Sering berkongsi caranya membesarkan anak-anak di platform media sosial, terbaru Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi pula tentang kebaikan berenang buat anak-anak di Instagram miliknya.
Menurutnya Dr Sheikh Muszaphar aktiviti berenang bukan sahaja memberikan banyak kebaikan kepada tubuh, malah aktiviti tersebut juga merupakan satu sunnah. Justeru itu beliau memberi galakan kepada orang ramai khususnya ibu bapa untuk mengajarkan anak-anak dengan kemahiran berenang sejak dari kecil.
Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap asma, kelima-lima adik-beradiknya telah diajar berenang sejak kecil lagi oleh ayah Dr Sheikh Muszaphar.
“Kami mempunyai sejarah asma dalam keluarga dan berenang pada usia muda akan mengembangkan peparu yang mana dapat mengelakkan kami daripada mendapat masalah tersebut.
“Saya rasa ayah saya tahu (manfaat berenang) sebab itu dia mahu kami pilih sukan renang. Berenang juga buat anda tinggi dan kurus, sebab itu kami semua adik-beradik mempunyai ketinggian 6 kaki,” tulisnya.
Dalam hantaran terbarunya di Instagram, Dr Sheikh Muszaphar memuat naik gambar dirinya mengajar anak perempuannya, Bella berenang ketika usia enam bulan. Menurutnya dia sendiri telah diajar oleh ayahnya berenang seawal usia tiga tahun.
“Ayah saya ajar kami lima beradik berenang ketika usia tiga tahun dan dia sendiri yang jadi jurulatih.
“Saya ingat lagi kami semua akan jalani latihan pada pukul 6 pagi di Kelab Sungai Ujong sebelum ke sekolah,” katanya yang mengakui mempunyai banyak medal ketika menyertai suka tersebut.
Tambahnya lagi dia dan kesemua adik-beradiknya juga pernah menjadi wakil Negeri Sembilan dalam sukan tersebut dan tiga daripada mereka juga pernah bertanding di peringkat antarabangsa.
“Sebab itulah saya juga mahu mengajar anak-anak saya berenang. Suatu hari nanti, renang boleh bantu selamatkan nyawa. Berenang juga satu sukan terbaik,” katanya.
Memang banyak perkongsian yang bermanfaat diberikan oleh Datuk Dr. Sheikh Muszaphar dalam membesarkan anak-anak. Anak-anak memang senang untuk dididik dan dibentuk sejak kecil, oleh sebab itulah fasa awal usia anak-anak adalah waktu terbaik untuk kita mengajar dan memperkenalkan mereka dengan sesuatu yang baru.
Semoga apa yang dikongsikan oleh Dr Sheikh Muszaphar ini dapat memberi manfaat untuk semua ibu bapa di luar sana.
Sumber: IG drsheikhmuszaphar
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)