Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) masalah wanita yang menyebabkan gangguan kitaran haid sehingga menjejaskan kesuburan kerana paras hormon lelaki (androgen) yang tinggi. Folikel yang terhasil gagal untuk matang dan tidak berjaya menghasilkan telur.
Keadaan ini membuatkan ramai wanita sukar untuk hamil. Bagaimanapun perkongsian dari Puan Syaza Yasmin ini mengenai masalah PCOS yang dialami sejak dibangku sekolah dan cabarannya untuk mendapat zuriat sendiri boleh dijadikan penguat semangat kepada wanita lain yang masih belum ada rezeki anak.
Tiada yang gagal jika kita berusaha dan minta doa bersungguh-sungguh dengan Allah. Asalkan niat yang baik semua itu dipermudahkan.
Dari sekolah period tak teratur
Sejak dari kali pertama turun period masa Form 1, saya memang ada masalah irregular period. Biasanya 6 hingga 9 bulan sekali baru period. Tapi dulu anggap perkara itu adalah perkara biasa, tak ada yang serius.
Sehinggalah bila saat kami merancang untuk mengikat tali perkahwinan, saya makin risau sebab bila irregular period, mungkin sukar untuk pregnant. Saya ada bertanya kepada kawan sekolah (sekarang seorang doktor). Tanda-tanda fizikal yang ada pada saya ada kemungkinan saya ada PCOS. Rupa-rupanya tanda-tanda itu dah ada sejak sekolah lagi.
5 Hari sebelum nikah disahkan PCOS
Kebetulan 2-3 minggu sebelum tarikh pernikahan, Klinik Dr Hamid Arshat buat promosi untuk check kesihatan wanita. So saya pun pergi. Kali kedua check TVS iaitu 5 hari sebelum hari pernikahan, saya disahkan ada PCOS di kedua-dua belah ovari. Sepanjang perjalanan dari klinik (di Bukit Jalil) ke kampung (Teluk Intan) tak henti-henti air mata berjurai.
Sempat tanya kepada tunang (masa tu), “Confirm ka engkau nak kahwin dengan aku ni? Kalau kita kahwin, ada kemungkinan kita takda anak.” Encik Tunang balas, “Mesti la nak. Kalau ditakdirkan sampai tua kita takda anak, takpala. Biar kita hidup berdua ja sampai tua.”
Selepas pernikahan (1.6.16), September 2016, saya menjalani Hysterosalpingogram (HSG). Itu pun selepas saya beli ubat untuk turunkan darah haid di farmasi. Sebab Dr Hamid pesan, lepas period baru boleh buat HSG. Tapi saya tak sabar, sebab tak tau bila akan period. Pada hari yang sama buat HSG saya diberikan Clomid untuk 1st round.
Ads
Sebulan nikah disahkan hamil tapi keguguran
Oktober 2016, saya check UPT positif. Syukur. Tapi rezeki tak menyebelahi kami. Saya keguguran. Sebelum saya disahkan keguguran, saya bleeding sedikit. Jadi, saya pergi KKIA AU Keramat dan dirujuk ke EPAU HKL. Tapi di HKL saya dikatakan period, bukan keguguran.
Keesokannya, saya tak sedap hati sebab darah yang keluar tak macam darah haid. So kami terus ke Hospital Ampang. Di EPAU Hospital Ampang, saya disahkan keguguran selepas Dr buat pemeriksaan darah dan juga TVS.
Doktor yang sahkan saya keguguran ni saya ingat lagi muka dan nama dia sehingga sekarang (dia juga yang cadangkan untuk induced bersalin awal masa nak bersalinkan Maryam ?). Dr Faizal kata, “Takpala awak keguguran pun, tapi sekurang-kurangnya awak tahu awak boleh mengandung walaupun awak ada PCOS)”. Ayat Dr ini yang buat saya kuat sehingga sekarang walaupun saya ada PCOS.
November 2016, saya teruskan ambil Clomid untuk new circle. Sehingga 3 kali circle, masih tidak berjaya. Akhirnya saya Clomid Resistance dan ovum yang terhasil tidak membesar kepada saiz yang sepatutnya. Saya dinasihatkan untuk berehat seketika dan Dr cadangkan untuk buat Ovarian Drilling.
Hampir putus asa
Oktober 2017, saya dijadualkan menjalani Ovarian Drilling (OD) dengan harapan agar selepas ini, usaha ini akan berjaya. 2 minggu lepas OD, saya start ambil Clomid untuk new circle.
Ads
November 2017, pada hari subur, kami sangat sibuk. Masa tu buka booth MyHomeLab di Melaka. Jadi, November tu kiranya tak berjaya conceive la.
Disember 2017 selepas Clomid 2nd round, buat TVS doktor tengok ovum ada tapi terlalu kecil. Saiz yang tak sesuai untuk conceive. Jadi, Dr cucuk ubat untuk besarkan ovum.
Dr kata kalau kali ini tak berjaya, kita cuba IVF. Masa ini, saya dah mula down. Saya dah mula putus asa. Bukan sedikit duit yang saya laburkan untuk semua ini. Bukan sedikit masa yang saya habiskan untuk semua ini. Umur pun dah nak masuk 30 masa ni. Emosi makin tertekan.
Saya kata kat suami, kalau kali ini tak berjaya, saya nak stop semuanya. Sebab saya penat. Sangat penat. Hari-hari makan 6-10 biji ubat dan vitamin. Saya dah tak mampu untuk buat benda yang sia-sia. Kalau nak cuba lagi, tunggu la lagi 1 tahun akan datang.
Akhirnya Allah bagi rezeki selepas habis usaha
Januari 2018, check TVS ovum dah ready untuk conceive. Dan akhirnya berjaya juga conceived. Itulah permulaan Maryam. Alhamdulillah berjaya conceived normally dengan bantuan Clomid dan tanpa IUI atau IVF. Doktor katakan Maryam ini ialah precious baby.
Allah beri rezeki ini setelah saya hampir putus asa. Allah beri kegembiraan ini untuk mengubat duka saya yang telah hampir putus asa. Allah beri rezeki ini pada ketika kami berdua sudah bersedia. Alhamdulillah.
Ads
Disebabkan tarikh conceive 2 minggu lewat daripada tarikh sepatutnya, maka EDD untuk bersalinkan Maryam pun teranjak 2 minggu ?. Ikutkan tarikh akhir period, Maryam lahir awal September. Tadi disebabkan ovum kecil, doktor siap cucuk ubat untuk besarkan ovum, maka Maryam lahir hujung bulan September ?.
Betul, kami TTC tak lama. 1 tahun lebih sahaja. Sebab saya tak pernah berhenti berusaha. Sebelum berkahwin lagi saya dah cuba cari punca masalah saya. Dan sejak bernikah, saya sentiasa berusaha. Berusaha bukan in context of bersama suami saja semata-mata. Tapi saya setia patuh dengan cadangan dan nasihat doktor. Saya ikut setiap apa yang doktor cadangkan. Rezeki saya dirawat oleh Pakar Sakit Puan / Pakar Perbidanan tersohor di Malaysia, jadi saya gunakan peluang ini sebaiknya.
Amalkan minyak habbatussauda, minyak zaitun dan vitamin
Antara vitamin yang dicadangkan oleh Dr selain ubat Clomid, Noculat dan Metformin, ialah minyak habbatussauda, minyak zaitun, vitamin C, acid folic dan kalsium. Ini yang saya telan hari-hari sejak saya disahkan ada PCOS.
Dalam wad sebelum bersalinkan Maryam dulu, ada doktor yang puji saya. Dia kata “Awak ni bagus. Tak macam orang lain. Awak tau awak susah nak mengandung, awak terus buat tindakan. Jumpa pakar. Tak macam orang lain, tunggu tunggu tunggu, dah 5-8 tahun kahwin tak mengandung baru nak jumpa doktor.”
Kepada kawan-kawan yang PCOS fighter juga, be positive. Keep on usaha. Ramai dah PCOS fighter yang berjaya hamil. Saya boleh, anda pasti boleh, gitcheewww.
Kepada kawan-kawan yang masih TTC. Cari punca terlebih dahulu. Ada orang yang usaha dengan cara telan ubat macam-macam tapi tak tau punca masalah. Jumpa yang pakar untuk check apa masalah kita. Masalah wanita belum hamil ini kadang-kadang bukan sebab wanita mandul atau tidak subur saja. Masalah lain mungkin disebabkan retorverted uterus, endometriosis, atau boleh juga disebabkan suami yang tidak subur. Masalah pada lelaki ni pun macam-macam. Saya bukanlah ahlinya untuk mengulas.
So, itu lah dia kisah bagaimana kami akhirnya dikurniakan seketul Maryam. Alhamdulillah.
Tahniah diucapkan buat pelakon Safwan Nazri dan isteri yang telah selamat menimang cahaya mata sulungnya dua minggu yang lalu.
Menerusi Instagramnya, peserta Hero Remaja 2017 itu berkongsi rasa gembira dan syukur yang tidak terhingga dengan kelahiran bayi perempuan yang ditunggu-tunggu selama ini.
Apatah lagi selepas diuji dengan keguguran yang dialami isterinya ketika usia kandungannya empat bulan. Dan kini kehadiran puteri kesayangan mereka tambah melengkapkan bahagia pasangan ini.
“12/3/23. Satu perasaan yang tak pernah aku rasa selama ini.
“Syukur ya Allah! Terima kasih atas pinjamanmu ini,” luah Safwan bersyukur.
Terharu dengan kurniaan rezeki cahaya mata perempuan itu, Safwan turut meluahkan penghargaan buat isteri tercinta yang telah berkorban nyawa melahirkan zuriat pertama mereka.
“Terima kasih buat isteriku @lynakhairul untuk hadiah paling istimewa ini. I love you soo much.
“Perjalanan kami tak mudah. Hanya Allah yang tahu, but its all worth it waiting for you our rainbow baby!,” tulisnya bersyukur.
Menerusi hantaran sama, Safwan yang kini bersyukur bergelar bapa turut berkongsi nama permata hatinya yang diberi nama Cinta Sofia.
“Selamat datang Cinta Sofia ! @cintasofia__,” kongsinya lagi.
Menerusi video yang dikongsikannya, Safwan turut mengalirkan airmata gembira dan terharu dengan kehadiran Cinta Sofia yang dipangku erat dalam dakapan. Jelas wajah kegembiraan seorang bapa.
Rakan-rakan selebriti dan pengikut Safwan turut mengucapkan tahniah diatas kelahiran puteri comelnya.
Apabila perlu menjaga anak yang baru lahir walaupun ibu jatuh sakit pastinya membimbangkan. Apatah lagi jika melibatkan penyakit viral seperti selesema. Ini petua penjagaan bayi selepas bersalin apabila ibu dan ayah kurang sihat.
Menjaga anak baru lahir walaupun tidak sihat
Bergelar ibu bapa baharu sudah tentu akan hadir rasa keterujaan untuk sentiasa bersama si manja. Tetapi apabila berada dalam keadaan tidak sihat, secara tidak langsung akan wujud kegusaran untuk menjaga bayi baru lahir.
Berikut beberapa tip penjagaan untuk membantu anda:
1. Pemeriksaan doktor
Anda perlu mengetahui masalah kesihatan apakah yang dialami agar dapat berwaspada daripada menyebarkan kuman kepada bayi baru lahir.
Sebaiknya jika anda perlu menjaga bayi ketika sakit, lakukan pemeriksaan doktor untuk menentukan gangguan kesihatan yang dialami serta langkah untuk mengurangkan penyebaran bakteria apabila perlu bersentuhan dengan si kecil.
2. Jangan panik bayi akan berjangkit
Sebagai ibu bapa pastinya anda risau jika bayi akan dijangkiti dengan masalah kesihatan anda itu. Bergantung kepada masalah kesihatan yang anda alami, pastinya doktor akan memberitahu jika anda perlu mengurangkan sentuhan untuk mengelakkan penyebaran jangkitan.
Walau apapun, cara terbaik adalah untuk kerap mencuci tangan serta cuba kurangkan sentuhan tangan dan mulut dengan bayi.
3. Penjagaan bayi selepas bersalin walaupun sakit: Teruskan penyusuan
Jika menyusu badan, teruskan penyusuan seperti biasa kerana ia antara salah satu cara untuk mengekalkan tahap kesihatan si manja.
Ini kerana apabila jatuh sakit, tubuh akan bekerja keras untuk menghasilkan antibodi dan secara tidak langsung ia akan disalurkan kepada bayi melalui susu badan.
Sekiranya anda bimbang untuk menyusu serta menjaga anak secara dekat atau mungkin tahap kesihatan tidak mengizinkan, pamkan susu dan minta bantuan pasangan untuk memberikannya melalui susu botol.
Anda perlu mengetahui bahawa susu ibu tidak akan menyebarkan jenis kuman yang menyebabkan penyakit sementara seperti selesema atau demam.
4. Dapatkan bantuan untuk menjaga anak
Mintalah bantuan pasangan, keluarga atau rakan baik untuk membantu aspek penjagaan bayi selepas bersalin apabila anda tidak sihat.
Berterus-terang mengenai keadaan kesihatan anda dan dapatkan bantuan mereka. Jangan malu kerana ia adalah apa yang anda perlukan buat masa ini dan pastinya mereka akan dapat memahaminya.
5. Kekal tenang
Secara jujurnya, penjagaan bayi selepas bersalin dalam keadaan tidak sihat pasti agak huru-hara. Pastinya ‘sakit mata’ melihatkan pinggan mangkuk bersusun di sinki serta baju kotor bertimbun di dalam bakul. Namun dalam masa yang sama ia mengajar anda kemahiran keibubapaan untuk belajar melepaskan sesuatu.
Buat sementara lupakan mengenai pinggan mangkuk tidak berbasuh serta baju yang menimbun. Biarkan rumah bersepah untuk seketika. ‘Butakan mata’ anda sekejap.
Paling penting, dapatkan rehat yang secukupnya sepanjang tempoh anda tidak sihat ini dan kumpulkan tenaga untuk ‘berperang’ apabila pulih nanti!
6. Cegah penularan melalui udara
Sekiranya tiada sesiapa yang boleh membantu menjaga bayi baru lahir ketika anda sakit, lakukan cara terbaik bagi mencegah penularan penyakit melalui udara.
Elakkan bernafas secara langsung ke wajah bayi dan jika boleh, keluar daripada bilik apabila perlu batuk atau bersin. Anda juga boleh memakai penutup muka sebagai langkah pencegahan.
Di samping itu, anda juga boleh meletakkan selimut antara anda dan si manja semasa penyusuan untuk membantu mengurangkan risiko penularan jangkitan.
7. Segalanya akan bertambah baik
Sudah tentu anda akan berasa serabut dan mahukan segalanya segera kembali seperti biasa serta dapat menjaga si manja. Percayalah, semuanya akan kembali pulih, namun anda perlu bertenang.
Sememangnya ia merupakan tempoh masa yang kurang baik untuk jatuh sakit selepas membawa pulang bayi baru lahir.
Namun paling penting buat masa ini adalah untuk kerap membasuh tangan, mengurangkan ciuman kepada si manja, berserta sedikit rasa sabar dan rehat yang mencukupi pasti keadaan akan pulih.
Percayalah, anda boleh melalui fasa ini dengan baik!
Cabaran menjaga anak ketika sakit
Menjadi ibu bapa dan jatuh sakit antara kombinasi yang meningkatkan lagi tahap kesukaran kerana anda bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri, bahkan ada individu lain turut bergantung serta memerlukan perhatian anda.
Amat penting sekali untuk menjaga diri sendiri! Perbanyakkan minum air dan dapatkan rehat yang secukupnya.
Jangan berasa malu untuk mendapatkan bantuan untuk penjagaan bayi selepas bersalin ketika anda jatuh sakit.
Perkara mudah lain yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan adalah dengan membuka tingkap bagi membolehkan peredaran udara berlaku.
Perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan runcit dalam talian pastinya penyelamat sepanjang tempoh anda jatuh sakit ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Memulakan langkah untuk menyusu ketika memulakan proses berpantang sememangnya agak sukar. Tanpa pengalaman menyusu, kurangnya ilmu pengetahuan, buat berpantang dan proses penyusuan anak menjadi sedikit sukar. Pun begitu, jangan jadikan tempoh ini sebagai tempoh yang begitu sulit sebaliknya mulakan langkah demi langkah untuk menyusukan anak dengan baik.
Tempoh berpantang 44 hari yang diamalkan oleh ibu-ibu di negara kini sememangnya satu tempoh untuk berlatih menyusukan anak sepenuhnya dan juga berehat daripada melakukan kerja rumah yang berat.
Menurut Pn Suraya Ali, Konsultan Susu Ibu daripada Lunatots, inilah masa untuk ibu belajar. Jangan mudah rasa tertekan. Ambil masa anda sebaiknya untuk memulakan menyusu anak dengan baik dan lancar. Bagi ibu berpantang, jadikan tip ini sebagai panduan.
Utamakan Proses Penyusuan
Ketika berpantang, menyusukan bayi adalah keutamaan berbanding aktiviti yang lain. Ramai ibu sudah merangka aktiviti yang akan dijalankan semasa dalam tempoh berpantang namun ibu perlu utamakan penyusuan. Ini tempoh paling penting untuk ibu dan bayi sepanjang kehidupan kita. Semasa di dalam pantang, ibu mungkin mengalami dua keadaan ini.
Keadaan pertama ialah susu ibu terlalu banyak. Ada juga yang runsing kerana setiap kali menyusu bayi dengan sebelah payudara, sebelah lagi turut mengeluarkan susu. Namun ibu jangan risau, semasa di dalam pantang, susu ibu dihasilkan dua atau tiga kali ganda lebih banyak dari keperluan. Ketika ini badan ibu belum dapat mengandaikan jumlah bayi yang bakal lahir lalu susu lebih dihasilkan jika ibu melahirkan lebih dari seorang bayi.
Selepas tempoh berpantang, badan ibu akan mula pandai menghasilkan susu secukupnya untuk jumlah bayi yang dilahirkan. Keadaan kedua ialah susu yang dihasilkan terlalu sedikit. Keadaan ini dialami ibu pada awal kelahiran iaitu di minggu pertama usia bayi.
Ini berlaku kerana susu awal iaitu kolustrum dihasilkan berbanding susu ibu matang. Cara mengendalikan perkara ini ialah ibu perlu menyusukan bayi tanpa melihat berapa jumlah kuantiti yang dihasilkannya.
Perut bayi semasa di hari ketiga kelahiran masih kecil anggaran saiz guli, jadi ibu tidak perlu menghasilkan susu yang banyak malah tidak perlu risau susu tidak mencukupi untuk bayi. Sekiranya ibu masih merasakan susunya sedikit selepas bayi berusia dua ke tiga minggu, ibu boleh berjumpa konsultan susu ibu untuk menyemak semula keadaan penyusuan mereka. Ibu boleh memeriksa samada jumlah susu sedikit ataupun tidak menerusi jumlah bayi kencing kurang daripada enam kali setiap hari.
Mula Menyimpan Stok Susu
Stok susu ibu sudah mula disimpan bermula dari hari keempat kelahiran. Ada juga ibu memulakan sesi mengepam stok sejak bayi berusia dua minggu ke atas dan ini bergantung kepada jadual kesesuaian masa ibu. Ibu digalakkan mengepam tiga kali sehari semasa dalam pantang untuk membiasakan badan ibu menghasilkan susu yang banyak dan selebihnya secara terus kepada bayi.
Elakkan mengepam susu seminggu atau dua minggu sebelum masuk bekerja kerana pada ketika ini susu ibu sudahpun cukup-cukup untuk keperluan bayi minum sepanjang dalam tempoh berpantang. Jika ibu baru membuat keputusan untuk mengepam dikhuatiri ibu akan merasa kecewa dengan jumlah dan kuantiti yang bakal diperolehi. Jadi mulakan lebih awal supaya susu makin berganda.
Jika ibu konsisten mengepam sepanjang dalam pantang, ibu akan menghasilkan stok susu yang mencukupi untuk bayi. Anggaran susu sehari yang diperlukan oleh bayi adalah dari 12 ke 15 oz sepanjang 10 jam ibu bekerja. Jadi ibu perlu mengepam susu untuk stok sekurang-kurangnya 7 hari. Ini bermakna 15 oz x 7 hari iaitu 105 oz. Bagi ibu yang sering outstation perlu simpan stok susu yang lebih banyak.
Makan dengan Sihat
Ramai ibu menjaga pemakanan dengan cara memilih sesetengah makanan sahaja seperti tidak berkuah atau hanya ikan sahaja tanpa sayur dan buah.
Ibu hamil yang menyusu memerlukan khasiat yang cukup untuk memelihara bayi dan menghasilkan susu ibu. Ibu seharusnya makan lima warna berbeza dalam pinggan ibu iaitu sayur, nasi, ayam, buah dan daging atau ikan.
Minum setiap kali terasa dahaga dan usah dibiarkan kering tekak tanpa air. Tanda-tanda kurang nutrisi ialah bila ibu merasa lesu dan kulit kering terutama di bahagian kuku. Air kencing yang terlalu pekat warnanya dan berbau juga adalah tanda ibu kurang air dan nutrisi.
Berlatih Menyusu di Tempat Awam
Ianya adalah a must-have-practise. Lebih awal ibu berlatih, ibu akan menjadi lebih cekap. Ibu mesti pastikan apabila bahagian hadapan baju diangkat untuk menyusukan, bahagian belakang baju tidak terangkat. Mulakan dengan latihan di depan cermin di rumah terlebih dahulu.
Untuk permulaan, ibu boleh ke lokasi yang mempunyai bilik menyusu terlebih dahulu seperti di beberapa buah pasaraya.
Kemudian ibu boleh mula menyusu di kerusi awam yang disediakan dengan kain penghadang ketika menyusu. Kemahiran menyusu bayi di tempat awam ini penting kerana bayi akan menyusu selama 2 tahun dan jika setiap kali ibu menyusu perlu ke bilik menyusu, ibu mungkin akan merasa sukar jika tidak dibiasakan. Ada juga ibu yang malu menyusu di tempat awam lantas menyingkatkan tempoh penyusuan bayi dengan memberikan susu formula. Elakkan perkara sebegini berlaku dengan cara berlatih terlebih awal. Lama kelamaan ibu akan terbiasa.
Berhubung dengan Konsultan Susu Ibu
Ibu seharusnya ambil perhatian akan teknik dan posisi penyusuan dan boleh membuat temujanji dengan konsultan susu ibu sekiranya menghadapi masalah untuk menyusu. Bertemu dengan konsultan secara terus dapat membantu ibu yang sedang menghadapi masalah penyusuan berbanding semakan di internet sahaja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semakin ramai pasangan berkahwin kini cenderung memilih gaya hidup 'childfree', iaitu tidak mahu mempunyai anak. Trend ini dilihat membimbangkan.Walaupun keputusan ini dilihat sebagai hak...