Tak Jumpa Anak Isteri Dua Bulan, Suami Isteri Berpisah Urusan Kerja Boleh Rentas Negeri – PM

Share

Dalam perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mengumumkan kelonggaran merentas sempadan negeri untuk pasangan suami atau isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.

Menurut beliau, kelonggaran diberikan untuk pasangan suami atau isteri untuk bertemu dengan keluarga setelah masing-masing ‘berpisah’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

“Mengenai perjalanan rentas negeri, saya diberitahu ada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.

“Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.

“Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga.

“Bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan Sarawak, saya mohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga memberikan kelonggaran yang sama.

“Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan,” ujar beliau.

Dalam perutusan tersebut juga Perdana Menteri turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.

 

 

 

Published by
SAHR