Peranan seorang ibu dan juga tugas sebagai seorang atlet ternyata bukan satu perkara yang mudah. Meskipun sedang bertarung dalam sebuah perlawanan bola tampar untuk pasukan, seorang ibu tetap menjalankan tanggungjawab terhadap anak yang masih menyusu meskipun hanya mempunyai sedikit masa untuk berbuat demikian.
Tular baru-baru ini gambar seorang pemain pasukan bola tampar dari Mizoram menyusukan bayinya ketika permainan direhatkan untuk separuh masa pertama mendapat perhatian warga net.
Lalventluangi, merupakan salah seorang ahli pasukan bola tampar Tuikum dilihat menyusukan bayinya setelah perlawanan separuh masa pertama acara sukan negeri Mizoram 2019.
Foto itu dimuat naik di Facebook Ninglun Hanghal ketika hari pertama acara itu berlangsung di Aizawl.
“Pemain sempat mencuri masa ketika berehat untuk menyusukan bayinya berusia 7 bulan,” katanya.
Menurutnya, foto itu tular di laman sosial dan rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan pemain itu kerana sikap dedikasinya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan seorang pemain negeri.
Kata Hanghal, foto Lalventluangi menyusukan bayinya juga mendapat perhatian menteri sukan negeri dan menyampaikan sumbangan 10,000 Rupee (RM587).
Menteri Sukan Mizoram, Robert Romawia Royte memberi sumbangan itu sebagai tanda penghargaan di atas kegigihan pemain membahagikan masa untuk bersukan dan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Kasih ibu memang sampai syurga, tengoklah walaupun tengah ada perlawanan, Lalventluangi tetap jalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Perkara sebegini sememangnya harus dipuji!
sumber: Sinar Harian