“Tak Berjaya Susukan Anak, Bukan Tanda Ibu Gagal”, Belum Ada Rezeki Untuk Ada Ilmu!

Share

Bukan semua ibu direzekikan untuk menyusukan anak dengan baik dan lancar hingga ke usia dua tahun. Ada yang berhenti separuh jalan namun ada pula yang langsung tidak direzekikan untuk menyusukan anak.

Tak mudah namun kita perlu berusaha. Jangan lebih dahulu, menyerah kalah. Usaha dengan mendapatkan ilmu itu penting sebelum kita berputus asa. Inilah yang cuba dikongsikan oleh Kaunselor Lakrasi, Pn Nad Masrom untuk semua ibu-ibu yang sedang berjuang untuk menyusukan anak.

Teruskan usaha dan bertawakal kepada Yang Esa, semuanya demi untuk yang tersayang.


Bila ibu tak berjaya menyusukan bayi, bukanlah tanda ibu gagal. Ini fakta. Betul, ibu-ibu yang tak menyusukan bayi bukanlah ibu yang gagal.

Kerana mereka berusaha memastikan bayi mereka terus hidup. Cuma, bila ibu tak berjaya menyusukan bayinya dengan susu ibu, ibu perlu akui satu perkara, yang ibu – TIADA ILMU.

Ini juga fakta. Cuma lebih sedih dan berat untuk diakui. Jika bayi sihat, bukanlah satu masalah besar kepada ibu-ibu yang memilih untuk tidak meneruskan penyusuan.

Jika sebaliknya, lebih banyak sesal yang perlu dihadapi seumur hidup tanpa bisa diluahkan kerana tidak mahu di’judge’ sesiapa.

Saya penah berada dalam situasi ‘gagal’ itu apatah lagi takdir memilih untuk anak saya kembali kepada Allah semula.

Saya ingat lagi waktu saya hamil, salah seorang sahabat ingatkan saya untuk gali ilmu tentang penyusuan susu ibu. Dan tahu saya jawab apa masa tu?

“Kita ada duit, buat apa susah-susah. Bagi jelah susu formula..!” Terpinga-pinga sahabat saya masa tu bila saya beri respons sebegitu.

Dan bila ditakdirkan anak saya alami alahan dengan susu formula dan doktor pesan untuk saya berikan susu ibu dan masa tu saya rasa susu saya ‘tak ada’, saya gigih juga cari ibu-ibu susuan.

Saya call sana-sini. Tapi sayangnya, tiada seorang ibu pun yang sudi bantu. Dan saya kehilangan anak pertama tidak lama selepas itu.

Dan selepas kehilangannya, saya tak sedar lagi yang saya tiada ilmu. Selepas banyak membaca dan memahamkan tentang penyusuan susu ibu, barulah saya tahu yang pengetahuan saya terhadap susu ibu sangatlah ZERO.

Jadi, bolehkah saya menyalahkan takdir dengan mengatakan, ‘tak semua ibu boleh menyusukan bayi?’ Jawapannya tentulah tidak.

Kerana jika kita tiada isu tertentu melibatkan kesihatan yang memberi kesan kepada pengeluaran susu, tentu sahaja Allah sudah tetapkan rezeki untuk susu itu ada.

Cuma kita belum ada rezeki untuk ADA ILMU atau kita tiada rezeki untuk berjumpa dengan orang yang boleh membantu.

Jadi pendapat peribadi saya terhadap isu hangat melibatkan seorang ibu yang berhadapan dengan masalah tongue tie, selagi ada daya berusahalah sehingga ke ‘titisan terakhir’.

Saya tetap puji usaha ibu itu yang berusaha untuk lakukan prosedur tongue tie release. Cuma macam saya cakap, ibu belum direzekikan berjumpa dengan doktor yang boleh membantu.

Atau mungkin doktor tersebut dah berusaha membantu, tapi ibu struggle untuk meneruskan. Saya tidak tahu. Saya pernah menyantuni seorang ibu yang pam tanpa henti setiap 2 jam sebanyak 12 kali sehari. Beliau berjumpa saya sebagai pilihan terakhir selepas berjumpa dengan beberapa doktor.

Kerana ibu ini tidak direzekikan dengan setitis susu pun walaupun pam setiap 2 jam. Sampai melecet puting ibu. Ibu ada masalah pada kelenjar pituitari ibu yang menyebabkan gangguan hormon penyusuan. Apa yang saya boleh buat bila ibu datang kepada saya?

Saya hanya pinjamkan telinga dan bahu untuk ibu ‘bersandar’. Untuk ibu terima takdir yang ibu memang tak boleh menyusukan bayi. Saya sendiri tidak mampu lakukan apa-apa. Cuma mampu beri sokongan sahaja kepada ibu.

Dan jika situasi ini berlaku, mungkin sesuai jika ibu ini yang menggunakan ayat “breastfeeding is not for everyone”. Tapi ibu ini masih boleh berikan susu ibu buat bayinya jika dia mahu iaitu melalui ibu susuan.

Saya minta maaf jika ada yang terguris. Saya tahu isu ini pun bila ada yang share link dan tag nama saya di post viral itu.

Saya tidak berniat untuk merendahkan mana-mana ibu. Kita semua ibu yang baik, ibu yang berusaha untuk memastikan anak kita terus mendapat nutrisi secukupnya.

Jika ibu tidak boleh menyusu secara terus, ibu mungkin boleh berusaha untuk memerah dahulu dan berikan kepada bayi.

Cuma perlu diketahui, disiplin dan usaha perlulah konsisten. Tidak boleh senang mengalah dan perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran. Inilah yang ramai tidak sanggup dilalui oleh sebahagian ibu.

Apa pun, ibu menyusu usahlah merendahkan ibu tidak menyusu. Dan ibu yang tidak menyusu, usahlah mencari jalan membuktikan ibu menyusu ni takbur.

Masing-masing perlu muhasabah. Jauh lagi perjalanan untuk kita membesarkan anak-anak. Tunjukkan sikap yang baik jika ingin mengajak ibu-ibu yang tidak tahu ini untuk menuntut ilmu.

Kalau sudah diajak secara baik tapi tetap mereka tidak mahu, kita doakan semoga ada peluang itu suatu hari untuk si ibu. Semoga kita para ibu dan wanita perkasa ini saling membantu tanpa jemu.

Nad Masrom

Menarik: “Lara Lembut, Lila Lain Pulak” Dua Anak Perempuan Berbeza Karaktor, Scha & Awal Kongsi Cerita!

Anak belum lancar membaca? Belajar cara mudah nak ajar anak tanpa perlu rasa stres, daftar secara percuma di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-cepat-belajar/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Pa&Ma

Published by
SRM