Kehamilan

Susahnya Nak Hamil, Ini Check List Rawatan Ketidaksuburan Pasangan Perlu Buat!

Share

Ramai diantara kita yang mula bimbang untuk menjalani rawatan ketidaksuburan dan lebih risau lagi bila terpaksa melakukan rawatan IVF kerana kosnya yang mahal.

Tak perlu risau kerana tidak semua disyorkan untuk menjalani rawatan ini jika tahu puncanya. Ikuti perkongsian Dr Maiza Tusimin, Pakar Perunding ObGyn & Fertiliti dari Prince Court Medical Centre.

Untuk wanita yang berumur 35 tahun ke bawah dah berkahwin selama setahun tapi selepas mencuba masih lagi gagal hamil, maka jumpalah doktor.

Ada beberapa ujian yang doktor boleh lakukan dan pemeriksaan untuk pastikan punca sebenar ketidaksuburan.

Manakala untuk wanita yang telah berusia 35 tahun ke atas pula, dah kahwin enam bulan dan masih gagal untuk hamil, jumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Apa yang perlu TTC sediakan adalah untuk menyiasat apakah punca ketidaksuburan berlaku.

Tapi sebelum itu pastikan dah catat hari pertama datang haid, sekurang-kurangnya ada tiga atau enam kitaran haid supaya doktor dapat memeriksa sama ada normal atau bercelaru.

Pastikan juga tulis tarikh akhir haid dan perlu tahu latar belakang kesihatan diri sendiri. Kalau boleh tolong kira sekali berapa BMI tapi kalau tak pandai, doktor akan bantu kirakan.

Periksa juga sama ada pernah mengalami alahan atau pembedahan. Ini antara yang doktor akan tanya dan kemudiannya doktor akan tanya lebih terperinci lagi contohnya berapa kerap bersama, jika bersama bolehkah berlaku penetrasi dan adakah ejakulasi berlaku di dalam vagina atau sebaliknya.

Dari situ barulah diaturkan apakah perawatan sebaiknya dan cari punca kenapa tak subur kemudian lakukan pemeriksaan yang berkaitan.

Lelaki senang sahaja hanya perlu periksa air mani dan untuk isteri pula ada beberapa siri ujian termasuklah ujian darah dan scan vagina kerana cara ini lebih tepat dapat mengesan perubahan dinding rahim dan juga kilang telur.

Jangan lupa juga untuk senaraikan jenis suplemen yang pernah diambil dan ceritakan sejarah kesihatan anda pada doktor.

Tidak semestinya bila periksa kesuburan terus kena buat rawatan IVF, ada pasangan yang berjaya hanya dengan bantuan doktor menyusun bila waktu subur isteri dan itulah yang paling sesuai untuk bersama.

Jadi wanita di luar sana, semakin lama menunggu lagi susah nak hamil. Bila usia makin meningkat makin kuranglah kadar kesuburan kerana kualiti dan kuantiti telur akan berkurangan. Begitu juga dengan lelaki. Jadi jumpalah doktor cepat-cepat, jangan tunggu lama-lama.

Ini pula check list rawatan yang perlu dilakukan

1. Pada konsultasi pertama:
• Temubual sejarah kesihatan & kesuburan kedua suami & isteri
• Pemeriksaan fizikal wanita
• Pemeriksaan Pap smear*
• Imbasan / scan pelvis – lazimnya scan vagina (TVS), boleh juga scan abdomen sekiranya belum bersedia untuk TVS
• Ujian darah yang berkaitan – FSH, LH, Testosteron, Prolaktin, AMH, Thyroid, Progesteron

2. Untuk analisis air mani (SA) suami, pasangan perlu berehat dari berhubungan seksual selama 3 hari sebelum melakukan SA.

3. Ujian HSG dilakukan sehari selepas tamat haid. Bagi isteri yang mempunyai masalah tiada haid berbulan-bulan, doktor perlu pastikan isteri tidak hamil sebelum melakukan ujian HSG.

4. Selain dari HSG, ujian lain yang boleh menentukan tiub fallopio tidak tersumbat :
• HyFoSy atau Hysterosalpingo-Foam Sonography
• Laparoscopy & Dye

5. Jika pasangan telah membuat keputusan untuk membuat IVF sebelum hadir konsultasi, isteri tidak perlu melakukan ujian HSG.

6. Bagi pasangan yang ingin menjalani prosedur IUI atau IVF, saringan penyakit berjangkit seperti HIV, VDRL & Hepatitis B perlu dilakukan.

7. Adalah penting untuk suami & isteri hadir bersama semasa konsultasi agar tahap kesihatan kedua-duamya dapat dianalisa disamping memahami penerangan doktor mengenai proses rawatan kesuburan. (It takes 2 to tango!)

 

Published by
SRM