Saya pernah terdengar, susu yang diperah pada waktu malam atau dinihari akan menyebabkan bayi mengantuk. Malah, hasil pemerhatian terhadap anak sendiri apabila meminum susu perahan yang diperah pada waktu bekerja syif malam menunjukkan anak saya akan mudah mengantuk dan kurang aktif. Adakah hal ini mempunyai fakta yang benar?

Antara keunikan susu ibu adalah ia mengandungi hormon-hormon tertentu. Antaranya, hormon melatonin. Hormon ini dirembes pada waktu malam oleh orang dewasa dan bukannya bayi. Ia memberikan kesan seperti hipnosis yang membuatkan bayi relaks dan melancarkan pergerakan usus. Ada kemungkinan, susu ibu yang terdiri daripada melatonin mempunyai kesan rasa mengantuk pada bayi (berfungsi membantunya tidur dengan nyenyak) dan mengurangkan terjadinya kembung perut.

Penyusuan mengurangkan rasa cepat marah atau kembung perut serta cenderung si kecil tidur lebih panjang pada waktu malam. Susu ibu (pada waktu malam) mengandungi paras melatonin yang tinggi, sedangkan formula tidak. Dalam kajian itu juga didapati ia adalah spekulasi bahawa melatonin yang dibekalkan kepada bayi melalui susu ibu memainkan peranan dalam meningkatkan tidur dan mengurangkan kolik pada bayi menyusu berbanding yang diberi susu formula. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa anak puan kelihatan lebih mengantuk dan kurang aktif apabila meminum susu perahan yang diperah pada waktu bekerja syif malam.

IKLAN

Seperkara lagi, puan mungkin perasan, apabila bayi menyusu terus daripada payudara, dia akan kelihatan mengantuk dan mudah untuk tertidur. Ini disebabkan oleh hormon cholecystokinine (CCK) iaitu sejenis hormon yang meningkatkan penghadaman, memberikan kesan seperti ubat pelali dan rasa kekenyangan dan tenang kepada si manja. Semasa menyusu, proses rembesan CCK pada kedua-dua ibu dan bayi menghasilkan rasa mengantuk.

Tahap CCK bayi memuncak sebanyak dua kali selepas penyusuan. Puncak pertama berlaku sebaik sahaja selepas penyusuan. Ia memuncak lagi 30 hingga 60 minit kemudian yang mungkin selepas susu tersebut sampai ke saluran usus. Tahap CCK bayi akan menurun selepas 10 minit selepas penyusuan. Hal ini yang menyebabkan bayi tersedar untuk menyusu semula sama ada daripada payudara sebelah lagi atau daripada payudara yang sama untuk mendapatkan susu yang kaya dengan lemak (hindmilk).  Menunggu 30 minit selepas makan sebelum meletakkan bayi ke katilnya dapat membantu dia tidur lebih nyenyak. Diharapkan informasi ini dapat membantu meningkatkan pemahaman puan dalam isu tersebut.

IKLAN

Rujukan : [1]Breastfeeding may improve nocturnal sleep and reduce infantile colic: potential role of breast milk melatonin.   Cohen Engler A1, Hadash A, Shehadeh N, Pillar G.

IKLAN

Soalan ini di jawab oleh Puan Rita Rahayu Omar ,  Pakar Laktasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI