Ketika ditemui semasa mereka sedang menjalani penggambaran untuk rancangan TV Pa&Ma, pasangan suami isteri Ajak Shiro dan isterinya, Afifah Amin banyak berkongsi cerita tentang keluarga mereka. Tidak malu mengakui kehidupan mereka pernah susah dahulu, bahkan hari ini Ajak memberitahu segala kesenangan yang ada ini adalah rezeki anak-anak. Dia dan isteri hanya menumpang tuah anak-anak. Ikuti kisah mereka yang pernah suatu ketika dulu tidak mampu untuk belikan alat mainan buat anak pertama mereka, Mohd Jad Thaqif yang kini sudah berumur sembilan tahun.
Ditanyakan tentang hubungan jarak jauh mereka, Afifah memberitahu dua kali dia memohon untuk ditukarkan. Pada waktu itu, Ajak baharu sahaja memulakan tugasannya sebagai penyampai radio dan cuti mereka tidak sama. Memandangkan Afifah mengajar di Johor, dia cuma bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Dimurahkan rezeki mereka sekelurga, akhirnya permohonan Afifah berjaya dan mereka dapat tinggal bersama.
Afifah Keluar Awal Pagi, Ajak Siapkan Anak
Seperti mana penyayangnya Ajak terhadap Afifah, begitulah juga dia sebagai seorang bapa. Amat menyayangi anak-anak mereka dan sentiasa berusaha untuk mencari masa agar mereka sekeluarga dapat meluangkan masa bersama. Bapa kepada tiga orang anak, Mohd Jad Thaqif, 9, Mohd Had Thaqif, 6, dan Nada Soffea, 4, ini bertanggung jawab untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah setiap hari jika dia ada di rumah.
Memandangkan mereka sekeluarga tinggal di Nilai dan Afifah pula mengajar di Kota Damansara, dia sudah keluar seawal jam enam pagi. Jadi Ajaklah yang akan menguruskan anak-anak. Bukan sahaja memandikan anak, tetapi Ajak tidak kekok untuk mendandan anak bongsu mereka, Nada. “Saya tocangkan yang biasa-biasa saja. Janji anak saya kemas dan selesa,” kata Ajak mengiyakan cerita isterinya itu.
Tak Mampu Beli Mainan Jad
Mengimbau kembali kenangan sewaktu hidup mereka tidak sesenang hari ini, Ajak mengatakan dia banyak diuji sehingga pernah merasa diri gagal sebagai seorang bapa. Selepas tamat tingkatan enam, Afifah melanjutkan pelajarannya ke universiti manakala Ajak memohon untuk menyertai Tentera Laut. Waktu itu Ajak direkrut dari Johor dan dihantar ke kem di Lumut, Perak.
Ketika Afifah di semester enam, mereka berdua memutuskan untuk berkahwin. Tidak lama selepas itu, ketika Afifah di semester tujuh, anak sulung mereka dilahirkan. Tidak dinafikan kehidupan mereka agak sukar pada waktu itu. Bergantung hanya pada gaji Ajak, ternyata tidak mencukupi. “Pernah satu masa tu, Jad minta belikan mainan. Tapi Ajak tak mampu nak belikan. Dia rasa gagal sangat waktu itu,” cerita Afifah. Bukan itu saja, pernah juga mereka tidak ada duit untuk membelikan nestum untuk Jad. Dek kerana itulah, Ajak bersemangat untuk mengubah nasib keluarga mereka.
Menyertai pertandingan Raja Lawak dan memenanginya, mereka dapat satu lagi berita gembira. Afifah pula mendapat tawaran sebagai seorang guru. Ketika itu Ajak ambil keputusan untuk berhenti dari kerjanya dan fokus pada bidang seni. Sebagai pendukung suami, Afifah menyokog keputusan suaminya itu.
Tak Ada Masa Dengan Anak, Berhenti Jadi Penyampai Radio
Bekerja sebagai penyampai radio memang sesuatu yang menyeronokkan. Selama tiga tahun, banyak yang dapat Ajak pelajari. Namun dia membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana kekangan masa. “Waktu saya jadi DJ dulu, memang tak ada masa dengan anak-anak. Sebab saya kerja awal pagi, jadi saya keluar dahulu dari orang lain. Selama tiga tahun, sekalipun saya tidak pernah berkesempatan nak hantar Jad ke sekolah,” kata Ajak. Oleh itu, Ajak mengambil keputusan untuk berhenti agar dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya.
“Saya tidak nampak di mana lawaknya saya. Kalau orang kata saya lawak, mungkin itulah pinjaman Allah SWT pada saya. Ini sebenarnya rezeki anak-anak. Semakin besar rezeki apabila anak kami bertiga ni. Saya dan Afifah hanya menumpang rezeki mereka,” sambung Ajak. Menurutnya lagi, tujuan asal dia menyertai program Raja Lawak sebenarnya lebih kepada untuk memberi kemudahan kepada Jad. Tak sangka rezeki tak henti-henti selepas kelahiran dua orang anaknya yang lain.
Tidak hairanlah mengapa Ajak sangat disenangi peminat, orangnya sederhana dan mudah didekati. Benarlah tagline yang selalu dia ungkapkan, “Saya Ajak dan saya tidak sombong.” Pa&Ma doakan agar keluarga Ajak dan Afifah terus dilimpahi rezeki berlipat ganda. Semoga mereka sekeluarga sentiasa berbahagia dan terus berkasih sayang antara satu sama lain.
Sumber Foto: Ajak Shiro & Afifah Amin
Saksikan pasangan Ajak Shiro & Afifah Amin dalam Pa&Ma Musim Kelima dengan kupasan topik episod ke-5 ‘Cabaran Expose Anak Di Media Sosial’ pada 31 Julai 2019, Rabu jam 9 malam disaluran Astro Prima (ch 105) , Prima HD (ch 121) dan Astro Go (apps).