Selalu kalau selepas menyusukan si manja, ibu ada cuba sendawakan bayi tak? Jika tidak, ini cara mudah sendawakan bayi yang boleh dicuba. Percayalah, pasti mereka takkan meragam.
Bahagian penting dalam sesi penyusuan adalah untuk membuatkan bayi sendawa.
Ini kerana ia bantu menyingkirkan sebahagian udara yang cenderung tertelan oleh bayi semasa menyusu.
Bayi yang tidak disendawakan dan menelan udara terlalu banyak sering kali akan terjeluak atau memuntahkan kembali susu.
Mereka juga sering meragam disebabkan ketidakselesaan yang dialami kesan kembung perut dan berangin.
Sebab itulah penting untuk ibu ayah mengetahui cara mudah sendawakan bayi.
Sendawa adalah penting untuk dilakukan kepada bayi tidak kira pada siang atau malam hari.
Adakalanya si manja mungkin terlelap ketika penyusuan, namun itu bukan bermakna anda tidak perlu sendawakan mereka.
Bayi yang sudah dibantu untuk bersendawa dikatakan akan mendapat tidur dengan lebih lena.
Tidak dinafikan, apabila si kecil tertidur semasa menyusu, ibu akan berasa serba salah.
Risau seandainya pergerakan ketika cuba menyendawakan bayi akan membuatkan mereka terjaga, betul tak?
Walau apa pun, ibu masih perlu mencuba cara sendawakan bayi selepas menyusu selama beberapa minit sebelum meletakkan mereka kembali ke tempat pembaringan.
Jika tidak, akan ada kemungkinan untuk mereka terjaga kerana rasa sakit disebabkan gas yang terperangkap.
Sememangnya ada bayi yang tidak bersendawa, tidak kira sama ada dengan sendiri atau melalui bantuan anda.
Seandainya, si manja berada dalam kelompok yang perlu disendawakan, ada pelbagai cara mudah sendawakan bayi yang boleh anda cuba walaupun ketika mereka sedang tidur.
Berikut beberapa petua untuk membantu anda sendawakan bayi dengan jayanya:
Terdapat 3 cara sendawakan bayi selepas menyusu yang paling asas, iaitu:
Untuk mengetahui posisi terbaik dan berkesan bagi si manja, anda perlu mencuba ketiga-tiga kedudukan ini terlebih dahulu.
Sandarkan bayi pada bahu anda.
Letakkan sebelah tangan pada bahagian punggung si kecil sebagai sokongan untuk tubuh mereka.
Kemudian, lakukan tepukan atau gosok secara perlahan di bahagian belakang tubuh mereka dengan tapak tangan sebelah lagi.
Baringkan bayi secara meniarap pada pangkuan paha anda – perut si manja berada di sebelah kaki, manakala bahagian kepalanya di bahagian kaki lain.
Angkat sikit bahagian dada dan letakkan sebelah tangan anda untuk menyokong dan memegangnya dengan selamat.
Dengan sebelah tangan yang lain, lakukan gosokan atau tepuk perlahan belakang badan bayi sehingga mereka bersendawa.
Pegang bayi seperti dalam kedudukan duduk di atas pangkuan paha anda. Bongkokkan tubuh bayi sedikit ke hadapan.
Berikan sokongan pada kepada dan dada mereka menggunakan sebelah tangan anda.
Sebelah tangan lain pula, berikan tepukan atau gosok secara perlahan belakang badan si manja.
Posisi ini hanya disarankan untuk dilakukan kepada bayi yang sudah mampu mengawal kepala mereka sendiri.
Anda boleh mendukung bayi pada bahagian dada dan biarkan muka si manja menghadap ke luar.
Pastikan sebelah tangan anda memberikan sokongan pada bahagian bawah badan mereka.
Letakkan sebelah tangan lain pada bahagian bawah perutnya untuk memberikan tekanan ringan.
Dengan cara pegangan dan latihan yang betul, tip untuk membuatkan bayi sendawa di bawah pasti boleh membuatkan mereka mengeluarkan gas:
Merupakan kedudukan yang paling mudah jika ingin membantu bayi mengeluarkan gas ketika tidur tanpa membangunkan mereka.
Letakkan mereka di bahu dan pegang bahagian bawah badan dengan selesa semasa anda menepuk atau menggosok belakang badan si manja
Jangan terlalu kuat, okay? Atau padahnya si kecil akan terjaga!
Sama seperti kedudukan di atas, cuma bezanya bayi berada pada bahagian dada anda.
Posisi ini mungkin lebih selesa jika anda sedang duduk di atas sofa.
Bayi akan membengkokkan kakinya seakan posisi katak – ia sekali gus membantu mengeluarkan lebih banyak gas.
Jika perlu, gosokan secara perlahan bahagian belakang si manja.
Dengan perlahan-lahan, letakkan bayi seperti posisi berbaring di pangkuan anda untuk membuatnya bersendawa.
Tetapi anda harus ketahui, dalam posisi ini, si manja mungkin akan lebih cenderung mengalami muntah susu.
Cara ini mungkin janggal, khususnya bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa.
Tetapi cara sendawakan bayi selepas menyusu ini adalah teknik terbaik untuk bayi baru lahir atau si manja yang bersaiz kecil kerana tubuh mereka dapat muat dengan sebaiknya pada lengan anda.
Pastikan kepala bayi berada pada bahagian sudut siku. Tepuk atau gosok perlahan belakang badan si manja sehingga mereka mengeluarkan gas.
Ada sesetengah bayi tidak menelan udara dalam kuantiti yang banyak, jadi mereka mungkin tidak akan sendawa dengan kerap.
Bagi bayi lain pula, mereka mungkin mengeluarkan gas dengan sebaiknya, jadi tidak perlu bersendawa.
Sekiranya si manja anda tidak terganggu dengan masalah perut kembung atau berangin, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)