Susu Perahan Cair Tetapi Banyak. Mudaratkah Jika Ia Diberikan Kepada Bayi? Ikuti Penjelasan Pakar Laktasi Ini

Share

Kerapkali ada ibu mendapati susu yang diperah cair tetapi banyak. Persoalannya, mudaratkah jika ia diberikan kepada bayi? Ini penjelasan pakar laktasi.

Mungkin ada ibu yang gusar susu kelihatan agak cair dan mula memikirkan sekiranya ada yang tidak kena serta apakah puncanya.  Walhal ibu makan seimbang dan tidak berdiet. Hinggakan ada ibu yang risau untuk memberikan susu perahan yang cair  kepada bayi kerana mempengaruhi kesihatan dan perkembangan bayi. Bimbang jika ia kurang berkhasiat.

KUALITI SUSU IBU BUKAN DITENTUKAN OLEH KEPEKATANNYA

Menurut Dr Zaharah Sulaiman, Pensyarah Kanan  & Pakar Perunding Laktasi (IBCLC), Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, kualiti susu ibu tidak ditentukan dengan pekat atau cairnya warna susu ibu tersebut. Susu ibu mengandungi lebih kurang 88 peratus air. Kandungan air di dalam susu ibu memberikan konsistensi susu ibu kelihatan cair dan bukan bermakna susu ibu kurang berhasiat.

Kebiasaannya susu yang kelihatan cair ini dapat dilihat pada masa awal perahan. Tetapi semakin lama ibu memerah susu, maka ibu akan mendapati susu semakin pekat. Ini adalah kerana semakin banyak kandungan lemak di dalam susu mula  dikeluarkan. Kandungan lemak ini juga penting untuk membekalkan tenaga kepada bayi puan dan membantu meningkatkan berat badan bayi.

BANYAK SEL IMUNITI

Susu yang kelihatan cair juga mengandungi protein yang banyak sel imuniti. Sel-sel in penting kerana ia melindungi bayi puan daripada jangkitan kuman. Pada awal kelahiran sehingga bayi berusia 12 hingga 18 bulan, system imuniti (daya pertahaan) bayi belum terbentuk dengan sempurna. Oleh itu susu ibu yang kaya dengan daya pertahanan ini berfungsi untuk memberikan perlindungan kepada bayi.

FOREMILK DAN HINDMILK

Susu awal yang keluar semasa perah atau semasa bayi menyusu dipanggil juga foremilk. Manakala susu akhir dipanggil hindmilk. Adalah penting untuk puan memberikan kedua-dua foremilk dan hindmik kepada anak puan kerana selain bayi puan perlu mendapat perlindungan daripada foremilk, bayi juga perlu mendapatkan tenaga daripada hindmilk.

Dr Zaharah menyarankan ibu yang menyusukan bayi agar mengamalkan pemakananan seimbang dan meminum air mengikut keperluan. Walaupun susu perahan kelihatan cair, teruskan memerah sehingga dapat melihat susu hindmilk yang kelihatan lebih pekat. Pastikan anda memberi susu foremilk dan susu hindmilk kepada bayi puan kerana bayi memerlukan kedua-duanya.

SEBAB SUSU CAIR

Antara sebab susu perahan cair adalah:

  1. Cuaca yang panas

Cuaca yang panas boleh mendorong seseorang ibu meminum air dengan lebih banyak. Hal ini akan menghasilkan susu yang lebih cair.

  1. Kurang kerap memerah susu

Apabila seseorang ibu kurang kerap memerah susu, maka susu yang terkumpul lama di dalam payudara akan menjadi lebih cair

  1. Sesi perahan yang pendek

Apabila seseorang ibu memerah hanya sebentar sahaja, maka tidak kesemua susu dikeluarkan. Oleh itu hanya susu awal yang mengandungi lebih air saya yang diperah keluar dan kelihatan lebih cair.

TIP KEPADA IBU YANG MEMERAH SUSU IBU

Oleh yang demikian  semasa di tempat kerja, pastikan ibu dapat memerah setiap dua hingga tiga jam. Untuk setiap sesi perahan pula, pastikan juga sesi memerah tidak terlalu pendek supaya bukan hanya susu foremilk yang diperah keluar, tetapi juga susu hindmilk.

Jika susu perahan foremilk terlalu banyak, ibu boleh simpan sebahagian di dalam bekas yang berasingan. Apabila hendak berikan susu perhaan kepada bayi, berikan hanya sebahagian susu foremilk tersebut dan pastikan susu hindmilk juga diberikan kepada bayi.

 

Published by
Azma ML