Pasti ramai mama dan papa yang sedang mencari tadika hebat untuk anak mereka pada musim persekolahan awal tahun hadapan. Sebagai ibu bapa, tadika jenis bagaimanakah yang menjadi idaman anda semua? Pastinya semua ibu bapa menginginkan tadika yang mampu memberikan satu ilmu berguna buat anak kecil kita. Soalnya bagaimana?
Naib Pengerusi Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM), Hajah Zaharah Awang yang juga lebih dikenali sebagai Ibu Zaharah berkongsi tip dan panduan berguna sebagai panduan buat ibu ayah dalam membuat pilihan yang terbaik buat anak-anak mereka. Pastikan kesemua ini ada di sekolah tadika pilihan anak anda.
Kriteria Tadika Hebat
Perkara asasnya adalah ibu bapa haruslah berusaha mencari satu tadika yang mampu memberikan kebaikan buat anak di usia ini. Antara kriteria yang ibu bapa harus tahu adalah beberapa perkara ini.
Raikan Anak
Berusaha mencari sebuah tadika yang mampu meraikan masa berharga kanak-kanak. Ini dapat dilihat dengan kegembiraan mereka untuk belajar, meraikan masa indah mereka dengan bermain dan paling utama mampu memupuk minat mereka untuk belajar
Silibus Yang Tepat
Bijak mencari sebuah tadika dengan silibus yang tepat kepada pendidikan awal kanak-kanak. Pastikan tadika berkenaan banyak membuat aktiviti luar dan berbentuk fikizal, melibatkan aktiviti ‘hand on’ dan melibatkan penglibatan secara total anak-anak dalam pelbagai aktiviti. Di sinilah mereka dapat berfikir, merasai setiap pengalaman dan dapat bermain dengan gembira. Inilah ciri-ciri program sekolah yang hebat.
Persekitaran yang Konduksif
Pastikan ibu bapa mencari sebuah tadika yang konduksif dan selesa buat anak-anak mereka untuk belajar dan menimba ilmu. Tadika yang luas dan membolehkan pergerakan tanpa terbatas kanak-kanak untuk bermain adalah ciri tadika yang baik. Tidak perlu sarat dengan perabot kerana kanak-kanak inginkan kebebasan untuk bergerak.
Tip Untuk Ibu Bapa
Ketika mencari sebuah tadika yang tepat dan berkualiti, ada beberapa perkara yang seharusnya ibu bapa lakukan. Empat perkara ini antara perkara utama yang wajib dilakukan.
Aspek Kebersihan – Periksa seluruh kawasan samada bersih dan terjaga. Pijak lantainya dan cari bau yang tidak menyenangkan.
Profil Guru – Tanya profil guru dan tenaga pengajar. Adakah mereka berpengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak serta pengalaman yang cukup untuk mengajar.
Berdaftar – Pastikan tadika mempunyai permit untuk mengajar dan berdaftar di bawah pihak berwajib.
Aspek Keselamatan – Pastikan seluruh kawasan selamat, lengkap berpagar, mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) serta lengkap pencegahan alat kebakaran. Malah pastikan ruang belajar tidak ada sebarang halangan atau bucu-bucu tajam yang membahayakan anak untuk bebas bergerak dan bermain.
Ibu bapa perlu lebih cerewet dan jangan pedulikan apa orang lain kata ketika memilih sebuah tadika yang baik untuk anak-anak kecil anda. Andalah yang bertanggungjawab memberikan memori dan detik indah buat mereka.
Jadi dah tahu nak pilih tadika mana untuk anak kita?
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI