Susah Nak Turunkan Berat Badan Lepas Bersalin? Silap Makan Jadi Puncanya

Share

Masalah sukar menurunkan berat badan lepas bersalin merupakan masalah biasa yang dialami oleh para ibu.

Walaupun jenuh mengamalkan pelbagai tip menurunkan berat badan lepas bersalin, anda tertekan kerana tidak nampak sebarang perubahan.

Tahukah anda, hal Ini berlaku di atas beberapa faktor yang dilakukan oleh anda sendiri secara sedar ataupun tidak. Jom amatinya.

Kekurangan tidur

Kebanyakan ibu mengalami masalah  sukar untuk tidur disebabkan masih dalam fasa menyediakan diri kehadiran bayi.

Kajian menunjukkan apabila tidur terganggu, paras kortisol meningkat, lalu menyebabkan metabolisme tubuh tidak mampu membakar kalori dengan berkesan.

Terlupa makan

Bijak menguruskan banyak kerja dalam satu-satu masa kadang-kala tidak baik. Ia boleh menjadi punca anda kurang tumpuan terhadap perkara penting yang patut anda lakukan.

Contohnya memberi tumpuan kepada makanan yang dimakan. Lebih teruk lagi, kadang-kadang  anda lupa makan.

Apabila lupa makan, anda cenderung mengambil kudapan yang kurang berkhasiat dan mengandungi kalori yang tinggi.

Makan tengah malam

Selepas penat menguruskan rumah tangga, anda mungkin mahu meluangkan masa dengan menonton TV setelah bayi tidur.

Jika program yang disiarkan menarik, mungkin anda terbabas sehingga larut malam. Dalam masa yang sama, anda jadi lapar apabila tidur lambat dan akhirnya makan tengah malam.

Tidak salah anda mengisi perut pada waktu ini. Cuba pilih makanan berkhasiat seperti salad sayur,  buah-buahan atau yogurt jika mahu makan.

Terlepas sarapan

Sarapan memberi tenaga supaya anda mampu bergerak aktif sepanjang hari. Sebab itu ia penting dan jangan sesekali tinggalkannya.

Walau sesibuk mana pun, ambil sarapan! Semangkuk oat bersama buah-buahan kering atau sandwich telur pun susah mencukupi.

Makan sambil berdiri

Menurut kajian, tabiat makan dalam keadaan berdiri boleh menjadi punca anda makan berlebihan tanpa disedari.

Tahu anda sibuk. Namun elakkan daripada terlalu kerap makan dalam keadaan sebegini.

Published by
Intan Jastina