“Syurga Tempat Mu..”-Tragedi Budak 8 Tahun Meninggal Ketika Ambil Wuduk, Undang Pilu!

Share

Ajal maut adalah rahsia Allah, tidak akan ditunda ataupun dipercepatkan walau sedetik. Apa yang pasti ia  akan berlaku kepada setiap makhluk yang hidup. Bahkan bagaimana situasi pengakhiran hidup kita ini juga menjadi suatu rahsia dan  tanda tanya hinggalah sampai detik waktunya.

Begitu juga halnya yang terjadi pada kanak-kanak berusia 8 tahun ini telah mengundang pilu di hati wargamaya. Pemergiannya dengan tanpa diduga meskipun sedang tertib  mengambil wuduk untuk menunaikan solat, rupa-rupanya menjadi amalan terakhir buatnya sebelum meninggal dunia akibat dihempap dinding di sebuah masjid.

Gambar hiasan

Kejadian malang ini berlaku di Indonesia dan rakaman kamera litar tertutup telah tular di media sosial. Gian Septiawan Ardani, 8, yang belajar di sekolah rendah dilihat sedang mengambil wuduk bersama seorang lagi rakannya di sebuah masjid di Lubuk Minturun, Sumatera Barat.

Tiba-tiba, sebuah motosikal ditunggangi seorang individu terlanggar dinding di tempat dua kanak-kanak itu mengambil wuduk.

Dinding itu runtuh di atas kepala Gian, manakala rakannya berjaya mengelak bongkah konkrit itu.

Gian dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat parah pada bahagian kepala dan kehilangan banyak darah.

Seorang inspektor polis trafik tempatan di Padang mengesahkan, insiden membabitkan motosikal Yamaha Mio Sporty itu berlaku kira-kira 3 petang, Isnin lalu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, seorang pentadbir masjid, Desriadi, memberitahu Republika, penunggang motosikal itu hilang kawalan ketika lelaki itu melakukan aksi ‘freestyle’.

Katanya, penunggang itu adalah sebahagian daripada sekumpulan pelajar yang dikenali sebagai sering menunggang secara melulu.

Lelaki itu adalah pelajar berusia 13 tahun yang belajar di sebuah sekolah menengah rendah, lapor media Indonesia.

Ekstra Info

Manakala memetik perkongsian di website Mufti Wilayah Persekutuan, ada diperjelaskan berkenaan golongan yang meninggal dunia akibat runtuhan bangunan atau gempa bumi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori orang yang mati syahid akhirat dan jenazahnya perlu diuruskan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Orang yang mati syahid mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصِّدِّيقُونَ ۖ وَٱلشُّهَدَآءُ عِندَ رَبِّهِمْ لَهُمْ أَجْرُهُمْ وَنُورُهُمْ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya: “Orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang “Siddiqin” dan orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya. Dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”

Surah al-Hadid (19)

Sumber : Harian Metro & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

 

Published by
Mar