Terkesan dengan pandemik Covid-19 sekarang ini, sebuah keluarga terpaksa memberikan air rebusan beras sebagai pengganti susu buat anak kecilnya yang kelaparan. Walaupun tahu ia tak sempurna, namun disebabkan tidak mahu anak menangis, cara ini terpaksa juga dilakukan.
Perkara itu didedahkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu yang berdepan kisah sedih berkenaan ketika menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan.
Setiausahanya, Muhammad Syariezal Ab Rashid berkata, terdapat banyak pengalaman pahit manis ditempuhi pihaknya sepanjang menghantar bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
“Antara yang paling menyentuh hati ialah kisah sebuah keluarga yang terpaksa menyediakan air rebusan beras untuk anak kecilnya kerana tidak cukup wang bagi membeli susu.
“Selain itu, terdapat juga keluarga yang terpaksa meminta susu daripada jiran kerana anak kelaparan. Ada juga yang memberi susu pekat manis untuk diminum anak yang masih kecil,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka yang menerima sumbangan terutama susu dan lampin pakai buang.
“Apabila kita hantar susu dan lampin pakai buang, berlinang air mata mereka. Ada yang memeluk erat susu yang baru diberikan. Ternyata banyak keluarga yang terkesan sepenuhnya akibat pandemik ini.
“Ada juga yang memberitahu mereka kini tiada lagi wang simpanan di bank untuk dibelanjakan, malah ada juga yang telah dibuang kerja,” ujarnya.
Muhammad Syariezal berkata, Fisabilillah juga menerima banyak permohonan untuk mendapatkan keperluan bagi menampung kehidupan.
“Apabila mereka dapat tahu Fisabilillah membantu golongan yang terkesan, mereka mencuba nasib. Selang beberapa hari, permohonan mereka diluluskan dan wakil Fisabilillah Terengganu terus menghantar keperluan bagi keluarga terbabit,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Fisabilillah Terengganu turut berterima kasih kepada penyumbang yang tidak putus-putus memberi sokongan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Sehingga kini, katanya, seramai 4,000 keluarga yang dibantu sejak pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu.
“Kami bergerak sebagai badan NGO yang menyalurkan hasil sumbangan orang ramai. Kita menyasarkan untuk membantu seramai mungkin mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Terengganu,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)