Baru sebentar tadi Perdana Menteri Kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan dari 15 April sehingga 28 April.
Dalam kenyataan itu juga beliau ada menyebut bahawa masyarakat di Malaysia amnya mungkin tidak dapat menjalani kehidupan seperti dahulu lagi. Tempoh PKP ini juga mungin akan berlanjutan selama beberapa bulan untuk pastikan penularan wabak ini dapat diatasi seratus peratus.
“Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin 4 berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus.
“Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.
“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawih lah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.
“Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” ujar beliau.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut menyatakan bahawa sekolah juga tidak akan dibuka lebih awal sehingga keadaan benar-benar pulih. Pihak Kementerian diminta untuk melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.
“Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak. Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya.
“Ringkasnya, kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi.
“Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolah sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih.
“Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar di rumah. Saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.
“Walaupun keadaan di negara kita insyaAllah akan kembali pulih dengan langkahlangkah yang sedang diambil, kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini. Seluruh dunia terkesan termasuklah negara-negara jiran.”
Dalam teks ucapan tersebut juga, Perdana Menteri turut memberikan contoh mudah kehidupan luar kebiasaan yang boleh dipraktikkan oleh semua orang setelah tamatnya tempoh PKP.
“Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu.
“Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun, hand sanitizer dan sebagainya. Juga memakai face mask.
“Banyak lagi contoh-contoh lain yang tak perlu saya sebut kerana saya fikir saudara-saudari faham maksud kebiasaan baharu yang mesti kita amalkan dalam menjalani kehidupan seharian untuk tempoh yang mendatang.”
Sebelum menamatkan sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri turut menyatakan bahawa menjaga keselamatan nyawa rakyat adalah tanggungjawab beliau. Setiap nyawa adalah berharga tidak kira tahap usia.
Beliau juga menyeru untuk sama-sama menjaga kesihatan diri, keluarga dan orang-orang sekeliling dengan mematuhi PKP.
“Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara.
“Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan.
“Let me remind you that the war on COVID-19 is not yet over. The fight is still on. We are doing well so far, so just uplift your spirit and continue to fight. If we persevere, insyaAllah we will win.
“Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang. Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini 7 menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
“Teruskanlah sikap yang terpuji ini. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. InsyaAllah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah,” ujar beliau sebelum menamatkan perutusan khas sebentar tadi.