Dalam Negara

Tabahnya Adik Rafa, Usia Baru 4 Tahun Jalani 100 Rawatan Kemoterapi

Share

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memilkul. Begitulah yang dirasai oleh keluarga ini apabila anak tersayang baru usia mencecah empat tahun telah disahkan menghidap kanser otak.

Rafa Alauddin Abd Rauf terpaksa menanggung penderitaan akibat kanser otak yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.

Penyakit itu menyebabkan dia terpaksa melakukan 100 kali rawatan kemoterapi dan tiga kali pembedahan membuang cecair di kepala sejak 2022 hingga kini.

Bayangkan pada usia begini dia terpaksa menanggung penderitaan penyakit yang dihidapinya.

Menurut Harian Metro, bapanya, Abdul Rauf Nordin, 29, berkata, sebelum ini, anak bongsu daripada dua beradik itu dilahirkan normal tetapi mulai merasai kesakitan di bahagian kepala sehingga sukar melelapkan mata setiap malam.

Melihat keadaan anaknya dia bersama isteri, Noor Amira Saad, 29, membawa Rafa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 2021 sebelum dimaklumkan anaknya menghidap kanser otak.

“Sejak itu saya dan isteri terpaksa berulang-alik ke HSB dan HPP dua minggu sekali dan bergilir menjaga Rafa di wad.

“Disebabkan kerap mengambil cuti, saya diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa menganggur hampir setahun untuk menjaga anak.

“Namun saya menganggap ini sebagai ujian disebabkan anak saya sakit dan meneruskan rawatan anak sehingga sembuh,” katanya.

KEMBALI SIHAT

Abdul Rauf berkata, akibat daripada kanser itu juga berlaku benjolan pada mata kanan anaknya sehingga tersembul keluar sebesar bola ping pong.

Katanya, pada mulanya dia berasa putus asa malah ada dalam kalangan rakannya memberitahu mungkin jangka hayat anaknya tidak lama disebabkan keadaan makin teruk.

“Tetapi saya dan isteri kuatkan semangat dan meneruskan rawatan anak sehinggakan 100 kali kemoterapi dilakukan dengan harapan Rafa akan sembuh.

“Alhamdulillah, hasil kemoterapi yang dilakukan, benjolan di mata anak saya makin mengecut dan beransur hilang malah anak saya juga boleh berjalan selain menghafal surah al-Fatihah walaupun anak saya kini buta,” katanya.

Abdul Rauf berkata, dia dan isterinya bagaikan tidak percaya apabila anak mereka semakin sihat dengan rawatan susulan yang dilaluinya selain berterima kasih kepada doktor yang merawat anaknya.

Katanya, dia bersyukur apabila sudah mendapat kerja baru sebagai pengawal keselamatan dan menarik nafas lega apabila melihat keadaan anaknya semakin baik.

“Saya hanya menggunakan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk berulang-alik ke hospital selama ini namun ia tidak mencukupi kerana kami mempunyai seorang lagi anak, Nurul Alya Shifa, 5.

“Anak saya bagaikan mati hidup semula apabila Allah beri peluang untuk dia meneruskan kehidupannya walaupun melawan penyakit kanser ini, ” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Noor Amira Saad 02105023168544 Bank Islam.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, CSM sudah menghulurkan sumbangan kepada pesakit berkenaan selain turut memberi semangat kepada keluarga meneruskan rawatan di hospital.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, keberkesanan rawatan dilakukan dapat dilihat selepas Rafa juga sudah mampu berjalan dan benjolan pada mata kanannya sudah mengecut.

“Rawatan kemoterapi sekarang sudah berbeza dengan 20 tahun lalu, hasilnya kita mampu lihat dengan rawatan dilakukan terhadap adik Rafa.

“Adik Rafa ini memang tabah dan ini dapat dilihat melalui keberkesanan rawatan sehingga dia mampu berjalan kerana kanser otak ini sebenarnya menjejaskan sistem saraf,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nor Yusoff