Tiada rezeki untuk menimang cahaya mata keduanya, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad mengalami keguguran anak keduanya.
Menerusi Instagramnya, Uyaina berkongsi video throwback ketika membuat kejutan buat suaminya ketika bercuti pada Mei lalu.
Walaupun hanya sekejap merasai nikmati itu, namun kata Uyaina dia tetap bersyukur dan berharap moga ada rezeki buatnya dan suami kelak.
“Video ni diambil waktu bulan 5 masa kami bercuti di Anantara. Alhamdullilah Allah beri rezeki untuk mengandung buat kali kedua. Happy. Tak boleh diungkap dengan kata-kata. Syukur.
“Tapi sayang kandungan tak lama. Uyaina keguguran. Walaupun sekejap. Tapi tetap Alhamdullilah syukur sebab Allah sempat pinjamkan kebahagiaan itu,” kongsi Uyaina lagi.
Ads
Pengacara cantik manis itu berkongsi cerita keguguran itu bersempena hari lahir suaminya semalam. Biarpun tiada rezeki namun Uyaina mengharapkan yang terbaik buatnya dan suami serta anak mereka.
“Dan hari ini, hari lahir suamiku @rajasyahiranmy ?? I’m glad that I’m going through this journey with you. Terima kasih sebab sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk I & Urhan.
Ads
“I doakan yang terbaik untuk you dalam setiap apa yang you buat. Dan semoga Allah kurniakan rezeki yang tak disangka-sangka untuk kita berdua.
“Saling sayang menyayangi, hormat menghormati, dan berkasih sayang hingga ke syurga. Aamin. Happy Birthday, hubby,” katanya lagi.
Terdahulu, Uyaina dan suaminya Raja Syahiran mendirikan rumah tangga bersama 21 Disember 2021. Pasangan ini dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki, Raja Urhan.
Bagi seorang wanita mengandung, pemakanan adalah antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian. Jom ketahui makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan.
Makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan
Apabila bergelar wanita mengandung, pastinya anda sudah biasa mendengar tentang pantang larang dalam aspek pemakanan.
Tapi mengapa?
Umumnya, terdapat beberapa makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan kerana ia mungkin berisiko untuk membuat anda sakit atau membahayakan bayi dalam kandungan.
Jadi adalah penting untuk anda mengetahui fakta tentang makanan yang perlu dihindari sepanjang tempoh kehamilan ini.
Sudah tentu makanan terbaik untuk dimakan oleh wanita mengandung adalah makanan yang baru dimasak atau baru disediakan.
Jom ketahui apakah makanan yang harus anda hindari sepanjang kehamilan ini.
9 jenis makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan
Terdapat beberapa makanan yang harus dielakkan wanita mengandung semasa peringkat awal kehamilan.
Berikut adalah antara 9 jenis daripadanya:
1. Keju lembut
Keju lembut adalah keju yang diperbuat daripada susu yang tidak dipastur dan mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Oleh itu, lebih baik mengelakkan keju lembut semasa awal kehamilan.
2. Makanan dibungkus dan diproses
Makanan yang dibungkus dan diproses seperti jus, makanan sedia untuk dipanaskan dengan gelombang mikro, kek, biskut atau susu pekat adalah antara contoh yang perlu dielakkan.
Ini kerana ia mengandungi bahan pengawet dan tidak mempunyai kalori.
Beberapa makanan dibungkus juga boleh mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Sebagai gantinya, ambillah makanan yang dimasak sendiri terutamanya yang dibuat menggunakan bahan semula jadi atau organik.
3. Makanan laut
Makanan laut mengandungi kadar merkuri tinggi, yang boleh menyebabkan kerosakan otak janin dan kelewatan dalam perkembangannya.
Walaupun ikan mengandungi protein dan asid lemak omega-3 penting yang disyorkan semasa kehamilan, tapi anda harus memilih ikan dengan kadar merkuri yang rendah.
Elakkan ikan todak dan kerang mentah serta hadkan pengambilan tuna, salmon, ikan tenggiri, sardin dan ikan trout.
Jangan makan makanan laut mentah seperti tiram mentah, sashimi dan sushi kerana mempunyai risiko pencemaran listeria yang lebih tinggi.
Pencemaran listeria adalah pencemaran bakteria Lesteria monocytogenes pada makanan.
Jika jangkitan berlaku pada wanita mengandung, ia boleh mengakibatkan masalah seperti:
Kecacatan kelahiran
Keguguran
Kematian bayi
Kelahiran pramatang
Jangkitan lain yang mengancam nyawa bayi baru lahir
4. Betik
Antara makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan adalah betik yang tidak masak dan separuh masak.
Ini kerana ia mengandungi getah yang boleh mencetuskan kontraksi pada rahim dan menyebabkan kelahiran pramatang atau keguguran.
Sebaliknya, betik yang masak sepenuhnya baik untuk diambil kerana mengandungi nutrien dan boleh makan dalam jumlah sederhana.
5. Susu tidak dipastur
Jika anda mahu minum susu, sebaiknya pilihlah susu yang dipastur atau UHT (ultra-heat treated).
Sekiranya ia merupakan susu mentah, masak ia sehingga mendidih terlebih dahulu.
Susu mentah mungkin mengandungi Campylobacter, E. coli, Listeria, atau Salmonella, yang menyebabkan keracunan makanan.
Disebabkan anda sedang berbadan dua, ia meningkatkan kecenderungan untuk jatuh sakit kerana kehamilan akan menjejaskan sistem ketahanan badan.
6. Makanan mentah atau separuh masak
Telur atau daging yang mentah atau separuh masak berisiko untuk dicemari bakteria seperti Salmonella dan Listeria yang berbahaya untuk perkembangan anak dalam kandungan.
Jika anda memakan daging babi, elakkan daripada daging yang kurang dimasak. Ini kerana ia mengandungi sista cacing gelang yang boleh menyebabkan masalah serius pada kesihatan bayi.
7. Kafein
Kafein harus dihadkan pengambilannya pada awal kehamilan kerana jika diambil secara berlebihan boleh menyebabkan tidak cukup tidur, mudah marah dan gugup.
Tahap kafein yang tinggi dapat meningkatkan risiko keguguran, berat badan lahir rendah dan mengalami proses kelahiran yang sukar.
Kafein secara semula jadi terdapat dalam banyak makanan, seperti kopi, teh dan coklat. Bahan itu juga ditambahkan pada beberapa minuman ringan dan minuman tenaga.
Minuman tenaga tidak digalakkan diambil kerana mungkin mengandungi kafein yang tinggi dan bahan-bahan lain yang tidak digalakkan untuk wanita mengandung.
8. Minuman beralkohol
Alkohol adalah pilihan minuman yang sangat tidak sihat bagi janin yang sedang berkembang kerana boleh menyebabkan kecacatan kelahiran kronik.
Tidak ada tahap alkohol yang selamat untuk diminum semasa kehamilan anda.
Sama ada anda sedang merancang kehamilan, sudah hamil atau menyusukan badan, elakkan pengambilan minuman beralkohol adalah pilihan paling selamat.
9. Makanan bergula
Seorang wanita hamil memerlukan 300 kalori tambahan setiap hari untuk menyokong pertumbuhan bayi.
Walau bagaimanapun, pengambilan terlalu banyak makanan bergula boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan diabetes kehamilan.
Tip penjagaan wanita mengandung
Anda sudah mengetahui antara 9 jenis makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan.
Walaupun begitu, mungkin bagi sesetengah wanita menganggap ia sesuatu yang leceh dan sukar dilakukan.
Umumnya, pada bulan pertama kehamilan, beberapa perubahan berlaku di dalam badan anda. Perubahan hormon boleh menyebabkan emosi terjejas, keletihan dan mabuk pagi.
Mengamalkan pemakanan yang sihat, makan secara kerap dalam jumlah kecil, menjaga kesihatan diri dan melakukan senaman ringan bagi mengelakkan tekanan boleh membantu mengekalkan tahap kesihatan anda dan bayi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semasa mengandung, banyak pantang larang yang perlu dielakkan dan petua yang perlu dilakukan untuk memastikan kandungan sentiasa sihat.
Ini adalah 10 perkara penting yang mesti dilakukan semasa mengandung untuk memastikan kandungan sihat.
Folic Acid perlu diambil 2-3 bulan sebelum merancang untuk mengandung, supaya kandungan folic acid dalam badan ibu mencukupi untuk pembentukan saraf tunjang dan otak bayi semasa awal kandungan.
2. Apabila disahkan mengandung, buat scan awal pada 8-12 minggu untuk sahkan tarikh dijangka bersalin. Scan pada waktu ini akan mengambil ukuran CRL (crown rump length) untuk mengira usia kandungan. Waktu ini adalah waktu terbaik dan paling tepat untuk tentukan tarikh dijangka bersalin.
3. Makan makanan berkhasiat dan jauhi makanan/perbuatan yang membahayakan kandungan seperti merokok/minum minuman beralkohol.
4. Buat antenatal checkup yang lengkap. Jangan buat ala kadar je. Jumpa doktor yang berpengalaman dalam bidang antenatal kerana bukan semua doktor berpengalaman dalam penjagaan antenatal.
5. Bila dah masuk trimester kedua, sebaiknya dapatkan supplement iron seperti Iberet Folic untuk menambah jumlah darah yang semakin diperlukan apabila kandungan semakin membesar.
6. Lakukan pemeriksaan darah, check gula, air kencing dan pemeriksaan tekanan darah secara berkala agar semua normal. Jika terdapat sebarang bacaan yang tidak normal, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan.
7. Pada 18-28 minggu, lakukan detail scan untuk memastikan tidak ada sebarang organ utama yang tidak normal, jika ada persediaan yang sesuai semasa bersalin perlu dilakukan.
8. Jaga berat badan semasa mengandung, pastikan kenaikan berat badan adalah sejajar dengan usia kandungan, tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.
9. Lakukan serial growth scan. Untuk memastikan baby dalam kandungan membesar sejajar dengan usia kandungan. Scan ini juga boleh memeriksa sama ada air ketuban cukup atau tidak, dan kedudukan uri dalam rahim, di atas atau di bawah.
10. Jangan lupa lakukan fetal kick chart. Cara paling mudah untuk memastikan kandungan sihat.
Hb rendah atau anemia ialah satu keadaan yang sering dialami ibu hamil. Tapi tidak ramai menyedari sebenarnya anemia juga salah satu petanda pembawa talasemia. Paling bahaya, ia boleh memberikan kesan buruk kepada bayi dalam kandungan!
Perkongsian Dr Sakinah Sulong ini boleh dijadikan panduan. Ibu hamil sebaik-baiknya tidak mengelak daripada mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan semasa hamil. Bagi ibu hamil yang mengalami anemia, pil hematinik akan dibekalkan oleh klinik.
Menangani ibu hamil anaemia memang jadi asam garam kami di klinik kesihatan.
Majotiti ibu mengalami Iron Deficiency Anemia iaitu masalah kurang darah merah akibat kurang zat besi.
RAMAI TAK SEDAR DIRI PEMBAWA TALASEMIA
Namun ada sebilangan, lebih kurang 10% yang mengalami anaemia disebabkan masalah Thalasemia. Keadaan ini mungkin tidak disedari oleh pesakit sendiri memandangkan bagi Thalasemia carrier, lazimnya mereka tidak mempunyai apa-apa tanda melainkan bila mereka mengandung atau waktu tidak sihat.
Ada yang hanya mengetahui status pembawa setelah menjalani ujian darah semasa mengandung.
Sebab itu penting untuk ibu-ibu mengambil hematiniks untuk meningkatkan Hemoglobin atau sel darah merah. Jangan sekali culas.
Paras hemoglobin yang tidak meningkat walaupun dengan pengambilan hematinik menyebabkan wanita itu akan disaring untuk masalah Talasemia.
Dalam hal pesakit saya, status ibu yang mempunyai Thalasemia carrier dan IDA, menyebabkan darah merahnya turun hingga paras 6.8g/dL sahaja.
Tak hairanlah dia mengadu sangat penat hinggakan nak berdiri basuh pinggan lama-lama pun dia tak mampu.
ANEMIA TAK DIRAWAT, BAYI KECIL DARIPADA USIA KANDUNGAN
Paling bimbang bila diperiksa kandungannya, bayinya tidak membesar seperti sepatutnya. Kandungan yang sudah menjangkau 9 bulan umpama 8 bulan sahaja saiznya. Saya syak bayinya sudah mengalami IUGR.
Inilah komplikasi sekiranya anaemia tidak dirawat sebaiknya.
PENDARAHAN SEMASA BERSALIN BOLEH BERLAKU
Bahaya lain menanti, dia berisiko untuk melahirkan bayi pramatang dan kurang berat. Malah juga boleh mengalami Post Partum Haemorrhage atau pendarahan yang banyak semasa bersalin. Oleh sebab itu, masalah anemia beliau mesti ditangani segera.
Beliau dirujuk ke hospital untuk mendapat transfusi darah. Mungkin sekiranya perlu, beliau akan di induce untuk menyelamatkan bayinya yang kurang membesar. Segala-galanya demi menjaga keselamatan ibu dan anak.
JANGAN CULAS AMBIL PIL DIBEKALKAN
Jadi, janganlah culas atau pandang enteng kepada pil hematinik yang dibekalkan oleh klinik. Kalau anda memilih untuk membeli pil hematinik dari farmasi luar, sila beritahu pihak klinik.
Beritahu jururawat dan doktor brand pil yang anda ambil kerana kepekatan zat besi mungkin berbeza mengikut brand. Jangan membazir dengan mengambil bekalan hematinik klinik tapi hanya disimpan.
Bukan sedikit wang kerajaan dibelanjakan. Dan sekiranya anda tahu status anda mempunyai Thalasemia, sila beritahu dan tunjukkan dokumen berkaitan kepada pihak klinik. Ini akan membantu pihak klinik dan ujian darah berkenaan tak perlu diulangi.
Bersempena dengan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024, pertandingan Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN telah diadakan di MyTown Shopping Centre, Kuala Lumpur,...