“Syukur Dipinjamkan Kebahagiaan Di Dunia.” Isteri Hargai Kebaikan Suami & Keluarga Mertua

Share

Sebagai seorang isteri, tidak banyak yang kita harapkan dari suami. Cukuplah disayangi dan dihargai, itu sudah membuatkan seorang isteri bahagia. Harta dan kekayaan adalah bonus jika kita merasainya dalam perkahwinan. Yang penting kesetiaan serta kebaikan suami kepada isteri.

Seperti yang diceritakan oleh wanita ini, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang bertanggung jawab. Dalam perkahwinannya, dia bahagia kerana diberi rezeki merasai hidup bersama seorang lelaki yang baik serta keluarga mertua yang cukup menyayanginya.

Tolong share kisah saya ni ya admin. Nama saya Zurin. Seorang isteri dan mempunyai seorang anak. Seorang anak lelaki yang sempurna di mata saya dan suami. Cukuplah tentang anak, saya nak bercerita tentang suami saya. Orangnya sangat baik dan bertimbang rasa. Selalu bantu saya dengan kerja rumah.

Suami saya namanya Rizman. Dia tua lima tahun dari saya. Kami saling mengenali kerana dia berkawan dengan abang saya. Dulu waktu dia mahu mengorat saya, dia dapatkan izin Bengah saya dulu. Alhamdulillah, bila Bengah kata okay baru dia ‘masuk jarum’.

Kahwin Cara Sederhana, Keluarga Restu

Kami berkawan tak lama, lebih kurang setahun. Kemudian bertunang lima bulan sebelum bernikah. Perkahwinan kami dibuat secara sederhana. Memandangkan keluarga saya sudah lama mengenali Rizman, maka tak susah mereka mengizinkan kami mendirikan rumah tangga.

Keluarga Rizman juga menerima saya dengan baik. Kedua-dua mertua melayan saya seperti anak mereka sendiri. Tidak kekok apabila saya menyertai keluarga Rizman. Adik-beradiknya pun semua baik-baik. Saya sayang keluarga baru saya ni.

Mengandung, Suami Jaga Baik-Baik

Selepas kami berkahwin lebih kurang setahun, rezeki saya dan Rizman akhirnya disahkan mengandung. Saya pun tak sangka hamil kerana saya haid saya jenis yang selalu lewat, tidak teratur. Sebelum tahu mengandung, saya dan Rizman siap menebas semak di sekitar rumah ibunya.

Waktu saya hamil, saya tidaklah mabuk teruk. Syukur, semuanya dipermudahkan. Cuma masuk trimester ketiga kehamilan, saya mendapat kencing manis. Jadi, terpaksa berdiet supaya bacaan gula tidak tinggi.

Rizman yang menjaga diet saya. Dia pantau dengan baik. Sejak kandungan saya 7 bulan, dia tak bagi saya buat kerja berat sangat. Katanya cukuplah saya masak untuk dia sahaja. Urusan rumah tangga yang lain, biar dia saya yang uruskan. Setiap malam, dia akan urut kaki dan belakang badan saya. Jujurnya saya bahagia.

Pengakuan Lain: [“Dia Pijak Perut Saya Sampai Gugur.” Sayangkan Suami, Isteri Rela Jadi ‘Punching Bag’]

Selamat Melahirkan Bayi Lelaki

Sampai waktu, saya melahirkan anak lelaki yang comel. Memandangkan saya ada GDM, jadi bayi saya besar sikit. Alhamdulillah, saya dapat melahirkan dengan normal walaupun awalnya agak sukar.

Memandangkan kami dapat anak lelaki, Rizman minta kebenaran saya untuk namakan dia Rizqy. Saya tak kisah, asalkan nama itu ada pengertian yang baik. Lagipun baby Rizqy pun anak dia juga. Memandangkan tiada apa-apa masalah, saya dan anak dibenarkan pulang pada keesokkan harinya.

Berpantang Dengan Kedua-Dua Ibu

Selepas 3 hari berpantang sendiri di rumah kami, akhirnya Rizman bawa saya pulang ke kampung. Rizman kata sekurang-kurangnya biar saya diurut dahulu. Dah segar sikit badan, baru balik ke kampung. Ya, saya setuju.

Mula-mula Rizman hantar saya berpantang di rumah ibu saya. Seronoklah dapat balik ke kampung. Ibu dan abah saya dah sediakan keperluan berpantang untuk saya. Segala herba untuk dibuat mandi dan makan ketika dalam pantang semuanya dah disediakan. Rasa macam permaisuri pun ada.

Selepas dua minggu berpantang di rumah ibu, saya sudah semakin sihat. Badan pun dah makin segar. Tibalah giliran untuk saya berpantang di rumah mertua pula. Supaya saya tidak kekok, Rizman ambil cuti untuk temankan saya. Sebenarnya saya segan juga, tapi mujurlah Rizman ada.

Berpantang di rumah mertua pun seronok juga. Dimanjakan emak dan ayah. Dah sihat pun dia masih layan macam saya baru keluar hospital. Masakkan lauk pantang yang sedap-sedap untuk saya.

Memandangkan Rizqy menyusu badan, emak jerangkan air longan kering dan kurma merah untuk saya. Mungkin disebabkan saya dijaga dengan baik, Alhamdulillah saya cepat sembuh.

Tolong Jaga Anak, Tidak Berkira

Bila kami dah balik ke rumah sendiri, Rizman banyak membantu saya. Walaupun saya sudah sembuh, tapi dia masih tak benarkan saya untuk buat kerja-kerja berat. Apa sahaja yang dia boleh bantu, dia akan tolong untuk mudahkan urusan saya.

Pengakuan Lain: [“Umpama MCO Dalam Rumah Sendiri.” Penat Melayan Kerenah Mertua Umpama Bos]

Saya tidak bekerja tapi ada buat bisnes online. Saya jual baju-baju preloved, Alhamdulillah rezeki murah. Banyak yang percaya dengan saya dan bisnes ni dapat buat untung. Biasalah bisnes online tak boleh malas, kena rajin update. Jadi, suamilah yang banyak tolong jagakan Rizqy waktu saya ‘bekerja’.

Kerja rumah pun banyak yang dia bantu. Sejujurnya saya beruntung dapat suami sebaik Rizman. Saya sayangkan dia. Semoga saya dapat menjadi isteri terbaik untuk dia juga.

Tujuan saya berkongsi cerita ini bukan untuk membangga diri. Jauh sekali riak kerana dikurniakan suami yang baik. Saya cuma mahu berkongsi rasa syukur dan mengharapkan doa yang baik-baik dari anda semua.

Inilah pinjaman Allah SWT yang terbesar buat saya. Pinjaman untuk merasa bahagia dengan suami dan keluarga mertua yang baik-baik. Inilah doa saya sejak dulu lagi, sebelum dipertemukan dengan suami saya. 

Sebagai isteri tiada apa yang kita inginkan dari suami, cuma kesetiaan dan timbang rasa dari mereka kan? Kita dah cukup bahagia jika dikurniakan suami yang menyayangi kita seadanya. Saya doakan supaya kita sama-sama memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Amin.

Sekiranya anda mempunyai sebarang cerita atau pengalaman yang ingin dikongsikan, boleh klik di KONGSI CERITA.

Published by
Emy H