
Trimester ketiga hamil kebiasaannya membuatkan ibu sering terjaga dari tidur malah kualiti tidur terganggu. Gangguan pada tidur ini sebenarnya amat memberi kesan pada diri sekaligus bayi dalam kandungan. Ikuti perkongsian ini.
Kesan tidur terlalu kurang
Jangan pandang remeh jika anda mengalami masalah kurang tidur ketika hamil kerana ia akan menjejaskan kondisi tubuh badan anda serta janin di dalam kandungan.
Berikut adalah kesan buruk yang mungkin boleh terjadi akibat ibu hamil yang terkurang tidur:
* Ibu hamil mengalami stres
* Ibu hamil mengalami depresi
* Ibu hamil mengalami apnea tidur
* Cenderung menghidap tekanan darah tinggi
* Ibu hamil menghidap diabetes gestasi
* Praeklampsia yang akan membahayakan ibu dan bayi
* Masalah pertumbuhan dan perkembangan bayi

Tidak hanya tak cukup tidur, terlebih tidur juga boleh memberi kesan pada diri dan kandungan.
Ini kerana wanita hamil yang tidur lebih lama saat kehamilan misalnya lebih 10 jam sehari pada waktu malam, risiko praeklampsia mungkin akan meningkat 2 kali ganda.
Bukan itu sahaja, kesan tidur terlalu lama ketika sedang hamil juga mungkin akan mengakibatkan komplikasi kehamilan seperti janin mati dalam kandungan (stillbirth).

Jelas Dr Louise O’Brien dari University of Michigan di Amerika Syarikat, wanita hamil kerap terjaga atau terbangun daripada tidur pada waktu malam sekali gus menjejaskan kualiti dan kuantiti tidur. Ia adalah perkara yang yang sudah tentu boleh mengakibatkan kesan buruk kepada diri mereka serta janin dalam kandungan.
Konklusinya, wanita hamil perlu untuk mendapatkan tidur yang cukup dan ideal dengan tidak terlalu kurang atau tidak terlalu lama tidur agar kehamilan anda itu lebih sihat!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amaran Bahaya Sebelum Dapat Sawan Ketika Hamil! Doktor Terangkan Gejala Awal Pra-Eklampsia

Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan. Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.

Pre-Eclampsia: Amaran bahaya sebelum dapat sawan ketika hamil
Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.
Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan . Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.
Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan. Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.
Mengapa perlu tahu mengenai pra-eklampsia?
Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.
Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).
1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.
Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :
❗️Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit
❗️Mata menjadi kabur
❗️Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik
❗️Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah
❗️Berasa tidak sihat

Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera. Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.
Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.
Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:
✅berumur 40 tahun atau lebih;
✅berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
✅mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
kandungan kembar atau lebih;
✅mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang anda ada. Setelah penilaian doktor, anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.
Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.
Bagaimana saya dirawat, sekiranya saya mengalami pra-eklampsia?
Jika tekanan darah naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.
Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.
Anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh. Anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama anda anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.
Sekiranya tekanan darah anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi (induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.
Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia anda itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.
Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu
Segera dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala pre eclampsia. Jangan tunggu
Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & kehamilan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hamil Selepas Ikhtiar Minum Jus ‘Cuci Rahim’, Wanita Penghidap Endometriosis Kongsi Resepi Bantu Wanita TTC

Bagi penghidap endometriosis, senggugut yang teruk, pendarahan tidak normal dan kesakitan pada bahagian bawah perut atau kawasan pelvik sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian.
Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), endometriosis berlaku apabila tisu yang sepatutnya tumbuh di dalam rahim mula tumbuh di luar rahim seperti pada ovari, tiub fallopio atau dinding pelvis. Keadaan ini boleh menyebabkan radang, parut dan kesakitan yang kronik serta menjadi antara punca utama kesukaran untuk hamil bagi wanita dalam usia subur.
Begitu juga dengan kisah seorang wanita ini yang menghidap endometriosis tahap tiga (peringkat sederhana). Menurutnya, dia pernah mengalami pendarahan tanpa henti selama dua bulan akibat penyakit tersebut — keadaan yang sangat memenatkan fizikal dan emosi.
Namun tanpa disangka, segalanya berubah selepas dia berikhtiar dengan mencuba jus ‘cuci rahim’ hasil perkongsian seorang pengguna media sosial. Kisahnya dikongsi sendiri melalui laman Threads dengan akaun bernama @iamsobeutipul, yang kini tular kerana memberi harapan kepada ramai wanita lain yang masih dalam fasa ikhtiar zuriat.
“Kita baru try jus resipi yang dikongsi. Saya ada endometriosis stage 3, bleeding dah dua bulan.
Sekarang selepas dua cawan minum, bleeding dah stop! Doakan kita pulih dan start TTC (trying to conceive),” tulisnya.
Wanita berkenaan menjelaskan bahawa pendarahannya berhenti selepas hanya dua kali minum jus tersebut, dan kini dia dalam proses mencuba untuk hamil.
Menariknya, resipi jus itu sebenarnya dikongsi oleh seorang lagi wanita yang juga penghidap endometriosis tahap tiga, malah mempunyai satu tiub fallopio tersumbat. Walaupun keadaannya agak serius, dia berjaya hamil secara semula jadi tanpa sebarang rawatan IUI atau IVF, selepas dua bulan mengamalkan jus berkenaan.
“Tak buat IUI atau IVF. Naturally dapat. Saya buat cleansing juice untuk ‘clearkan rahim’.
Tidak, saya tidak menjual apa-apa produk. Cuma nak kongsi untuk yang sedang berikhtiar saja,” tulisnya.
Resipi Jus ‘Cuci Rahim’ Yang Dikongsi
Bahan-bahan:
1 biji nenas
Kunyit hidup sebesar ibu jari
Halia sebesar ibu jari
2 biji oren Sunkist
Cara Penyediaan:
Kisar semua bahan hingga sebati, kemudian simpan dalam peti sejuk.
Tidak perlu ditapis. Sukatan ini boleh diminum 3 hingga 4 kali.
Cara Minum:
Ambil 1 cawan setiap hari pada hari-hari terakhir datang bulan.
Contohnya, jika haid biasa berlangsung 7 hari, boleh mula minum pada hari ke-4 atau ke-5.Teruskan minum setiap hari sehingga darah haid berhenti sepenuhnya, kemudian berhenti.
Semoga perkongsian ini menjadi inspirasi buat semua wanita TTC di luar sana bahawa setiap ikhtiar yang dilakukan dengan doa dan sabar, pasti tidak sia-sia.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu Hamil Elak Ambil Kopi, Kafein, Air Berkabonat Berlebihan Kalau Sayang Bayi & Tak Nak Keguguran

Keguguran berlaku bila semua atau sebahagian dari kandungan terkeluar atau dikeluarkan dari rahim pada usia kandungan kurang dari 22 minggu. Kandungan yang tidak menunjukkan perkembangan atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hidup juga dirujuk sebagai keguguran jika berlaku kurang dari 22 minggu.
Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 22 minggu mengandung.

Sebab-sebab
Banyak faktor boleh menyebabkan keguguran dan selalunya ia berbagai (multifactorial) dan bertindih. Antaranya adalah:
Masalah genetik: 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.

Masalah penyakit si ibu: seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid (lihat fibroid)
Faktor-faktor yang meningkatkan risiko keguguran
Usia ibu: ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi berbanding yang lebih muda
Pernah keguguran sebelumnya: jika keguguran sekali, risko untuk gugur lagi adalah 20%, dan jika pernah 2 kali gugur, risiko adalah 30%. Risiko meningkat kepada 43% kalau pernah 3 kali gugur atau lebih.
Merokok: merokok lebih dari 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko
Alkohol: pengambilan alkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.
Demam panas: melebihi 37.80C atau lebih boleh menyebabkan keguguran
Trauma: trauma (kemalangan) dibahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko. Ini termasuk juga rawatan amniocentesis dan chronic villous sampling (sila lihat)

Kafeine: pengambilan kopi atau bahan berkafein spt cola dan sebagainya berlebihan boleh meningkatkan risiko keguguran. Tidak digalakkan mengambil lebih dari 300mg sehari.
Sebab-sebab lain: risiko meningkat kalau si ibu tercemar dengan bahan seperti: jangkitan, sesetengah ubat-ubatan, stress fizikal yang berlebihan, radiasi dan bahan-bahan kimia.
Jenis
Ancaman keguguran (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut. Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Di kebanyakkan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan. Ada juga kes dimana pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur. Majoriti kes tidak berakhir dengan keguguran.
Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran tidak dapat dielakkan. Pangkal rahim terbuka, tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.
Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – bermakna kandungan telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal lagi dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.
Keguguran lengkap (complete miscarriage) – kandungan telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang. Ultra bunyi menunjukkan rahim tidak tertinggal janin.
Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, mengigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning)
Persembahan klinikal
Antara simptom adalah pendarahan (tumpah darah) dan sakit (di bahagian bawah perut) semasa awal mengandung (kurang minggu ke-12). Pendarahan yang sedikit dan rasa kurang selesa di bahagian perut boleh dianggap normal kepada kebanyakkan wanita yang mengandung, akan tetapi kalau pendarahan yang banyak dan sakit itu bertambah; pesakit dinasihatkan berjumpa doktor segera.
Diagnosis
Dalam kebanyakkan kes, ultra bunyi digunakan untuk memastikan kandungan tersebut masih bernyawa atau tidak (viable). Ultra bunyi juga penting dalam mengenalpasti lokasi kandungan itu (lihat ectopic pregnancy)
Rawatan
Pemerhatian (observation) – kebanyakan ibu yang mengalami keguguran tidak memerlukan rawatan, baik rawatan perubatan atau pembedahan. Jika keguguran berlaku sebelum minggu ke-13, dan si ibu stabil (tidak tumpah darah yang banyak atau tidak dijangkiti kuman), cukup sekadar pemerhatian sahaja. Selalunya janin tersebut akan keluar dari rahim dalam masa seminggu dua. Ada kalanya mengambil masa 3 hingga 4 minggu selepas itu. Apabila kandungan itu keluar, doktor selalunya akan membuat ultra bunyi untuk melihat tiada bahagian janin yang masih tertinggal di dalam rahim (incomplete miscarriage).
Rawatan perubatan– sesetengah kes, doktor akan memberi ubat pil untuk dimakan atau masukkan ke dalam faraj untuk mengeluar kandungan yang telah keguguran tersebut
Rawatan Pembedahan– prosidur ini dinamakan dilatation & curettage (D&C). Doktor akan membuka (dilatation) pangkal rahim (servik) dan membuat curettage (cuci) dalam rahim bagi mengeluarkan janin yang telah keguguran tersebut. D&C dilakukan jika si ibu tidak mahu menunggu janin keluar secara spontan ataupun terdapat banyak pendarahan atau jangkitan berlaku. Suatu kaedah lagi yang boleh digunakan adalah “MVA”, iaitu “Manual Vacuum Aspiration” atau kaedah menyedut janin yang agak mudah dilakukan.
Selepas keguguran?
Selepas keguguran, ibu dinasihatkan supaya tidak memasukkan apa-apa bahan (tampon) atau douching selama 2 minggu. Selalunya doktor menasihatkan tunggu 2-3 bulan sebelum cuba mengandung lagi. Tiada masalah mengambil kaedah perancang (termasuk IUCD) selepas keguguran. Doktor mungkin memberi ubat tambah darah dan antibiotik untuk mengurangkan kurang darah (lihat anemia) dan risiko jangkitan (keguguran septik).
Kredit: KKM portal
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


