Sayangnya! Jika susu ibu yang sangat berharga dikendalikan dengan cara yang salah, ia tidak boleh digunakan lagi. Bersesuaian dengan khasiatnya, ia memerlukan perhatian dan dihargai sepenuhnya. Susu ibu tidak dikatakan basi tetapi dikategorikan sebagai susu yang tidak boleh digunakan lagi.
Tidak boleh ambil mudah, para ibu harus belajar cara yang betul untuk mengendalikan susu perahan. Ikuti penjelasan daripada Juzaila Abdul Satar, Kaunselor Laktasi, tentang atur cara pengendalian susu ibu secara berkesan. Semoga perkongsian ini dapat membantu para ibu yang masih belajar.
Bagaimana Nak Tahu Susu Sudah Rosak?
Perhatikan jika susu perahan anda mempunyai ciri-ciri ini. Jika ada, jangan diberi kepada si manja dikhuatiri mendapat keracunan makanan.
Berbau tidak sedap
Mempunyai aroma yang tidak sedap dan berbau tengik.
Tidak larut ketika digoncang
Ketika disimpan dalam peti ais, komponen lemak dalam susu akan terpisah. Jika ia masih segar dan elok, kedua-dua komponen ini akan larut bersama. Sekiranya ia bergumpal dan tidak larut, maka ia sudah rosak.
Bau masam dan rasanya masam
Semasa menyediakan susu untuk anak anda, jika terdapat bau dan rasa yang masam, elakkan daripada diberikan kepada bayi anda kerana ia sudah rosak.
Macam Mana Nak Kendalikan Susu Ibu?
Terdapat aturan dalam mengendalikan susu perahan bermula dari diperah untuk disimpan dan kemudian dicairkan apabila hendak digunakan. Ada tempoh tertentu susu tersebut boleh digunakan. Aturan ini bertujuan supaya bayi mendapat khasiat susu ibu yang paling optimum.
Ketika mengendalikan susu perahan, terdapat panduan yang perlu diikuti. Tujuannya adalah untuk memelihara khasiat susu ibu kerana susu ibu akan kehilangan nutrien kesan daripada proses penyimpanan.
Gunakan bekas yang steril untuk menyimpan susu perahan samada menggunakan beg plastik susu (sekali kali kegunaan sahaja) atau menggunakan botol bebas BPA (tempoh guna sehingga enam bulan).
Labelkan tarikh dan masa pada bekas penyimpanan.
Simpan di dalam peti ais di bahagian paling dalam sekiranya tidak dibekukan.
Gunakan susu yang paling lama di simpan. Panaskan susu yang pertama mengikut tarikh disimpan kepada bayi anda.
Simpan susu secara teratur jika diletak bersama bahan mentah lain. Pastikan bahan mentah disimpan di dalam bekas bertutup.
Susu segar: Jika hendak berikan bayi susu segar, sejurus diperah boleh diberikan terus kepada bayi dan hendaklah dihabiskan dalam tempoh 1 jam. Tidak boleh disimpan bakinya jika bayi tidak habis minum dan sekiranya bayi belum minum, susu boleh berada di dalam suhu bilik sehingga empat jam tetapi tidak digalakkan kerana suhu di negara kita panas bukan seperti di luar negara.
Susu sejuk: Susu di bahagian chiller peti ais boleh disimpan sehingga lima hari mengikut kekerapan buka dan tutup pintu peti ais. Jika peti sering dibuka, selepas tiga hari susu tersebut hendaklah dibekukan. Jika hendak diberikan kepada bayi, susu boleh disuamkan atau boleh diberikan dalam suhu bilik atau ada bayi menerima susu sejuk dengan baik. Susu hendaklah dihabiskan dalam tempoh sejam dan baki susu tidak boleh disimpan semula.
Susu beku: Jangka susu beku berbeza-beza mengikut peti ais yang digunakan. Bagi peti ais satu pintu, jangka hayat susu beku adalah dua minggu. Bagi peti ais dua pintu pula, jangka hayat susu beku adalah sehingga tigabulan. Bagi yang menggunakan deep freezer, jangka hayat susu beku adalah sehingga enam bulan. Sekiranya terdapat keperluan untuk memindahkan susu beku, hayat susu tersebut mengikut tarikh susu diperah.
Harus Prihatin Sejak Susu Diperah
Pastikan tangan telah dibasuh sebelum memerah dan begitu juga dengan peralatan memerah.
Setelah susu diperah, simpan di dalam bekas penyimpanan dan susu hendaklah diisi sehingga 3/4 bekas/plastik sahaja. Tutup bekas penyimpanan dengan rapat dan labelkan.
Simpan di dalam beg yang mengandungi gel ais beku yang cukup untuk memastikan suhu susu tidak berubah berkurang.
Setelah sampai di rumah, jika hendak digunakan pada hari esok, boleh di simpan di dalam chiller di bahagian paling dalam. Jika ingin dibekukan, boleh dimasukkan terus ke dalam deep freezer.
Simpan Dalam Botol, Plastik Aau Bekas Lebih Selamat?
Untuk kekalkan kesegaran susu ibu, penting untuk memastikan peti ais diaturkan bahan masakan dengan baik. Ini bermaksud semua bahan masakan termasuklah bahan mentah disimpan di dalam bekas bertutup dan ditutup rapat. Ini kerana susu ibu boleh menyerap bau peti ais dan boleh menyebabkan bayi menolak susu sejuk/susu beku.
Setiap medium penyimpanan ada kebaikan dan kekurangannya. Jika menggunakan botol, boleh digunakan berulang kali sehingga enam bulan tetapi mengambil ruang penyimpanan. Jika menggunakan plastik pula, penggunaan hanya sekali pakai sahaja tetapi dapat menjimatkan ruang penyimpanan. Oleh itu, ibu perlu bijak membuat pilihan mengikut kesesuaian.
Kesilapan Paling Biasa Dibuat Ketika Menyimpan Susu
Meletakkan susu perahan di bahagian pintu peti ais. Sepatutnya susu ibu perlu diletakkan jauh dari pintu kerana aktiviti membuka pintu peti ais menganggu kestabilan suhu peti ais.
Susu perahan bercampur dengan bahan mentah masakan yang tidak disimpan di dalam bekas bertutup menyebabkan susu ibu berbau ikan,bawang dan sebagainya.
Menggunakan bekas simpan yang bukan dalam senarai bekas yang selamat digunakan. Contoh menggunakan plastik aiskrim untuk menyimpan susu.
Jom sertai komuniti ibu Pa&Ma Moms To Be. Anda boleh ikuti forum, ajukan soalan-soalan kepada doktor dan menggunakan pelbagai tools di sini. Sign up di https://momstobe.majalahpama.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon, Che Puan Juliana Sophie Evans berkongsi pengalaman melahirkan anak pertamanya, Tengku Kamiliah beberapa tahun lepas sehingga menyebabkan dia trauma untuk melahirkan anak kedua tidak lama lagi.
“Mengandungkan anak kedua memang agak sukar, mungkin sebab anak yang pertama saya terlalu teruja untuk melahirkan sehingga saya tidak sangka ia menjadi agak teruk.
Menurutnya lagi, dia juga mengambil epidural untuk mengurangkan rasa sakit bersalin namun tidak menjadi.
“Saya agak trauma dengan kelahiran pertama. Sebab epidural (ubat tahan sakit) tidak menjadi. Saya anggap sewaktu ingin melahirkan akan jadi indah, namun sebaliknya.
“Epidural tidak menjadi sehingga saya rasa sakit yang teramat sangat, malah saya tidak pernah terbayang ada sakit begini (beranak) dalam dunia ini. Rasa macam nak mati.
“Malah, saya ada ambil juga gas mulut tapi tidak jalan juga. Tapi tiada pilihan, saya perlu melahirkan juga ketika itu.
“Sebulan pantang pun agak mencabar, macam kena langgar bas. Walaupun orang kata sakit bersalin lama-lama akan lupakan, tetapi tidak saya. Saya memang tidak dapat lupakan.
Tambah Juliana lagi, dia turut mengalami alahan yang teruk semasa trimester pertama.
“Jadi kali ini yang kedua saya sedikit takut, malah pada trimester pertama alahan saya sangat teruk. Susah nak makan dan saya juga depresi, sentiasa rasa sedih. Emosi pun tidak stabil.
“Setiap kali saya makan akan muntah, bila muntah saya tidak sihat dan sakit. Kemudian masuk fasa kedua semuanya kembali baik.
“Apabila dapat tahu anak kedua saya perempuan saya sangat gembira. Tetapi saya mahu juga anak lelaki, kalau ada rezeki inysa-Allah.
“Takut memang takut, tetapi saya mahu lagi anak yang ramai. Kerana saya mahu berikan adik-beradik untuk anak pertama saya. Bagi kawan pada dia.
“Kalau lelaki saya tidak kisah, kalau dapat perempuan saya tidak kisah tetapi saya harap dapat anak perempuan.
“Saya siap sediakan mental dan fizikal saya untuk melahirkan yang kedua ini. Untuk sebarang kemungkinan. Suami dan keluarga juga banyak berikan kata-kata semangat untuk saya.
Che Puan Juliana mendirikan rumah tangga bersama, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada April 2017. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 2.
Si kecil mengempeng atau melekap pada payu dara adalah satu keadaan yang mencabar bagi ibu. Sekiranya ditarik puting payu dara daripada mulutnya bayi menangis biar pun sudah yakin dia sudah pun tidur. Pakar laktasi kongsi cara menghadapinya.
Adakah ini tabiat buruk kerana keadaan ini menyukarkan ibu untuk bergerak setiap kali sesi penyusuan berlangsung? Bagi ibu yang menyusukan bayi, perkara ini perlu diperjelaskan punca & kesannya.
4 PUNCA BAYI MENGEMPENG
Pakar laktasi, Rita Rahayu Umar, menjelaskan situasi mengempeng ini bergantung pada usia anak. Biasanya bagi bayi yang berusia beberapa bulan, mereka memerlukan keselesaan daripada ibunya dan payu dara. Selain itu ia disebabkan oleh;
a)Sesetengah bayi memerlukan lebih keselesaan sewaktu menyusu berbanding yang lainnya. Ini kerana mungkin perasaannya lebih sensitif. Tiada salahnya jika bayi hanya boleh tidur lena jika menyusu terlebih dahulu.
b)Kajian menunjukkan anak yang mendapat keselesaan apabila dia menangis, cenderung untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan diri dan berdikari. Asasnya, jika anda memberi keselesaan kepadanya sekarang, dia akan kurang memerlukannya di masa akan datang.
c)Selama sembilan bulan dia menjadi sebahagian daripada anda dan kini baru beberapa minggu atau bulan menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.
d)Dia memerlukan momen penyusuan intim bagi mengenang perasaan selesa yang pernah dilaluinya bersama anda.
CUBA BABYWEARING
Rita mencadangkan penggunakan penggendong bayi bagi mengatasi masalah ini. “Adalah tidak biasa jika bayi terus mahu menyusu ketika sedang tidur. Untuk itu, ada beberapa perkara yang boleh anda cuba lakukan bagi mengatasi hal ini. Bergantung kepada berapa usia anak, anda mungkin boleh biarkan dia terus menyusu sambil tidur tetapi pastikan dia diletakkan di dalam sling (penggendong). Jadi, anda boleh bangun dan lakukan pekerjaan lain ketika dia tidur.”
PASTIKAN ANAK BETUL-BETUL TERTIDUR
Walau bagaimanapun, pastikan bayi benar-benar lena dan tidak lagi menghisap puting sebelum anda cuba mempraktikkan panduan ini. Untuk itu, anda mungkin perlu menunggu untuk beberapa ketika.
Bayi akan melakukan aksi hisapan untuk mendapatkan keselesaan (flutter atau comfort sucking) iaitu hisapan yang lembut dan perlahan-lahan. Apabila bayi baru sahaja tidur, anda dapat lihat dia mengerut mukanya, sebahagian tangan digenggam, bayi menegangkan otot badan serta muka dan kelopak matanya bergerak-gerak.
CABUT TIDUR NYENYAK, TANGAN KERKULAI & TIDAK MENGGENGGAM
Apabila sudah nyenyak tidur pula, anda dapat mengenal pasti dengan melihat corak pernafasannya adalah biasa, kelopak mata tidak bergerak dan anggota tubuhnya lemah; tangan terkulai, tiada lagi genggaman tangan serta ototnya lebih relaks. Oleh yang demikian, apabila bayi mula tidur nyenyak, cuba tarik puting dan jauhkan diri daripadanya secara perlahan-lahan.
SISIPKAN KELINGKING
Satu perkara yang kadang kala membantu ialah sisipkan jari kelingking di dalam mulut bayi apabila dia sudah tidur. Jadi, anda boleh keluarkan puting payu dara dari mulutnya dan biarkan bayi menghisap jari anda itu. Lama-kelamaan, barulah anda boleh mengeluarkan jari daripada mulutnya. Cara ini membantu dengan memberi sedikit tekanan pada bahagian bawah bibir bayi apabila anda melakukannya. Dengan melaksanakan panduan ini, anda boleh mengelakkan bayi daripada terjaga daripada tidur.
TRIK OBJEK YANG MEMPUNYAI BAU BADAN IBU
Meletakkan sesuatu benda betul-betul di sebelahnya yang mempunyai bau badan ibu seperti baju T atau bantal juga dapat membantu.
Ketahuilah, menyusu bukan sekadar membekalkan bayi dengan khasiat yang diperlukannya. Lebih daripada itu, payu dara anda berupaya memberikan keselesaan dan rasa selamat kepada bayi. Masa yang diperuntukkan untuk menyusu bayi adalah sangat singkat tetapi memori kasih sayang yang anda curahkan melalui penyusuan susu ibu akan berkekalan seumur hidupnya. Percayalah, bayi anda dengan sendirinya akan tidur tanpa perlu menyusu pada masa akan datang. Jadi, nikmati momen ini selagi ada.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai mak-mak yang mula menghias rumah. Yelah, sepanjang PKP itulah rutin harian yang boleh dilakukan. Mengemas, memasak, berkebun dan menghias rumah. Yang tak minat menghias rumah pun dah mula minat dan mula menggumpul pelbagai jenis tanaman indoor.
Menurut Pusat Racun Negara, Pokok Lidah Jin yang menjadi kegilaan ramai sebenarnya mempunyai bahan aktif Saponin. Bahan Aktif Saponin sebenarnya berisiko menyebabkan keracunan.
Bagi mak-mak yang suka menghias laman dengan pokok ini dan mempunyai anak kecil, anda dinasihatkan agar meletakkan pokok ini dibahagian rak tinggi supaya tidak dapat dicapai oleh anak-anak. Ikuti perkongsian penuh daripada Pusat Racun Negara.
Pokok Lidah Jin atau nama saintifiknya, 𝘚𝘢𝘯𝘴𝘦𝘷𝘪𝘦𝘳𝘪𝘢 𝘵𝘳𝘪𝘧𝘢𝘴𝘤𝘪𝘢𝘵𝘢, khabarnya sedang tular di media sosial sekarang..
Diketahui bahawa tumbuhan ini mempunyai bahan aktif SAPONIN. Jika termakan dalam kuantiti yang banyak berkemungkinan boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.
Namun, ia mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Antaranya pengeluaran air liur yang berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.
Oleh itu, dalam keghairahan menanam pokok tular ini di rumah anda, pastikan anda BERWASPADA khususnya jika mempunyai anak-anak kecil yang mungkin bermain atau mematahkan pokok ini. Mereka mungkin terdedah pada bahan aktif saponin yang berisiko menyebabkan keracunan.
Tahniah diucapkan buat usahawan yang juga anak kepada Mantan Pendana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Nina Ismail Sabri yang yang mengumumkan kini hamil anak kedua.