliknya ia memerlukan kesabaran dan konsistensi daripada ibu bapa.

Anda juga boleh menunjukkan contoh teladan kepada anak-anak seperti melapik tangan dengan tisu sebelum memegang wajah.

Walau apa pun, jangan menengking atau meninggikan suara jika mereka tetap dan masih menyentuh wajah. Ingatkan mereka dengan cara yang baik dan lemah-lembut, okay?

Sumber: Hello Doktor

Published by
NuFa