Susu Kambing Mempunyai Sumber Protein Yang Baik & Lebih Banyak Kalsium Dan Selenium Untuk Anak Berbanding Susu Lembu

Share

Si kecil dah menghampiri wean off, jadi apakah susu yang sesuai untuk diberikan? Bolehkah berikan susu kambing untuk anak atau susu lembu lebih sesuai? Bagaimana pula dariaspek manfaat susu?

Pastinya perdebatan dalam topik berkaitan manfaat susu formula sama ada susu lembu atau susu kambing sangat hangat diperkatakan.

Mana satu antara 2 pilihan tersebut lebih sihat dan lebih selamat untuk si manja anda?

Perbezaan antara susu lembu dan susu kambing untuk anak

Ini antara perbezaan utama bagi susu lembu dan susu kambing yang perlu anda ketahui:

1. Proses pencernaan

Susu kambing untuk anak kecil dikatakan lebih mudah dicerna berbanding susu lembu kerana ukuran dan struktur molekul lemaknya.

Molekul lemak susu lembu adalah jauh lebih besar sehingga organ si manja perlu bekerja lebih keras untuk mencernanya.

2. Jumlah laktosa

Berbanding susu lembu, susu kambing mengandungi jumlah laktosa atau turut dikenali sebagai gula susu yang lebih kecil.

Umumnya, sistem badan manusia dicipta untuk memecahkan makanan, termasuk gula sehingga perut si kecil hanya perlu menggunakan sedikit enzim untuk mencerna laktosa.

3. Kurang alergenik

Protein yang terkandung dalam susu kambing tidak alergenik seperti protein dalam susu lembu.

Malangnya, kebanyakan anak kecil mempunyai alahan tenusu dikaitkan dengan Alpha s1 Casein, sejenis protein khusus yang terdapat dalam susu lembu, punca masalah pencernaan protein.

4. Perbezaan rasa

Jika ingin dibandingkan dari aspek rasa, susu lembu mungkin mempunyai rasa yang lebih baik dan boleh diterima berbanding susu kambing untuk anak.

Ini kerana rasa dan bau susu kambing yang mungkin agak kuat bagi sesetengah kanak-kanak.

Baca: Resipi Salad Buah Yang Segar & Menyihatkan. Paling Mudah Disediakan Dan Superb Sedap

5. Tahap pemprosesan

Susu kambing kurang melalui tahap pemprosesan berbanding produk tenusu biasa, termasuklah susu lembu.

Dalam erti kata lain, produk susu kambing ini mengandungi bahan pengawet atau gula tambahan yang sedikit.

6. Sumber protein

Berbanding susu lembu, susu kambing dianggap sebagai sumber protein yang baik dan dapat memberikan lebih banyak kalsium dan selenium.

Berdasarkan perbandingan perbezaan di atas, nampaknya pilihan lebih berat kepada susu kambing, bukan?

Tetapi bagaimana pula dari segi manfaat susu kambing ini?

Memahami manfaat susu kambing

Anda sudah mengetahui perbezaan antara susu lembu dan susu kambing. Namun, adakah susu kambing benar-benar bermanfaat dari sudut kesihatan?

Berikut adalah kelebihan minum susu kambing untuk kesihatan:

Meningkatkan kesihatan jantung

Susu kambing mengandungi banyak kalium. Ia merupakan mineral yang berperanan dalam mengawal dan mengatur tekanan darah. Maka secara tidak langsung ia menjadikan jantung lebih sihat.

Menyokong sistem imun

Sistem imuniti anak kecil belum berkembang sepenuhnya sehingga mereka berusia 5 tahun. Keadaan tersebut boleh mendedahkan anak kecil dengan pelbagai jangkitan.

Kandungan selenium dan nutrien lain dalam susu kambing boleh membantu meningkatkan daya tahan mereka.

Tahap ketersediaan bio tinggi

Tidak seperti susu lembu, jika diberikan susu kambing untuk anak, ia dikatakan lebih menyerupai susu ibu.

Keadaan ini berikutan komposisi susu kambing yang lebih mudah dicerna dan tempoh penyerapan nutrien oleh badan yang lebih cepat.

Tulang kuat dan sihat

Susu kambing adalah sumber kalsium yang baik. Di samping itu, ia juga mengandungi asid amino, disebut sebagai triptofan yang membantu menguatkan tulang.

Sifat antiradang

Susu lembu cenderung menyebabkan sakit perut (masalah berkaitan abdomen) dan mungkin mencetuskan keradangan.

Sebaliknya susu kambing dapat membantu mencegah masalah ini daripada berlaku kerana kandungan enzimnya.

Penyelesaian untuk intoleransi laktosa

Pemilihan susu kambing untuk anak mungkin penyelesaian bagi anak yang mempunyai masalah intoleransi laktosa.

Ia adalah keadaan apabila badan yang tidak dapat menyerap laktosa, sejenis gula yang terdapat secara eksklusif dalam susu dan produk tenusu.

Ini kerana susu kambing mengandungi kurang kandungan laktosa, maka risiko untuk mengalami gangguan pencernaan atau kembung adalah kecil.

Walau apa pun, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rundingan dan nasihat doktor atau pakar pediatrik terlebih dahulu.

Susu kambing untuk bayi, bolehkah?

Walaupun terdapat banyak kelebihan dan manfaat susu kambing berbanding susu lembu, namun pemberian susu tersebut kepada bayi yang berusia kurang daripada setahun, adalah tidak digalakkan.

Bahkan United States Department of Agriculture (USDA) juga tidak mengesyorkan susu kambing untuk diberi kepada anak di bawah usia 12 bulan.

Ini kerana ia boleh menyebabkan masalah kekurangan nutrisi dan komplikasi kesihatan lain.

Walaupun pemberian susu kambing untuk anak yang berusia lebih setahun jarang menyebabkan komplikasi, tapi sebaiknya anda disarankan mendapatkan nasihat pakar pemakanan kanak-kanak dahulu.

_

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa