
Pantang saja anak batuk, mama papa mulalah gelabah nak cari ubat batuk redakan batuk anak. Tak salah jadi ibu bapa prihatin. Tapi kenalah pandai bezakan batuk jenis macam mana.
Menurut Dr Suriyakhatun, kena tahu bezakan batuk anak supaya taklah minum ubat batuk berlebihan sedangkan ubat batuk tersebut tidaklah bertindak umtuk melegakan. Madu adalah pilishan terbaik untuk rawat batuk anak.
Anak berumur dua tahun yang saya sedang rawat ekzema nya yang sudah hampir sembuh tiba-tiba dapat flare semula. Saya tanya ibu apa berlaku sebelum flare bermula. Ada salah makan? Ada sakit? Ibu menjawab anak dia dapat batuk dan dia mulakan ubat batuk yang di beri oleh doktor.
Ubat batuk nya mengandung gula, paraben, pewarna selain dari drugs antihistamine dan antitussive.
Kimia- kimia tersebut boleh menjadi trigger kepada genes yang sudah tidak aktif selepas rawatan. Genes penyakit yang tidak di ekpressi boleh di ekpressi semula selepas trigger.
Ni yang saya share adalah artikel dari surat khabar India dimana doktor pakar mengatakan tidak ada bukti ubat batuk boleh melegakan batuk dan ubat batuk banyak kesan sampingan.
Ubat batuk buat sendiri lah. Madu kelulut campur air suam dan perah limau nipis. Sesuai untuk umur setahun ke atas.
PS. Batuk lelah, pneumonia dan bronchitis perlukan rawatan doktor. Jangan rawat sendiri.
Jika tidak dapat bezakan batuk ringan atau berat sila jumpa doktor.
Kredit: Dr Suriyakhatun
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sapuan Fluoride Boleh Cegah Karies Gigi Anak Dari Awal. Buat Dalam Tempoh Dua Tahun

Sebelum anak tumbuh gigi, ibu bapa tak sabar nak lihat gigi pertama anak. Tapi bila anak dah ada gigi, penjagaan gigi tak diambil berat.
Ibu bapa kena tahu tip penjagaan gigi anak-anak dari belum ada gigi hinggalah mendapat gigi kekal.
Perkongsian dari Juruterapi Pergigian, Sharipah Eyie boleh membantu ibu bapa mencegah dari awal sebelum gigi anak rongak.
Ini adalah karies awal kanak-kanak. Dalam tempoh ini, untuk melatih anak memberus gigi, tidak perlu ubat gigi pada awalnya. Apabila mereka telah terbiasa, boleh mula letakkan ubat gigi berfluorida. Baca di tiub ubat gigi. Ada juga yang tiada fluorida. Boleh google function fluoride di dalam ubat gigi. Maaf saya katakan, ini bukan lah normal, sebaliknya adalah kesan daripada kurang penjagaan dari ibu bapa.
Seawal bayi tiada gigi lagi, ibu bapa disaran mengelap gusi dengan tuala basah dan arahan sama juga bila kudup gigi susu mula kelihatan. Jaga lah gigi anak anda, tidak kira gigi susu atau kekal kerana pada suatu peringkat, gigi susu akan bercampur dengan gigi kekal. Kerosakan pada gigi susu akan merebak ke gigi kekal dengan senangnya, berbeza jika gigi susu dijaga dengan rapi. Hentikan alasan, mulakan tindakan.
Rules ringkas penjagaan gigi anak-anak :
- Berus gigi anak sekurang-kurangnya 2kali sehari.
– guna ubat gigi berfluorida (ada dicetak di tiub ubat gigi), jangan tanya jenama apa bagus, saya bukan duta ubat gigi.
– ada ibu claim gigi anak dia ‘memang rosak dari dulu’ or ‘gigi anak saya rosak macam tu je’ memang saya rasa nak tampar laju-laju, sebab gigi tak akan rosak dari dulu. Bakteria amik masa untuk ‘makan’ gigi sampai rongak.
- Pemeriksaan gigi 2x setahun.
– kadang-kadang bila tengok saja nampak macam tak rosak langsung gigi anak. Tapi deep inside dah berongga ala-ala gelang emas berongga. Kat luar cantik, kat dalam hollow, kosong. Sebab dah dimakan dek bakteria.
– terima lah hakikat ibu bapa bukan ada kelulusan bidang pergigian pun, even saya yang ada belajar ni pun salah judgement, apa lagi korang yang tidak. Jangan jadi dr.gigi cap google pulak.
- Bagi anak minum susu.
– minum susu lah untuk cukup kalsium. Kalau dah besar, minum lah pakai cawan. Bukan suruh pergi menyusu balik. Semua dah besar, fikirlah sendiri. Makanan lain yang berkhasiat pun kena jugak amalkan. Badan sihat gigi pun sihat.
- Sapuan fluoride.
– ni penting. Pergi klinik mintak nak sapuan fluoride. Sapuan tu setiap 6 bulan selama 2 tahun so tolak tambah bahagi, 4x semua nya. Penting sebab kalau dah ada karies awal, inshaallah stop. Google- arrested caries. Gigi rosak pastu kerosakan tu stop. Dari coklat, color dia berubah ke color lebih gelap or hitam (tak apa color tak lawa, karies dah terbantut) atau kalau belum rosak gigi anak tu, inshaallah takkan rosak.
Sumber: Sharipah Eyie
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tip Ajar Anak Umur 2 Tahun Bebas Pakai Lampin, Boleh Cuba Cara Ahli Terapi Cara Kerja Ini Kongsi

Isi Kandungan
ToggleTip ajar anak umur 2 tahun bebas pakai lampin, boleh cuba cara ahli terapi cara kerja ini kongsi. Bukan mudah sebenarnya mengajar dan melatih anak-anak untuk bebas memakai lampin. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan anak-anak berjaya melakukannya dengan baik.
Tidak dapat dinafikan memang agak mencabar melatih anak-anak ‘melupakan’ lampin tidak kiralah lampin kain atau pun lampin pakai buang. Tidak semua anak-anak boleh melalui fasa latihan ini dengan cepat.
Ada banyak kebaikan kepada anak-anak yang sudah tidak lagi memakai lampin. Satu fasa penting dalam proses perkembangan anak-anak adalah latihan ke tandas. Perkembangan emosi dan sosial mereka akan menjadi lebih baik.
Hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam Journal of Pediatric Urology pada tahun 2002, kebanyakan anak yang lewat bebas lampin akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing. Untuk kesan jangka panjang pula mereka berisiko mengalami masalah usus.

TANDA-TANDA ANAK SUDAH BERSEDIA
Selalunya ibu bapa sudah boleh mula mengajar anak bebas lampin pada umur 2 hingga 3 tahun. Ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas lampin seawal 18 bulan. Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau hancing seluruh rumah, lebih baik ibu bapa tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas lampin:
1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.
2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.
3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (duduk, ambil paip air atau tisu, flush)
4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.
5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang 2 jam.

6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘pupu” atau ‘kencing/cing”.
7. Tidak minat lagi memakai lampin dan mahu membuka sendiri lampin selepas ‘membuang.’
8. Pandai mengikut arahan.
9. Mempunyai masa yang sama untuk ‘membuang’ seperti selepas bangun tidur atau selepas makan.
Tanda-tanda di atas juga boleh digunapakai untuk anak berkeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza. Jika anak mempunyai tanda di atas, sudah tiba masanya ibu bapa mengajar anak-anak bebas daripada memakai lampin.
PERSEDIAAN IBU BAPA
Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas lampin. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang buka sahaja baju anak. Jika hendak ‘membuang’ wajib beri tahu jika tidak, mereka akan didenda. Hasilnya dalam sehari dua, anak-anak tidak perlu lagi memakai lampin.
Berikut teknik yang selalu digunakan oleh ahli terapi cara kerja untuk anak berkeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal.
SEBELUM MELATIH ANAK BEBAS LAMPIN, IBU BAPA PERLULAH:
1. Pilih sama ada hendak melatih anak menggunakan tandas terus ataupun guna ‘potty’.
Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Jika ibu bapa rajin gunalah ‘potty’ mungkin agak kurang menyeramkan untuk anak, mudah dibawa dan selamat. Kalau malas hendak membasuh, gunalah tandas terus. Kalau ada duit lebih, belilah tempat duduk tandas kecil yang dilengkapi tangga.
2. Latih anak menggunakan bahasa tubuh seperti pegang perut sambil cakap “berak/iyak”, “kencing/cing”, “pee/poopoo”. Pilihlah satu perkataan paling sesuai dan sebut setiap kali menukar lampin. Tunjukkan najis pada anak setiap kali anak ‘membuang’ dalam lampin.
3. Cerita sosial (Social Story)
Ceritakan kenapa kita ke tandas, apa yang dilakukan, proses di tandas dan sebagainya. Ibu bapa boleh juga cerita dengan memggunakan patung kesukaan. Contohnya,
“Setiap pagi, selepas Didi bangun tidur. Didi akan pergi tandas untuk “iyak/poopoo”. Mula-mula Didi buka seluar, duduk di atas tandas dan meneran (sambil buat muka meneran). Abang nak jadi macam Didi tak?” Ibu bapa boleh bercerita mengikut kretiviti masing-masing sambil membuat ekspresi muka bagi menarik perhatian anak.

4. Perhatikan tingkahlaku anak sebelum ‘membuang’ contohnya resah gelisah, ke hulu k ehilir, menyorok di belakang almari atau duduk di sudut bilik.
5. Catat masa setiap kali anak ‘membuang’ selama seminggu sebelum latih anak. Selalunya anak sudah ada pola masa yang sama seperti waktu pagi selepas bangun tidur, tengahari selepas makan dan sebagainya.
6. Pastikan anak makan makanan berserat seperti buah dan sayur dengan mencukupi. Proses melatih jadi lebih sukar sekiranya anak sembelit.
7. Pakaikan lampin jenis seluar (diaper pant) dan seluar bergetah yang longgar supaya mudah untuk dibuka.
Semua tip ini boleh mula dilakukan ketika umur anak setahun ke atas sebagai persediaan bebas lampin.
Ibu bapa boleh melatih anak bebas memakai lampin apabila sudah ada jadual masa, potty dan seluar dalam anak. Berikut langkah-langkah yang boleh dilakukan.
Tahap pertama (masih memakai lampin)
1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus selepas bangun tidur, selepas makan dan sebelum tidur. Boleh juga bawa setiap 2 jam. Lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya ‘membuang’ di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas ‘membuang’ di dalam lampin, tunjukkan lampin basah kepada anak sambil menegaskan tidak boleh ‘membuang’ dalam lampin
5. Disarankan ibu bapa untuk fokus dan melatih anak-anak secara berterusan selama lebih kurang seminggu.
Tahap Dua (pakai waktu tidur sahaja)
1. Ibu bapa boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan lampin.
2. Pakaikan lampin waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak lampin basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur. Jadikan rutin harian.
Tahap Tiga (100% bebas lampin)
1. Boleh mula kurangkan memakai lampin pada waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau hancing.
Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah. Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana hendak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar sudah pandai.
Ada yang seminggu sudah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Latihan ini perlu berterusan barulah cepat nampak kesannya. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.
Ketika melatih anak bebas lampin, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi ibu baoa perlu bukakan seluar dan jirus setiap kali anak hendak membuang,
Sumber: Maryam Jamadi
Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pakar Ini Kata Home Schooling Ok! Tapi Ini 9 Kesilapan Ibu Bapa Patut Tahu Supaya Tidak Jejas Perkembangan Anak

Sesungguhnya pembelajaran bermula di rumah kemudian ke sekolah. Ibu bapa merupakan orang pertama mendidik anak untuk membentuk keperibadian anak secara menyeluruh. Sebelum melangkah kaki ke alam persekolahan sebaik-baiknya mendapat pendedahan pendidikan asas supaya memudahkan lagi pembelajarannya ketika ke institiusi pendidikan secara formal.

Menurut Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Bustam Kamri merangkap Dekan, Sekolah Sains Sosial,Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka menjelaskan bahawa asas pendidikan yang hendak disampaikan secara menyeluruh tanpa menekankan kepada akademik sahaja. Ibu bapa yang mempunyai masa dan tidak terikat dengan kerjaya digalakkan mendidik anak di rumah sebelum menghantar anak ke institusi pendidikan formal.
Manakala ibu bapa yang berkerjaya masih memerlukan sedikit masa yang terluang untuk bersama anak memberi pendedahan asas akademik untuk persediaan ke tadika.
Kalau masa dahulu sebelum diperkenalkan pendidikan informal seperti tadika dan taska, ibu bapa merupakan pendidik pertama sebelum anak-anak dihantar ke sekolah formal. Keadaan berubah memperlihatkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.
Namun masih ada ibu bapa yang berkeyakinan mendidik anak-anak di rumah lebih baik berbanding dengan pendidikan formal. Pendidikan di rumah lebih dikenali sebagai home schooling menjadi pilihan kepada ibu bapa yang ingin memberi tumpuan sepenuhnya selain daripada kesediaan ibu bapa yang mempunyai latar pendidikan berkemampuan untuk mengajar anaknya sendiri. Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menguatkuasakan home schooling sejak tahun 2003 dengan meletakkan syarat-syarat tertentu.
9 KESILAPAN PATUT TAHU
Selain mempunyai kelebihan, terdapat kelemahan mendidik anak menerusi home schooling. Bagi ibu bapa yang bercadang untuk memilih pendekatan ini harus ambil peduli beberapa kesilapan.
Kesilapan ini boleh menjejaskan perkembangan anak secara positif yang merangkumi perkembangan kognitif, fizikal, bahasa, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif. Pakar Kanak-Kanak, Dr. Bustam Kamri menjelaskan sembilan kesilapan yang patut tahu.
Kesilapan 1: Sosial
Anak-anak tidak dapat bersosial dan berinteraksi dengan rakan sebaya. Masa berinteraksi dan bersosial yang diuruskan oleh homeschooler terhad. Mereka berinteraksi dengan ibu yang mengajar dirumah. Mungkin kalau ada rakan lain jumlahnya terlalu kecil. Masa berinteraksi dengan kanak-kanak lain seperti membawa ke taman permainan adalah terhad untuk anak-anak berinteraksi untuk membina perkembangan sosial.
Kesilapan 2: Ilmu pengajaran
Adakah anda terlatih dalam bidang tertentu? Guru tadika yang berkelayakan lebih menjurus keilmuannya. Manakala ibu bapa yang mengajar sendiri anaknya tidak dapat pendedahan keilmuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Tentunya cara pendekatana pengajar mengikut kefahaman sendiri yang tidak sesuai dengan keperluan anak-anak yang pelbagai keupayaan dan kebolehan.
Kesilapan 3: Pengurusan masa
Ibu bapa terpaksa mengimbangi masa untuk menumpukan pendidikan home schooling dengan tugasan lain. Manghadapi kesukaran untuk menguruskan atau mendisiplinkan diri dengan masa. Oleh kerana terlalu sibuk dengan keadaan dan pengurusan rumahtangga kadangkala tidak dapat member tumpuan sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.
Kesilapan 4: Persekitaran kelas
Anak-anak yang belajar menerusi program homeschooler terdapat kekurangan semasa belajar di peringkat tinggi kerana mereka tidak biasa dengan persekitaran kelas. Mereka mengambil masa untuk membiasakan diri dengan suasana persekitaran yang baru dan asing. Persekitaran di sekolah serba lengkap dengan peralatan dan bahan keperluan pengajaran dan pembelajar semestinya tidak sama dengan di rumah.
Kesilapan 5: Peraturan
Peraturan disiplin tidak dapat diikuti kerana mereka biasa dengan peraturan di rumah. Anak-anak yang telah biasa dengan suasana di rumah tentutnya agak memakan masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan di kelas yang formal. Keadaan ini menyebabkan mereka daripada home schooler merasa dirinya tertekan kerana tidak memahami tujuan peraturan untuk dipatuhi.
Kesilapan 6: Interaksi
Anak-anak yang diajar di rumah tidak dapat berinteraksi dengan orang dewasa selain daripada ibu bapanya sahaja. Kemungkinan akan menghadapi kesukaran dan merasa kekok apabila berhadapan dengan orang dewasa yang baru dikenali. Biasanya di dalam situasi formal anak-anak menggunakan panggilan tertentu mengikut kedudukan seperti guru, pembantu guru dan guru besar. Hal ini tidak terdapat di rumah kerana tidak ada tatacara panggilan untuk situasi tertentu.
Kesilapan 7: Rakan sebaya
Mereka yang mendapat didikan homeschooler tidak dapat belajar berinteraksi dan kerjasama dengan rakan sebaya mengikuti sistem pembelajaran formal. Anak-anak yang dididik di rumah terutama di kalangan anak tunggal hanya berdepan dengan ibu bapa sahaja sewaktu aktiviti pembelajaran dijalankan. Mereka sentiasa membuat tugasan secara sendirian dan tiada berlaku perbincangan dikalangan rakan sebaya. Secara tidak langsung anak-anak ini tidak mendapat didikan membina hubungan rakan sebaya.
Kesilapaan 8: Konflik dan fobia
Anak-anak yang dididik di rumah tidak dapat menangani tekanan keadaan seperti konflik. Kanak-kanak yang mendapat didikan di rumah tidak pernah mengalami perbezaan pendapat di kalangan rakan sebaya seperti pertengkaran perbezaan pendapat untuk mencari sesuatu keputusan. Hal ini menyebabkan anak-anak home schooler merasa fobia dan tertekan jika berhadapan peristiwa sedemikian.
Kesilapan 9: Pengalaman di tadika
Tidak berpeluang menikmati pengalaman keseronokan di tadika. Pengalaman persekolahan bersama rakan sebaya akan menjadi suatu yang unik dan pengalam kenangan teramat indah apabila dewasa. Kenangan dan pengalaman ini akan mengeratkan lagi hubungan di kalangan rakan sebaya.
Kesimpulannya pendidikan home schooling hanya sesuai untuk peringkat awal sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan sebenar. Sistem pendidikan di negara kita masih memerlukan kanak-kanak berada di dalam sistem supaya mereka dapat pengetahuan yang sama untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Walau bagaimana tiada salahnya jika ibu bapa yang berkebolehan untuk mendidik anaknya sendiri di peringkat asas sebelum memasuki persekolah formal.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI