
Trimester ketiga hamil kebiasaannya membuatkan ibu sering terjaga dari tidur malah kualiti tidur terganggu. Gangguan pada tidur ini sebenarnya amat memberi kesan pada diri sekaligus bayi dalam kandungan. Ikuti perkongsian ini.
Kesan tidur terlalu kurang
Jangan pandang remeh jika anda mengalami masalah kurang tidur ketika hamil kerana ia akan menjejaskan kondisi tubuh badan anda serta janin di dalam kandungan.
Berikut adalah kesan buruk yang mungkin boleh terjadi akibat ibu hamil yang terkurang tidur:
* Ibu hamil mengalami stres
* Ibu hamil mengalami depresi
* Ibu hamil mengalami apnea tidur
* Cenderung menghidap tekanan darah tinggi
* Ibu hamil menghidap diabetes gestasi
* Praeklampsia yang akan membahayakan ibu dan bayi
* Masalah pertumbuhan dan perkembangan bayi

Tidak hanya tak cukup tidur, terlebih tidur juga boleh memberi kesan pada diri dan kandungan.
Ini kerana wanita hamil yang tidur lebih lama saat kehamilan misalnya lebih 10 jam sehari pada waktu malam, risiko praeklampsia mungkin akan meningkat 2 kali ganda.
Bukan itu sahaja, kesan tidur terlalu lama ketika sedang hamil juga mungkin akan mengakibatkan komplikasi kehamilan seperti janin mati dalam kandungan (stillbirth).

Jelas Dr Louise O’Brien dari University of Michigan di Amerika Syarikat, wanita hamil kerap terjaga atau terbangun daripada tidur pada waktu malam sekali gus menjejaskan kualiti dan kuantiti tidur. Ia adalah perkara yang yang sudah tentu boleh mengakibatkan kesan buruk kepada diri mereka serta janin dalam kandungan.
Konklusinya, wanita hamil perlu untuk mendapatkan tidur yang cukup dan ideal dengan tidak terlalu kurang atau tidak terlalu lama tidur agar kehamilan anda itu lebih sihat!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekanan Darah Tiba-Tiba Tinggi Bila Kandungan 20 Minggu Ke Atas? Awas Ibu Hamil, Ia Mungkin Ancaman Pra eklampsia

Pra eklampsia atau sawan hamil mengancam ibu sejak usia kandungan 20 minggu ke atas. Keadaan ini boleh menyebabkan terjadinya kematian janin.
Apakah dia pra eklampsia? Menurut Dr Nurul Azwa Hasny, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan SALAM Shah Alam Specialist Hospital, pra eklampsia ialah keadaan di mana ibu yang hamil melebihi 20 minggu ke atas, mempunyai tekanan darah melebihi 140/90mmHg, kenaikan berat badan yang mendadak dan mempunyai protein di dalam air kencing.
Lazimnya, ibu yang mengalami keadaan ini akan kembali ke paras normal selepas bersalin (bayi dikeluarkan). Apa yang membezakan tekanan darah tinggi dan pra eklampsia ialah hadirnya protein 2+ di dalam air kencing ibu dan hanya akan berlaku 20 minggu ke atas iaitu selepas uri terbentuk.

Kata Dr Nurul Azwa, tiada jawapan kepada mengapa terjadinya pra eklampsia ini. Ia berkemungkinan kerana plasenta yang tidak terbentuk sempurna yang menyebabkan berlakunya gangguan aliran darah ibu yang mana protein yang sepatutnya ditapis buah pinggang ibu terbebas ke dalam air kencing.
TANDA-TANDA PRA EKLAMPSIA
Antara tanda-tanda pra eklampsia ialah tekanan darah tinggi dan kehadiran protein 2+ di dalam air kencing. Namun gejala-gejala pra eklampsia yang serius adalah seperti berikut;

1. Sakit kepala yang teruk
2. Pandangan menjadi kabur.
3. Pedih pada ulu hati.
4. Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah dengan tiba-tiba.
5. Loya dan muntah.

6 CIRI WANITA HAMIL YANG BERISIKO PRE EKLAMPSIA
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra eklampsia jika terdiri daripada golongan ini.• Kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar dengan kehamilan yang terdahulu.
• Berumur 40 tahun atau lebih.
• Mempunyai berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
• Mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah seperti tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang atau diabetes.
• Kandungan kembar atau lebih.
• Mempunyai sejarah pra eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya.
• Pernah mengalami pra eklampsia pada kehamilan sebelum ini.
ANCAMAN KEPADA IBU DAN ANAK
KESAN PRA EKLAMPSIA KEPADA IBU YANG HAMIL
Pra eklampsia boleh menjadi ancaman yang kuat kepada ibu dan bayi. Ibu yang mengalami pra eklampsia perlu dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan sekiranya ada komplikasi supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi. Dalam keadaan tertentu, ia boleh memberikan kesan pada ibu seperti berikut;
1. Eklampsia atau nama lain sawan ketika mengandung, di mana tangan dan kaki tersentak-sentak tanpa ransangan, bebola mata ibu naik ke atas dan kancing gigi. Keadaan yang berterusan ini akan menyebabkan pengurangan aliran darah dan oksigen ke uri dan akan membahayakan nyawa bayi.
2. Sindrom HELLP. Ini adalah kecelaruan pada hati dan pembekuan darah. HELLP bermaksud:
H: haemolysis atau sel-sel darah merah pecah.
EL: elevated liver enzymes hati tidak berfungsi dengan baik.
LP: low platelet count atau jumlah platelet rendah menyebabkan darah lambat membeku.’
3. Strok atau pendarahan dalam otak. Ia disebabkan oleh tekanan darah yang terlampau tinggi menyebabkan salur darah pecah, merosakkan sel-sel otak sehingga sebahagian otak itu tidak berfungsi.
4. Tumpah darah atau pendarahan yang berterusan.
5. Kerosakan organ seperti hati, buah pinggang dan wujudnya cecair dalam paru-paru (edema pulmonari).

KESAN PRA EKLAMPSIA KEPADA BAYI YANG DIKANDUNG
- Tumbesaran bayi boleh terbantut disebabkan pengaliran darah serta kuantiti oksigen dan nutrien yang tidak mencukupi.
- Ia juga boleh menyebabkan air ketuban berkurangan (oligohidramnios) dan bayi matisecara mengejut di dalam kandungan.
PENGESANAN AWAL BANTU KAWAL PRA EKLAMPSIA
Penting bagi anda menghadiri semua temu janji pranatal kerana ini akan membantu doktor anda mengesan dan mengawal pra eklampsia (jika ada).
Bagi yang berisiko tinggi, ibu akan diberikan ubat aspirin pada dos yang rendah bermula minggu ke-12 sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra eklampsia. Suplemen kalsium juga perlu diambil. Tekanan darah, pemeriksaan air kencing dan penambahan berat badan akan dipantau dengan teliti.

KENAPA PRA EKLAMPSIA SERING DIKAITKAN DENGAN BERSALIN AWAL?
Bagi menstabilkan ibu daripada eklampsia, bayi dan uri perlu dikeluarkan segera melalui proses kelahiran. Tetapi sebelum bersalin, tekanan darah tinggi ibu akan distabilkan terlebih dahulu. Magnesium sulfate akan diberikan sebelum dan selepas bersalin kerana sawan masih boleh berlaku selepas bersalin. Bagi sesetengah hospital kerajaan, ibu akan dipantau selama lima hingga tujuh hari sehingga tekanan darah tinggi stabil dan protein dalam air kencing berkurangan.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dr Amalina Jelaskan Kenapa Pilih Kewarganegaraan Britain Untuk Anaknya Yang Bakal Lahir

Dr Amalina Che Bakri yang kini sudah masuk usia kehamilan trimester ke-3, menjadi bualan warga maya baru-baru ini apabila memberikan jawapan daripada salah seorang pengikut Instagram yang bertanya soalan mengenai kerakyatan anaknya yang bakal lahir.
“Apakah kerakyatan anak anda? British atau dua kerakyatan.”
Soalan tersebut yang ditanyakan menerusi sesi soal jawab di Insta Story
“Anak-anak kami akan menjadi orang British.”

Rupanya jawapan Dr Amalina tersebut telah disalah tafsir oleh ramai warga maya yang mengecamnya kerana memilih kerakyatan Britain berbanding Malaysia untuk anak-anaknya kelak.
Ada Alasan Tersendiri
Menyedari jawapannya telah menerima kecaman ramai, pakar bedah yang kini sedang menghabiskan pengajian PhD di Britain memberi penjelasan hal sebenar menerusi posting dalam Instagramnya.
Pakar bedah berusia 35 tahun ini turut mengajak semua orang supaya jangan mudah menghukum orang lain dengan cepat tanpa mengetahui hal sebenar.
Kata Dr. Amalina, sudah tentu dia suka jika anaknya memegang status warganegara Malaysia, namun dia mempunyai kekangan yang menghalangnya untuk bersalin di tanah air.
Jelasnya, dia kini sedang sarat hamil dan masih bekerja selain penerbangan jarak jauh dan cuti kerja bukanlah pilihan terbaik untuk mereka dan bayi.
“Sudah tentu saya ingin anak-anak saya menjadi rakyat Malaysia, tetapi suami saya adalah warga British dan kami bekerja dan menetap di United Kingdom (UK). Disebabkan komitmen saya di sini, saya tidak dapat pulang ke Malaysia untuk bersalin.

“Saya kini sedang sarat hamil (trimester ke-3) dan masih bekerja. Mengambil penerbangan jarak jauh dan cuti kerja bukanlah pilihan terbaik untuk kami dan bayi. Ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami sekeluarga dan ini pilihan kami.”
Ajar Anak Fahami Nilai Islam
Menurut Dr Amalina, anaknya tetap akan mempunyai darah kacukan Melayu walaupun menetap di United Kingdom dan memegang kewarganegaraan British.
“Percampuran dua budaya akan memberikan mereka kehidupan yang berwarna-warni. Saya akan membesarkan mereka untuk memahami nilai-nilai Malaysia & Islam, serta mempelajari Bahasa Melayu.

“Pada akhirnya, tidak kira di mana mereka tinggal atau passport negara mana yang mereka ada, yang penting mereka adalah insan yang mempunyai nilai moral yang baik di mana boleh menyumbang kepada kemanusiaan,”jelas Dr Amalina.
Hentikan Budaya Suka Memfitnah
Dalam pada yang sama, beliau turut berpesan kepada segelintar warga maya yang suka menghiina dan melemparkan fitnah kepada dirinya supaya memahami apa tujuan dia menetap di negara Britain.
“Saya bekerja, menyambung kepakaran dan membuat PhD supaya menjadi pakar terbaik dalam bidang saya. PhD saya ditaja oleh geran NIHR UK dan saya memenangi fellowship daripada Imperial College London atas usaha saya sendiri.
“Specialist training saya dibayar oleh duit cukai rakyat UK setelah bersaing dengan beribu rakyat UK & international graduates untuk mendapat tempat dalam program ini,” jelasnya lagi.
“Saya berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat membantu lagi ramai orang dengan kepakaran yang saya ada, InsyAllah. Salahkah saya mahu menuntut ilmu?
“Cukup-cukuplah dengan kata-kata kesat & suka menghukum orang lain. Marilah kita berkata-kata baik & mendoakan kesejahteraan orang lain. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
Untuk rekod, Dr Amalina berkahwin dengan Alexander Charles yang juga seorang pengarah di sebuah syarikat perisian pada 31 Mac 2021 di London Central Mosque.

Pa&Ma doakan semoga segala urusan Dr Amalina dan suami di UK dipermudah dan proses kelahiran anak pertama mereka juga berjalan lancar.
Sumber: Instagram Dr Amalina
Untuk lebih banyak info terkini jom klik di sini
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila Suami Selalu Teman Isteri Hamil Jalani Check Up, 4 Faktor Ini Bantu Lancarkan Proses Kehamilan

Apabila disahkan hamil, rutin wajib setiap bulan ialah menjalani pemeriksaan antenatal. Hal ini penting untuk dilakukan kerana dapat memantau tahap kesihatan diri dan bayi yang dikandungi. Terdapat doktor yang berpendapat, suami patut menemani isteri sekurang-kurangnya sekali dalam trimester pertama, sekali dalam dalam trimester kedua dan lebih kerap dalam trimester ketiga.
Mana-mana isteri pasti rasa dihargai dan gembira apabila suami sudi menemankannya setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal di klinik atau hospital pilihan. Keprihatinan suami sepanjang tempoh kehamilan pastinya dapat memberi semangat kepada ibu hamil yang segelintirnya mengalami alahan kehamilan. Bak kata pepatah, susah dan senang diharungi bersama.
Isteri bukannya meminta diri dimanjakan. Suami yang penyayang kepada si isteri dan anak dalam kandungan biasanya sanggup meluangkan masa yang ada untuk menemani isteri lakukan pemeriksaan antenatal. Percayalah, ia pasti meninggalkan momen berharga buat isteri yang tidak mungkin disedari oleh si suami.
Sebenarnya, ada banyak manfaat yang bakal anda peroleh jika kerap menemani isteri melakukan pemeriksaan antenatal kehamilan. Berikut adalah antara kelebihan yang bakal diperoleh oleh para suami.
1. Mempermudahkan urusan isteri

Dalam keadaan tertentu, mungkin ada segelintir ibu hamil terpaksa membawa anak lain yang masih kecil bersama-sama semasa melakukan pemeriksaan antenatal. Ke hulu ke hilir, si kecil perlu mengikuti isteri termasuklah ke dalam tandas untuk mendapat sampel air kencing.
Sekiranya ada suami bersama, pasti ia lebih memudahkan semua proses rutin pemeriksaan yang perlu dilalui. Isteri pasti berasa lebih lega dan tidak mengeluh kepenatan.
2. Tambah ilmu tentang kehamilan

Pemeriksaan antenatal pertama yang ditemani oleh si suami akan membantu isteri menerangkan kepada doktor dengan tepat maklumat sejarah kesihatan di sebelah bapa bayi yang dikandungkannya. Ini bererti, suami sendiri boleh bercerita lanjut tentang hal itu.
Dalam setiap kali temujanji pemeriksaan antenatal, doktor akan berkongsi pelbagai informasi berkenaan perkembangan kehamilan dan kandungan. Jadi, apabila suami ada bersama, pelbagai ilmu dapat dikumpulkan sebagai persediaan menghadapi proses kelahiran bayi yang anda berdua nantikan kelak.
3. Beri sokongan moral
Pelbagai prosedur pemeriksaan antenatal perlu dilalui oleh wanita hamil. Setiap kali temujanji, isteri perlu menjalani ujian air kencing, darah dan paling menimbulkan kembimbangan kepada kebanyakan wanita hamil ialah ujian MGTT yang memerlukannya minum air gula yang pekat.
Jika ibu hamil menghidap penyakit atau masalah kesihatan tertentu seperti diabetes, tekanan darah tinggi, berat berat berlebihan, hemoglobin rendah dan lain-lain, pasti ia sedikit sebanyak mengganggu emosinya. Apabila doktor menerangkan tentang risiko komplikasi akibat masalah kesihatan semasa hamil yang mungkin dihadapi, isteri pasti berasa bimbang dengan keadaan bayi dalam kandungan.
Apabila suami menemani isteri, sekurang-kurangnya suami dapat memulihkan semangat dan sama-sama memikirkan tindakan yang sesuai untuk mengatasi masalah kesihatan yang dialami itu.
4. Persediaan menghadapi kelahiran

Suami yang kerap menemani isteri melakukan pemeriksaan antenatal pasti mengetahui apa sahaja informasi berkenaan bayi dan isteri. Sambil menunggu giliran berjumpa dengan doktor, anda suami isteri boleh berbincang dan bertanya lanjut dengan jururawat yang menjaga kaunter pendaftaran tentang prosedur bersalin di hospital pilihan.
Selain daripada itu, semasa berjumpa dengan doktor, ringankan mulut untuk bertanya dengan terperinci tentang proses kelahiran seperti tanda-tanda awal bersalin, cara meneran yang betul dan macam-macam lagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


