Tak Ajar Isteri Bermewah, Tapi Beri Cukup Duit Nafkah. Tiada Hutang Bila Pencen

Share

Bila sudah berkeluarga, banyak tanggungjawab yang harus ditunaikan sebagai ibu ayah, suami isteri. Merancang ekonomi keluarga juga penting supaya ketua keluarga tidak terbeban kemudian hari.

Perkongsian daripada Nurlia boleh diambil sebagai pengajaran bagi mereka yang telah mendirikan rumahtangga. Ada terselit nasihat dan kebaikan dalam perkongsian ini.

Abah di bawah sedang menunggu pembentangan Belanjawan. Abah ingatkan pukul 3, rupa- rupanya pukul 4. So terpaksalah menunggu sikit masa lagi.

Cerita bab belanjawan ni tetiba saya teringat. Secara jujurnya cara pengurusan kewangan family kami sekarang, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh cara abah walaupun bukanlah sepenuhnya.
Ya, saya tak pernah lihat abah keluh kesah bab duit. Abah tak kaya, tapi ada.

Apa yang abah buat?

1) Ukur baju di badan sendiri. Contoh, gaji rm2k, jalani cara hidup orang bergaji rm2k, bukan ikut gaya hidup orang bergaji rm5k. Mampu beli kereta Axia, janganlah beli Jazz pulak. Kita mampu minum secawan air kopi di kedai mamak, tapi disebabkan life style kita minum kopi di cafe yang secawan kopi berharga berbelas- belas ringgit. Di sini ramai orang kita silap.

2) Disiplin. Setiap bulan Abah hanya akan withdraw duit 2 kali sahaja. Sekali waktu hari gaji, sekali lagi dua minggu selepas itu. Dengan duit itu pandai- pandailah berjimat cermat. Kalau gaji masuk awal di musim perayaan pun Abah tetap buat perkara yang sama.

3) Tak berhutang. Dua benda yang Abah hutang adalah kereta dan rumah. Itupun kedua- duanya Abah dah settle awal. Tak silap saya waktu umur Abah 30-an semua tu dah settle. Dan Abah takde pun nak beli rumah baru ataupun kereta baru. Apa yang ada dah memadai kata Abah. Dia taknak menambah hutang. Mazda 323 tu lah yang Abah pakai sampailah Abah dah tak boleh bawak kereta. Bayangkan kereta guru biasa lagi cantik, lagi mahal, lagi baru dari guru besar. Hehehe. Kalau tv rosak tunggulah sebulan dua Abah kumpul duit. Namun nak berhutang, tidak kata abah. Kalau boleh, elakkan.

4) Didik isteri supaya tidak mewah berbelanja. Bersyukur apa yang ada. Abah seperti suami yang lain juga. Barang keperluan Abah sediakan cukup. Waktu Abah bekerja, Abah berikan duit lauk untuk Mak beli setiap hari. Ada masa Abah belikan baju dan sebagainya. Mak pun faham. Mak bukan jenis yang suka meminta itu ini. Menjadi isteri seorang guru besar bukanlah tiket untuk Mak hidup mewah dan bermegah. Lagipun berapalah sangat gaji pada waktu itu. Mak sama saja, tetap seorang wanita kampung yang hidup sederhana sama seperti orang lain. Kerjasama ini membuatkan belanjawan keluarga terkawal. Mak main peranan penting juga. Al fatihah Mak❤.

5) Dulu masa di kampung setiap bulan Abah sponsor bayaran elektrik surau. Saya kagum sebab Abah ketepikan duit gaji untuk tujuan ini. Ada majlis di surau Abah suka beri sumbangan. Selain itu Abah akan ketepikan untuk Tok (ayah abah) dan mak dan ayah mertua. Setiap bulan Abah bagi duit pada Tok, dengan mertua Abah suka belikan barang dapur. Saya percaya asbab ini juga Allah bagi rasa cukup pada Abah.

6) Abah suka bantu family. Waktu majlis perkahwinan adik- adiknya, Abah mesti hulurkan wang pada arwah Tok. Mak pernah cerita waktu tu kakak abah baru kematian suami. Ketika itu hari hujan,
” Nah, jom kita ke rumah kak. Hari hujan ni. Dia mesti tak boleh nak menoreh ke apa. Nak beli beras, barang dapur bawak ke dia..”
Itulah Abah..

Sekarang dah hampir 30 tahun Abah pencen. Abah pencen awal dari umur sepatutnya. Abah kata aku nak pencen awal sebab dah tak banyak tanggungan. Tinggal saya seorang saja yang bersekolah menengah pada waktu itu. Hutang pun takde, so apa tunggu lagi kan. Nak nikmati hari tua pula.

Sejak pencen memang saya lihat Abah tenang sebab tak runsing menanggung beban hutang. Duit pencen memang ‘bersih’ untuk kegunaan sendiri.
Saya pun teringin. Ya, teringin nak menghabiskan hari tua dengan tenang tanpa bebanan kewangan😃.

Apa yang saya belajar dari cara Abah, nak bebas kewangan tak semesti kena jadi kaya. Kalau kita pandai manage kewangan, pandai menahan nafsu berbelanja, pandai ukur baju di badan sendiri, inshaAllah kita ‘selamat’.
Dan..

Yang paling penting,
“Sentiasa bersyukur atas apa saja rezeki yang Allah beri..” inshaAllah aminn.

Kredit: Nurlia Mohd Nor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa