“Tak Kejar Wang, Tapi Nak Cipta Platform Dalam Hidup” Nadhir Juara Hero Remaja 2020 Inspirasi Anak Muda

Share

Setelah dua bulan tertunda akibat krisis wabak Covid-19, akhirnya keputusan rasmi ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ telah diumumkan menerusi episod istimewa pentas akhir bertemakan ‘Gentleman’ yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria HD (104), Astro Ria (124) dan aplikasi Astro GO.

Mengikut perancangan asal, episod tersebut sepatutnya disiarkan pada 16 April yang lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

NADHIR, 24, atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Bin Ahmad Nasar dinobatkan sebagai juara ‘Hero Remaja 2020’ mengenepikan saingan sengit empat finalis akhir lain, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan selempang.

Menurut Nadhir, “Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemenangan ini, sejujurnya, saya tak kejar wang kemenangan, yang penting saya dapat jadikan ini sebagai satu platform untuk memulakan kerjaya sebagai pelakon.

“Sebenarnya, empat tahun lalu, saya sudah berhasrat untuk menyertai Hero Remaja, namun saya rasa tak cukup pengalaman ketika itu,”

Kedudukan di tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh finalis akhir UMAR (22, Johor) dan MEERQEEN (19, Selangor), masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 beserta trofi dan selempang. Manakala JABIR (20, Selangor) dan HAZIQ (23, Kuala Lumpur) yang berada di tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan selempang.

Selain itu, ANIQ (20, Selangor) pula menerima gelaran ‘Hero Confident Nivea Men’ untuk edisi kali ini. Manakala IMRAN (21, Kuala Lumpur) pula dipilih sebagai ‘Hero Inspirasi’. Untuk makluman, paparan rakaman program ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ sebanyak tujuh buah episod mula disiarkan pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam bermula 27 Februari yang lalu. Untuk penganjuran edisi ke-10 ini, seramai 12 finalis telah terpilih dan diuji dengan pelbagai cabaran intensif untuk mengasah kemampuan dan skil mereka daripada aspek berbeza.

Manakala untuk pusingan finale di episod kelapan yang disiarkan malam tadi, keputusan akhir adalah bergantung kepada persembahan individu yang dinilai menerusi segmen tugasan video khas pesanan khidmat masyarakat berdasarkan topik semasa serta ketangkasan cara menjawab dan skil berkomunikasi sewaktu segmen sesi soal jawab bersama panel juri profesional.

Mengulas lanjut mengenai Pentas Akhir ‘Pencarian Hero Remaja 2020’, Emarina Mohd Kamal selaku pengurus saluran Astro Ria dan Astro Ria HD amat berbesar hati dengan kepercayaan penuh yang diberikan oleh pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. menerusi pelbagai kerjasama strategik yang telah lama terjalin sebelum ini.

“Selaku penganjur bersama, kami gembira dan berasa lega kerana akhirnya penganjuran edisi ini dapat disempurnakan dengan cukup baik sungguhpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran ekoran situasi ‘unik’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat penularan wabak Covid-19. Kekangan yang dihadapi tidak sedikitpun melunturkan semangat kami untuk berfikir di luar kotak bagi memastikan kualiti kandungan yang diterbitkan tidak terjejas.

Episod pentas akhir malam tadi juga berlangsung penuh meriah walaupun terikat dengan syarat SOP yang ketat. Syabas kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan penganjuran musim ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Nadhir selaku ‘Hero Remaja 2020’ serta kesemua finalis akhir kerana berjaya mara ke pusingan finale. Selamat datang ke dunia hiburan!”

Dalam pada itu, Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Remaja juga turut berpendapat, “Sudah 30 tahun jenama Hero Remaja menghiasi dan menyerikan industri seni tanah air. Sepanjang tempoh itu telah ramai personaliti berbakat dan popular lahir dari pencarian Hero Remaja ini. Gelaran tersebut harus digunakan sebaik-baiknya sebagai tiket untuk lebih berjaya. Sandang gelaran ini dengan baik dan sentiasa merendah diri, bak kata pepatah ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk.”

Pentas akhir ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ turut menyaksikan Ain Edruce dan Awal Ashaari digandingkan bersama sebagai pengacara program.

Dua juri tetap yang dilantik untuk mengadili penganjuran edisi kali ini ialah Dewi Remaja 2005/06; Scha Alyahya dan Datuk Hans Isaac. Manakala, personaliti ‘triple threat’ pengarah, pelakon dan penyanyi, Yusry Abdul Halim telah diundang khas untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri jemputan.

Untuk makluman, ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ juga cukup aktif menerusi platform digital. Majalah Remaja selaku penganjur dan media rasmi pencarian telah menyusun pelbagai cabaran dan aktiviti bersama barisan finalis untuk meneruskan momentum mereka sepanjang ketiadaan rancangan berepisod di televisyen.

Hasilnya, impak positif dapat dilihat pada profil media sosial kesemua finalis apabila jumlah pengikut dan interaksi bersama pengikut bertambah kuat; selari dengan status mereka sebagai personaliti generasi baharu. #HeroRemaja #HeroRemaja2020 #majalahremaja

Published by
NuFa