
Ramai ibu baru bimbang apabila susu ibu tidak keluar sejurus selepas bersalin. Ada yang mula panik bila bayi menangis, lalu menyangka tubuh mereka tidak menghasilkan susu langsung. Sebenarnya, keadaan ini normal dan bukan tanda tubuh gagal menghasilkan susu. Menurut pakar, proses penghasilan susu ibu sudah pun bermula sejak dalam kandungan lagi!
Susu Ibu Sudah Terhasil Sejak Dalam Kandungan

Kaunselor penyusuan Nor Azura menjelaskan bahawa ketiadaan susu yang menitis selepas bersalin tidak bermakna badan tidak berfungsi, sebaliknya penghasilan susu ibu sudah bermula antara 10 hingga 16 minggu kehamilan. Pada waktu itu, tubuh ibu telah pun bersiap sedia membentuk saluran susu dan menghasilkan kolostrum, susu awal yang berwarna kekuningan dan sangat bernilai untuk bayi baru lahir.
View on Threads
“Ramai ibu salah faham. Bila tak nampak susu keluar, mereka sangka tiada susu. Sedangkan tubuh sudah mula menghasilkan sejak awal hamil,” jelas Nor Azura.
Tak Perlu Ambil Milk Booster Ketika Hamil
Menurutnya, pengambilan milk booster semasa hamil tidak perlu, kerana badan ibu sendiri sudah cukup bijak menghasilkan susu ibu. Proses ini dikawal oleh hormon estrogen dan progesteron yang menyebabkan perubahan pada payudara – termasuk pembentukan kelenjar dan saluran susu.
Berdasarkan laporan Healthline, sel alveolar di dalam payudara mula menghasilkan kolostrum sekitar minggu ke-12 hingga ke-16 kehamilan. Susu ini walaupun sedikit, sangat penting kerana mengandungi antibodi yang membantu melindungi bayi daripada jangkitan awal.

Saiz Payudara Tak Tentukan Banyaknya Susu Ibu
Ada juga ibu yang risau bila payudara kecil, takut tak cukup susu ibu. Tapi menurut Australian Breastfeeding Association, saiz payudara tidak menentukan jumlah susu yang dihasilkan. Ini kerana susu terhasil melalui tisu glandular, bukan lemak. Yang penting, bayi menyusu dengan kerap dan tekniknya betul.
Warna Areola Semakin Gelap Bantu Bayi Menyusu
Menariknya, semasa hamil, puting dan areola akan kelihatan lebih gelap. Ia sebenarnya membantu bayi baru lahir mencari puting kerana bayi hanya mampu melihat warna kontras seperti hitam dan putih. Malah, bintik-bintik kecil di sekeliling areola yang dikenali sebagai tuberkel Montgomery berfungsi melindungi payudara daripada kuman serta mengeluarkan aroma unik yang membantu bayi mengenali ibunya.
Hormon ‘Bekerja’ Selepas Bersalin
Selepas melahirkan, hormon kehamilan akan menurun dan hormon prolaktin serta oksitosin mengambil alih. Prolaktin bertanggungjawab menghasilkan susu ibu manakala oksitosin membantu mengalirkannya keluar.
“Sebab tu ibu digalakkan menyusukan bayi sekerap mungkin selepas lahir, supaya hormon penyusuan ini aktif dan susu ibu keluar dengan lancar,” tambah Nor Azura.
Sesetengah ibu mungkin mengalami susu meleleh keluar semasa hamil, biasanya dalam bentuk kolostrum. Namun, bagi kebanyakan ibu, susu matang akan keluar selepas beberapa hari – dan itu adalah normal.
✨ Tip Pa&Ma: Percaya Pada Tubuh Ibu
Jangan stres atau bandingkan diri dengan ibu lain. Teruskan penyusuan sekerap mungkin, dapatkan rehat mencukupi dan minum air dengan cukup. Ingat mama, badan kita sangat menakjubkan dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk si kecil!
💖 Majalah Pa&Ma – Inspirasi keibubapaan & panduan penyusuan susu ibu untuk mama moden.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





Dan ingatlah mommies tentang satu perkara: kalau susu mommies DROP sebenarnya bukanlah disebabkan faktor mommies berpuasa tu.




